Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

27 April 2017

Muslimah dan kecukupan.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Jumuah Mubarakah. Alkahfi jangan dilupakan, Syaaban perbanyakan berpuasa dan melakukan amal kebaikan. Mudahan sewaktu buku tahunan amalan diangkat, ia dapat diakhiri dengan kebaikan yang Allah redhai. 

Muslimah dan kecukupan.
Tersenyum dengan melihat telatah manusia kiri dan kanan. Adakalanya mereka membuat keputusan kerana yakin dengan melihat orang lain melakukannya. Hakikatnya mereka tidak melalui dan merasainya. Wallahua'lam.

Rezeki adalah hak mutlak Allah. Kepada Allah sepenuhnya kita meminta dengan usaha dan kesungguhan. Tetapi sejauh mana kesedaran untuk tenang menghadapi rezeki setiap hari.

Muslimah, anda juga perlu memahami selok belok mengendalikan kewangan. Nafsu membeli itu memang fitrah, bohonglah jika tidak ada. Hakikatnya kita mampu untuk menguruskan dengan ilmu.

Orang kata, semakin besar gaji, semakin besar nafsu berbelanja. Mujurlah Allah letakkan pada diri ini  untuk sentiasa berasa cukup dengan gaji yang kecil.

Meskipun bergaji kecil, merancang dan menguruskan kewangan adalah perkara asas dalam kehidupan. Rezeki tidak putus itu sudah mencukupi. Bahkan jika lebih, dipinjamkan kepada mereka yang memerlukan. Konsep pinjam yang dianjurkan ini bukanlah sama seperti pinjam bank. he3. Konsep meminjam ini membawa maksud kepada memberi jika lebih dan dipulangkan dengan pahala di akhirat sana. Mudah dan bahagia bukan?

Sejauh mana muslimah itu mempunyai kesedaran bersederhana dalam berbelanja? Perlukah untuk mempunyai sistem kewangan yang tersusun? 

Muslimah itu perlu:

1) Segera memasukkan duit ke dalam bank apabila menyedari ada kelemahan dalam mengurus duit di tangan.
2) Segera membuat penolakan dan pengasingan ke dalam poket ibu bapa, kwsp, takaful, tabung haji, pinjaman pelajaran dan pelaburan dunia/akhirat.
3) Belajar merekod dan menganalisis keupayaan kewangan agar kelak tidak terbeban dengan risiko tiada duit.
4) Menyedari bahayanya meminjam jika tidak mampu, dan bersederhana dalam kecukupan yang sedia ada.

Muslimah itu perlu ada cita-cita, bebas berhutaang, tenang mengurus duit dan yakin dengan rezeki.

Mudahan bermanfaat. Nasihat untuk diri sendiri juga :-)



Kerehatan

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, dengan kudrat yang tersisa ini Allah izin untuk hadir ke pengajian bulanan kitab syamail muhammadiyah pimpinan habib Ali Zainal Abidin. Selesai mengajar di surau, terus bersiap untuk usaha hadir walaupun sudah habis tenaga untuk hari ini. Bersama ulama dalam majlis ilmu satu keberkatan dan merupakan satu kerehatan yang  sukar diperolehi. Setiap bulan akan mewajibkan diri untuk turun menadah kitab untuk memperbaiki diri dan memperelokkan akhlak. Hati akan pulih dan kembali tenang apabila melihat keikhlasan seorang guru menyampaikan dengan hikmah dan penuntut ilmu yang bersih pakaian lahiriah dan hatinya bersungguh-sungguh mendengar dan mencatat isi kandungan kitab yang telah dipelajari. Anak-anak, suami dan isteri, atuk dan nenek sangat soleh dan solehah memeriahkan majlis ilmu ini. Sememangnya ana biasa dengan suasana yang soleh sejak kecil. Tetapi hari ini sangat tersentuh hati. Benar, hati ini terusik dengan kerinduan kepada Rasulullah S.A.W. Tidakkah diri ini berpeluang untuk membina keluarga bersama seseorang yang mempunyai usaha untuk mencontohi nabi. Masih adakah insan yang mahu belajar dan mencontohi akhlak nabi? Rasa tersisih, melihat sahabat-sahabat yang  mempunyai keluarga yang berusaha mencontohi peribadi nabi. Suaminya yang soleh pada pandangan dan memiliki keperibadian sunnah dalam kehidupan. Terduduk dan hanya sepi sendiri. Terus meletakkan sangka baik kepadaNya semata-mata.

Terubat dengan sambutan hari lahir habib, doa daripadanya membuka peluang hati ini untuk terus bersangka yang baik kepada Allah. Ketentuan Allah itu pasti lebih baik, dan Dialah yang mengetahui apa yang diperlukan oleh hambaNya.

Mudahan Allah redha.

24 April 2017

Ihya' ulumuddin (Hikmah Imam al-Ghazali)

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Penulisan ini adalah hasil usaha daripada pembacaan kitab Ihya' ulumuddin karangan hujjatul Islam Imam Ghazali. Ana bukanlah orang yang suka menulis dengan khayalan mahupun cerita-cerita rekaan. Tetapi suka kepada penulisan yang menjurus kepada bahan bacaan yang telah di baca. Sejak di bangku sekolah jika diberikan pilihan untuk menulis karangan, pasti akan menulis fakta beserta contoh penerangan. Jika menulis cerpen pasti tidak akan menang. Kerana cerpen yang ditulis terlalu banyak fakta dan rujukan daripada buku yang telah dibaca. Sehingga kini menulis dengan gaya seorang penyelidik dan menyampaikan dengan kaedah pengalaman.

Sebenarnya sudah lama ingin memiliki kitab ihya' ulumuddin karangan hujjatul Islam. Harganya yang mahal dan terjemahan di dalam bahasa melayu sangat sukar dijumpai. Allah izin tahun ini ana menerima full jilid kitab ihya' ulumuddin secara percuma daripada sebuah organisasi wakaf. Alhamdulillah, berkat mengajar disekolah berkebajikan ana terpilih untuk memiliki kitab ini.

Bermula fasa menuntut ilmu di sebuah universiti, ana terinspirasi dengan karangan imam hujjatul islam setelah selesai membaca sebuah kitab kecil ayyuhal walad yang merupakan antara siri bimbingan remaja dalam islam. Nasihat di dalam kitab ayyuhal walad sangat terkesan pada diri dan menjadi panduan ketika menuntut di universiti.

Secara ringkasnya, imam Alghazali merupakan seorang pengembara, pemikir Islam dan seorang yang alim dalam mazhab syafie. Kitabnya Ihya' Ulumuddin bermaksud menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama. Kehebatan Imam Al-Ghazali diakui oleh seluruh dunia di atas kajian dan ulasannya tentang Ihya'.

Permulaannya, ana memetik beberapa kata-kata hikmah Imam al-Ghazali. Antaranya:
-Ilmu agama ialah memahami jalan menuju akhirat yang dapat diketahui dengan kesempurnaan dan kebersihan akal.
-Menempuh jalan ke akhirat adalah sukar dan banyak tipu dayanya tanpa penunjuk jalan dan teman. Adapun penujuk jalannya adalah para ulama.
-Orang yang tidak berilmu hatinya menjadi sakit dan kemungkinan hatinya akan menjadi mati.
-Sebelum meninggalkan dunia yang fana ini, al-Ghazali berkata: "Aku letakkan arwahku di hadapan Allah swt, kamu tanamlah jasadku di lipatan bumi yang sunyi lagi sepi. Namaku akan bangkit kembali menjadi pertuturan dan buah bibir umat manusia pada kemudian hari."

Kitab ini juga mempunyai isu hadis dhoif yang sering dipertikaikan. Tetapi bagi penulis, sangka baik terhadap imam Al-Ghazali dalam menghidupkan ilmu agama adalah sangat tinggi. Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan terdapat banyak hadis dhoif dan tidak sohih di dalam kitab ini, ana masih mahu membaca hujahnya kerana apa yang ditulisnya itu bukan disengajakan. Para ulama tidak membuang kitab ini bahkan hadis-hadis yang dhoif dikekalkan dalam kitab ini walaupun terdapat kelemahan dalam sanad sesebuah hadis yang ditulis.

Diantara pendapat yang paling kuat dan dipilih oleh majoriti ahli hadis dalam mengiktiraf hadis dhaif adalah;

Pertama, tidak boleh digunakan landasan penetapan aqidah dan pengambilan hukum halal dan haram.
Kedua, boleh dijadikan pijakan dalam keutamaan-keutamaan amal (fadlail al-a`mal), penyemangat dalam beribadah (targhib wa tarhib), penulisan sejarah dan kisah-kisah hikmah (manaqib).

Namun ada sisi lain yang lebih menarik untuk dikaji. Para ulama baik dari disiplin hadis, fiqh mahupun kalam menyatakan wajib menerima dan mengamalkan hadits yang bersanad dhaif jika umat Islam sekaligus para ulama telah menerima dan mengamalkan hadits tersebut. Ini berlaku baik dalam masalah aqidah dan hukum, apalagi dalam fadlail al-a`mal .

Wallahu a'lam.

17 April 2017

Tujuh

Bismillahirrahmaanirrahim.

Selagi punya kesempatan, berbuatlah kebaikan.
Usia kini tidak menjamin, cepat atau lambat akan bertemu ilahi.
Matlamat untuk berjaya perlu dikhususkan semata kerana redhaNya.

Penat jangan jadikan ianya sia-sia. Jika berasa penat, tidur dan pulihkan tenaga dalam rangka bekerja untuk islam. Jika berasa penat, lakukan aktiviti yang disukai. Asalkan ianya tidak membawa kepada dosa dan maksiat. Menulis, membaca, tidur. :-)

Ana seorang yang suka membuat banyak perkara dalam satu masa. Daripada terbuang masa, baiklah kita isi dengan sesuatu yang Allah redha. Jangan biarkan ruang kosong untuk bermaksiat dan bersangka-sangka yang tidak baik kepadaNya.

Kita membantu orang bebas daripada masalahnya juga dikira sebagai kebaikan. Hakikatnya manusia tidak nampak dan tidak tahu. Allah itu maha mengetahui.

Ana tak makan pun masih ada yang perasan, ana keletihan pun ada juga yang bersimpati. Hakikatnya empunya badan tidak pula berasa lapar dan penat. Tahu-tahu, lepas solat sudah tertidur.

Berkebajikan, berkerja, berdakwah, berniaga, berilmu, berbakti dan bersungguh-sungguh.
7 'ber' dalam kamus hidup, 7 hari dalam seminggu, 7 waktu solat yang tidak boleh ditinggalkan :-)

Wallahua'lam.
21 Rajab 1438H

Asbab Allah memilihmu

Bismillahirrahmaanirrahim.

Asbab Allah memilihmu untuk meneruskan kehidupan adalah kerana Allah masih memberi peluang untuk dirimu memperbaiki diri.

Asbab Allah memilihmu untuk tetap kuat dalam perjalanan mencari ilmu kerana Allah tahu bahawa itulah yang diperlukan olehmu.

Asbab Allah memilihmu untuk tidak berwalimah adalah kerana Allah tahu waktu ini adalah yang terbaik untuk dirimu melunaskan segala cita-cita yang dibimbangi akan terhenti.

Asbab Allah memilihmu untuk terus tersenyum dengan ujian kerana Allah tahu dirimu mampu untuk menggalasnya dengan sepenuh keimanan.

'Ala kullihal, semua baik-baik hendaknya.

11 April 2017

Kita akan tetap di sini.

Bismillahirrahmaanirrahim...

Allahu, setiap kali ana berada dalam keadaan futur. Ana akan mendapatkan kekuatan daripada video ini.

Setiap kali dalam kebersamaan (ukhuwah) pasti Allah uji. Kebersamaan dalam dunia kini, aktivis dakwah mahupun sukarelawan pasti diuji dengan pelbagai persepsi masyarakat. Tetaplah dalam usaha untuk melakukan kebaikan.

Malulah hai jiwa yang lemah, usaha yang kau lakukan ini tak sama dan tak setanding seperti sahabat generasi awal terdahulu. Mudahan kami yang tetap di sini, termasuk dalam kalangan mereka yang dirindui olehmu (Muhammad S.A.W).

video

09 April 2017

Muslimah dan misi.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Allah izin untuk mencoretkan sedikit perkongsian pada hari ini meskipun minda letih dan baru sahaja selesai mengendalikan beberapa program. Tanggungjawab semakin bertambah hari demi hari sehingga tidak tahu mana yang perlu diutamakan. Mudahan Allah beri kemudahan dalam menguruskannya. Manusia itu banyak masalahnya, bagaimana dan caranya untuk mengatasinya? Allah dah beri panduan, segeralah kembali kepadaNya dengan solat dan sabar. InsyaaAllah. 2:153.

..............................

Ruangan pada kali ini, ana terpanggil untuk menulis sedikit ilmu yang perlu sama-sama difikirkan sejenak dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

Muslimah di zaman kini terlalu sibuk dengan misi mencari pendamping hidup. Ya, memang itu adalah salah satu misi yang perlu difikirkan dalam kehidupan untuk membantu mencapai redha Allah semata. Dan menjadi satu kerisauan dalam benak fikirannya dengan himpunan persoalan dan berbagai-bagai sangkaan. Antaranya, adakah baik agamanya? Adakah cukup solatnya? Dan bagaimanakah dia menguruskan kehidupan sehariannya dengan baik atau tidak? Kalau boleh semua perkara hendak difikirkan. Muslimah bohonglah jika tidak mahu yang baik. Hakikatnya, apa yang diimpikan oleh seorang muslimah itu benar dan tepat sekali. Tetapi perlulah kita sedar, kesempurnaan itu hanya pada nabi. Yang ada hanyalah, usaha untuk ke arah kesempurnaan.

Muslimah yang positif akan meletakkan keredhaan menjadi keutamaan. Redha itu datang daripada banyak perkara. Redha Allah, redha nabi, redha ibu bapa, redha keluarga, dan paling penting redha daripada diri sendiri. Yang dinilai Allah adalah pengakhiran dalam kehidupan bukanlah pada masa sekarang atau masa yang lalu. Tetapi dapatkah kita menduga bila akan tiba saat pengakhiran itu?

Terlalu rindu pada akhlak Rasulullah S.A.W. Terubat rindu dengan mengamalkan sunnahnya dan mempelajari kitab syamail muhammadiah walaupun sebulan sekali.

Muslimah itu terlihat lemahnya di luar, tetapi kuat mengimbangi emosi dan minda yang memikirkan banyak perkara dalam kehidupan. Jika boleh, hari-hari difikirkannya untuk mencari yang sama seperti Rasulullah S.A.W. Tidak ada yang sama seperti baginda. Yang ada adalah mereka yang usaha ke arah kesempurnaan.

Muslimah perlu ada sangka baik. Belajar menerima kekurangan dan meraikan kelebihan.

Muslimah perlu bercita-cita untuk memperolehi cinta manusia yang membolehkanmu lebih dekat kepada Allah. Bukan menjauhkan lagi.

Muslimah itu memerlukan pendamping untuk melindunginya, membimbingnya dan memimpinnya dalam beberapa perkara yang tercapai mengikut kemampuan. Begitu juga sebaliknya. Muslimah cita-citanya pasti untuk menuju ke syurga bertemu Allah. Adalah besar harapannya bahawa pendamping hidupnya itu boleh sama-sama terpimpin untuk ke syurga.

Muslimah itu perlu meletakkan kebergantungan kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Jika pendamping hidupmu itu tidak kunjug tiba atau terlebih awal pergi bertemu Allah, muslimah itu tidak sedikit pun akan terganggu dengan hidupnya kerana tertanamnya kebergantungan kepada Allah dalam hatinya.

Muslimah perlu memiliki ilmu kerana seorang ibu merupakan madrasah buat anak-anaknya.

Wallahua'lam.

04 April 2017

Hamba yang bersyukur.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Apabila disenaraikan kembali apa yang dilakukan dan akan dilakukan, ternyata masih tidak boleh dan tidak layak dipanggil sebagai hamba yang bersyukur. Usaha lagi.

Kita perlukan apa lagi di dunia ini? Teruskan dengan mencari saluran dan laluan untuk mengerjakan kebaikan dan kebajikan. Dalam masa yang sama bekerja untuk meneruskan kehidupan.

Berkebajikan memerlukan profesionalisma.
Berkebajikan memerlukan keseimbangan dalam kehidupan.

Harta untuk kaya atau untuk dimanfaatkan?
Jangan terlalu tamak dan obses.
Rancang sebaiknya, utamakan pandangan Allah.

Pelaburan ilmu dan intelek itu pasti didahulukan.
InsyaaAllah, Allah pasti cukupkan.