Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

24 April 2017

Ihya' ulumuddin (Hikmah Imam al-Ghazali)

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Penulisan ini adalah hasil usaha daripada pembacaan kitab Ihya' ulumuddin karangan hujjatul Islam Imam Ghazali. Ana bukanlah orang yang suka menulis dengan khayalan mahupun cerita-cerita rekaan. Tetapi suka kepada penulisan yang menjurus kepada bahan bacaan yang telah di baca. Sejak di bangku sekolah jika diberikan pilihan untuk menulis karangan, pasti akan menulis fakta beserta contoh penerangan. Jika menulis cerpen pasti tidak akan menang. Kerana cerpen yang ditulis terlalu banyak fakta dan rujukan daripada buku yang telah dibaca. Sehingga kini menulis dengan gaya seorang penyelidik dan menyampaikan dengan kaedah pengalaman.

Sebenarnya sudah lama ingin memiliki kitab ihya' ulumuddin karangan hujjatul Islam. Harganya yang mahal dan terjemahan di dalam bahasa melayu sangat sukar dijumpai. Allah izin tahun ini ana menerima full jilid kitab ihya' ulumuddin secara percuma daripada sebuah organisasi wakaf. Alhamdulillah, berkat mengajar disekolah berkebajikan ana terpilih untuk memiliki kitab ini.

Bermula fasa menuntut ilmu di sebuah universiti, ana terinspirasi dengan karangan imam hujjatul islam setelah selesai membaca sebuah kitab kecil ayyuhal walad yang merupakan antara siri bimbingan remaja dalam islam. Nasihat di dalam kitab ayyuhal walad sangat terkesan pada diri dan menjadi panduan ketika menuntut di universiti.

Secara ringkasnya, imam Alghazali merupakan seorang pengembara, pemikir Islam dan seorang yang alim dalam mazhab syafie. Kitabnya Ihya' Ulumuddin bermaksud menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama. Kehebatan Imam Al-Ghazali diakui oleh seluruh dunia di atas kajian dan ulasannya tentang Ihya'.

Permulaannya, ana memetik beberapa kata-kata hikmah Imam al-Ghazali. Antaranya:
-Ilmu agama ialah memahami jalan menuju akhirat yang dapat diketahui dengan kesempurnaan dan kebersihan akal.
-Menempuh jalan ke akhirat adalah sukar dan banyak tipu dayanya tanpa penunjuk jalan dan teman. Adapun penujuk jalannya adalah para ulama.
-Orang yang tidak berilmu hatinya menjadi sakit dan kemungkinan hatinya akan menjadi mati.
-Sebelum meninggalkan dunia yang fana ini, al-Ghazali berkata: "Aku letakkan arwahku di hadapan Allah swt, kamu tanamlah jasadku di lipatan bumi yang sunyi lagi sepi. Namaku akan bangkit kembali menjadi pertuturan dan buah bibir umat manusia pada kemudian hari."

Kitab ini juga mempunyai isu hadis dhoif yang sering dipertikaikan. Tetapi bagi penulis, sangka baik terhadap imam Al-Ghazali dalam menghidupkan ilmu agama adalah sangat tinggi. Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan terdapat banyak hadis dhoif dan tidak sohih di dalam kitab ini, ana masih mahu membaca hujahnya kerana apa yang ditulisnya itu bukan disengajakan. Para ulama tidak membuang kitab ini bahkan hadis-hadis yang dhoif dikekalkan dalam kitab ini walaupun terdapat kelemahan dalam sanad sesebuah hadis yang ditulis.

Diantara pendapat yang paling kuat dan dipilih oleh majoriti ahli hadis dalam mengiktiraf hadis dhaif adalah;

Pertama, tidak boleh digunakan landasan penetapan aqidah dan pengambilan hukum halal dan haram.
Kedua, boleh dijadikan pijakan dalam keutamaan-keutamaan amal (fadlail al-a`mal), penyemangat dalam beribadah (targhib wa tarhib), penulisan sejarah dan kisah-kisah hikmah (manaqib).

Namun ada sisi lain yang lebih menarik untuk dikaji. Para ulama baik dari disiplin hadis, fiqh mahupun kalam menyatakan wajib menerima dan mengamalkan hadits yang bersanad dhaif jika umat Islam sekaligus para ulama telah menerima dan mengamalkan hadits tersebut. Ini berlaku baik dalam masalah aqidah dan hukum, apalagi dalam fadlail al-a`mal .

Wallahu a'lam.

1 comment:

Akbar H said...

Assalamu'alaykum saudara.. Terimakasih sekali sudah memaparkan sedikit perihal kitab ihya. Saya ingin bertanya perihal kitab tersebut.. Apakah kitab ihya' masih beredar di pasaran ?