Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

21 June 2015

Biarlah di tolak Manusia.

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah masuk 5 Ramadhan malam ini. Alhamdulillah.
Allah uji hari demi hari. Kepenatan tetapi bahagia. Allah izin jadual penuh sehinggakan terpaksa bergerak ke sana ke mari demi tuntutan sebuah perjuangan. Pulang sahaja daripada melaksanakan beberapa misi, Allah uji dengan kerenah anak didik pengajian. Sudah berpenatan dua hari, melayan pula karenah yang berbagai. Surau pengajian bersepah dan ada sebahagian barang rosak. Daripada nak berehat dan tenang dengan AlQuran, terus jadi marah. Sesi ceramah non stop. Masa mengajar pun berceramah lagi. Bukan apa, jika dibiarkan akan semakin menjadi. Sabar dalam mendidik. Marah bukan tanda tidak sayang, tetapi ingin mendidik.

Apabila kepenatan, berbuka pun tiada selera. Teringat akan badan, kasihan. Perlu diberi rehat. Tarawih tidak berjemaah pun tak mengapa. Asalkan dapat rehat.

Berkesempatan menjengah ke rumah atuk dan nenek. Merehatkan badan setelah berpenatan di medan ilmu. Cucu datang, makanan hai mewahnya. Alhamdulillah.

Allah izin untuk mendengar kuliah ustaz Ebit lew ketika itu di Masjid negeri. Pengisian  yang sangat terkesan. Hidup berkebajikan semakin membara, lupa untuk kejar dunia. Meskipun di dunia ini ditolak manusia, kelak di akhirat tidak ditolak oleh Allah. Berdoalah supaya tidak ditolak oleh Allah.

Dahulu kita sudah banyak membazir masa dengan dunia, mengapa perlu berkira? Sekarang korbankanlah apa yang dimiliki.

Perlu kita ingat, lakukanlah amal perbuatan dengan kesungguhan sewaktu Allah berkehendak. Jika kita lakukan pada saat Allah tidak mahu, tidak sama nilainya. Seperti solat pada waktunya. Ikhlas dan istiqamah lakukan pada waktu yang benar-benar Allah hendakkan. Jika lewat, atau sekadar qadha dan ganti, nilainya tidak sama masa Allah nak. Rugilah melepaskan peluang seperti itu.

Begitu juga usia mudamu. Di saat muda ini Allah minta untuk bersungguh-sungguh dalam amal. Usaha amal di usia tua tidak sama dan tidak sehebat di usia muda. Lakukanlah sementara Allah berkehendak, jika Allah berpaling dan tidak berkehendak, maka rugilah kita.

Terkesan dengan satu nikmat yang sangat penting. Nikmat menangis sungguh-sungguh di setiap solat malam. Allahu Allah, nikmat ini sudah jauh. Jom usahakan untuk rebut dan pegang nikmat ini.

Terinspirasi kisah yang dibawakan oleh ustaz mengenai pengorbanan Siti Khadijah yang rela bermatian semata-mata membenarkan dakwah Rasulullah S.A.W. Semua itu dilakukan kerana cintanya kepada Allah dan taatnya kepada Rasulullah S.A.W. Apabila Nabi pulang setelah berpenatan seharian bekerja untuk dakwah dan agama, Nabi mengambil kekuatan dengan baring di sisi Khadijah. Meskipun wajah khadijah kelihatan penat seharian menyusui Fatimah, umur tuanya yang seharian mendidik anak, menguruskan rumah tangga, mengorbankan tenaga dan harta demi Agama namun khadijah tetap tersenyum dan membenarkan segala ucapan dan perlakuan nabi. Sokongan dan semangat buat suaminya sentiasa diberikan. Tabah dan kuatnya Khadijah sebagai seorang isteri yang berperanan menjadi sayap kiri perjuangan Rasulullah S.A.W.

Allahu. Mendidik anak  dan taat kepada suami adalah satu tanggungjawab yang dirasakan sangat besar bagi khadijah. Bahkan ianya sangat terkesan dalam gerak kerja dakwah nabi. Meskipun hanya terlihat di dalam rumah, sejarah telah membuktikan betapa besarnya pengorbanan Khadjah R.A.HA terhadap dakwah Rasulullah S.A.W.

Sangat terinspirasi. Bukan berhajat untuk dikagumi, cukuplah untuk memudahkan dakwah Islam tersebar dengan meluasnya. Suatu hari, jika Allah izin, ingin menjadi seperti Khadijah. Tabah dan kuat sepertinya. Izinkan aku ya Allah. Doa yang baik, mudahan diperkenankan. Aamiin.

Jiwa mendidik perlu bersiap esok.
AlFaqir mengundur diri. Tidak berhajat dikagumi, sekadar memberi ruang perkongsian. Tidak berhajat untuk disantuni, sekadar memberi peringatan kehidupan kepada diri.

Wallahu a'lam.

No comments: