Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

11 April 2015

Tenang dan Redha.

Setiap jiwa yang lahir dengan ketenangan pasti mengharapkan pulang kepada penciptaNya dengan tenang jua.

Perjalanan hidup juga perlu ditempuhi dengan ketenangan. Bukan hanya pada peng'awal'an dan juga peng'akhir'an yang diharapkan, bahkan per'tengah'an jua. Mudahan Allah izin hidup ini dilimpahi ketenangan, meskipun diuji dengan berbagai ujian dalam kehidupan. Sungguh Allah sayang hamabaNya. Apakah kalian melihat orang yang tenang itu sentiasa tidak diuji? Mereka itu lebih hebat ujiannya daripada siapa yang melihatnya. Orang yang tenang tidak membiarkan kesusahannya dinilai manusia, tidak meminta simpati untuk membantunya, bahkan dia sistematik dan bijak dalam mengatur masalah mahupun ujian yang dihadapinya. Dia hanya mengadu seadanya dengan tuhanNya. Hanya tuhanNya tempat dia meminta.

Alternatif mengubat dan mencegah jiwa muda yang tidak tenang dalam menguruskan ujian mahupun masalah yang dihadapi tidak lain adalah kembali kepada hati yang Allah redha. Setiap masalah berbalik kepada hati. Niat yang baik berkesinambungan dalam memperolehi hati yang bersih. Begitu juga sebaliknya. Selidiki kembali niat kita. Redhakah kita dengan Allah? Redhakan kita dengan Islam? Redhakah kita dengan Rasulullah S.A.W. Jika semua itu tidak, tajdid niat (perbaharuilah niatmu) agar tidak jauh terpesong dari landasan kebenaran.

Ulama' telah memberikan pelbagai definisi tentang redha. Semuanya mendefinisikannya mengikut apa yang dikecapi dan maqam yang telah dilalui. Menurut takrif redha yang diberikan As-sayyid dalam kitab Ta'rifat "Redha ialah perasaan senang hati dengan kepahitan qadha' atau takdir".

Redha ialah maqam qalbi. Apabila seseorang mukmin telah teguh pada maqam redha, ia mampu berdepan dengan pelbagai tribulasi dan kesusahan dengan iman yang kental, jiwa yang tenang dan hati yang sejuk lagi damai. Bahkan akan meningkat kepada kedudukan yang lebih tinggi. Oleh itu dia akan merasa gembira dan riang dengan kepahitan takdir. Semuanya kerana dia telah mencapai maqam redha itu di sisi Tuhannya. Begitulah, orang yang redha tidak terlihat resah di jiwanya, tidak terlihat letih di wajahnya, begitu juga tidak terkesan sepalit pun pada nilai ibadahnya.

"Sesiapa yang berkata pada waktu pagi dan petang: Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan, dengan Islam sebagai Agama dan dengan Muhammad sebagai Rasul, menjadi hak ke atas Allah untuk meredhainya."

Rasulullah S.A.W mengajar sahabat dan menanam di dalam hati mereka sifat redha dengan Allah SWT sebagai Tuhan, Islam sebagai Agama, dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai nabi dan Rasul. Baginda menyeru kepada mereka supaya sentiasa mengulanginya pada waktu pagi dan petang sebagai menzahirkan apa yang tersembunyi di dalam hati mereka tentang betapa nikmatnya redha terhadap Allah.



Adakalanya takrif redha itu sendirinya mengundang ketidak setujuan dikalangan mereka yang bukan ahlinya. Mereka yang mengingkari redha telah mengatakan; adalah tidak logik bahawa manusia merasai penderitaan dengan keperitan di atas musibah yang ditanggung serta tidak sedar dengan peristiwa yang dialaminya.

Bagi menjawab kepada persoalan ini, perumpamaan telah diberikan. Seperti seorang pesakit yang berasa sakit dengan suntikan ubat serta merasa pahit dan perit berubat tetapi tetap redha dengannya keran dia yakin itu adalah sebab untuk sembuh sehinggakan dia suka kepada orang yang memberikan ubat kepadanya.

فما لجرح إذا أرضاكم ألم
Luka tidak terasa sakit apabila hati telah redha.

Dari aspek lain, seorang yang redha secara tabi'i nya memang merasai kepahitan dan keperitan, tetapi bila merenung terhadap imannya dengan kasih sayang Allah serta hikmahNya, dia yakin bahawa di sebalik setiap perbuatan Allah ada hikmah yang tersembunyi serta pemberian yang terlalu halus untuk dinilai dan dilihat.

Surah Annisa' 19. Allah telah berfirman: "Boleh jadi kamu benci terhadap sesuatu sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak."

Ada juga dikalangan yang bukan ahlinya berprasangka silap bahawa redha boleh menyebabkan manusia meninggalkan sifat menghina diri di hadapan Allah dan tidak berdoa, tidak mengambil sebab musabab dalam mendatangkan kebaikan dan menolak bala.

Bagi menjawab kepada sangkaan ini, hakikat redha kepada Allah ialah seorang mukmin beramal dengan amalan yang boleh mendatangkan keredhaan kekasihnya Allah SWT, juga meninggalkan segala perkara yang menyalahi suruhanNya serta meninggalkan perkara yang melanggar keredhaanNya. Jika tidak melakukan semua perkara itu, bermakna kita menyalahi perintah Allah serta bertentangan dengan keredhaanNya.

Allah SWT juga menyuruh hambaNya untuk meminta kepadaNya, nescaya akan diperkenankan akan permintaannya itu. (Surah Ghafir-60).

Redha dengan qadha' bukan bermakna mesti keluar daripada hudud syara' sebaliknya ia bermaksud tidak membantah Allah Taala secara zahir dan batin. Hasilnya, kita akan sampai kepada apa yang disukai dan diradhaiNya iaitu dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya.

Nikmat redha merupakan faktor ketenangan yang menyelubungi jiwa orang arifin. Ia merupakan sebab yang paling kuat dalam menghapuskan sifat putus asa yang berlegar di benak fikiran apabila tidak mendapat bahagian dalam kehidupan dan kesenangan.

Hati yang tenang itu bermula dari redha. Bermula redha itu daripada sabar. Tidak sabar, tidak akan redha. Tiada sabar jika tiada iman. Maka berimanlah. Redha akan membahagiakan hati. InsyaaAllah.

Rujukan: Haqaiq Tasawuf (Silibus tasawuf sem 5 Usim Nilai) Karangan Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimullah.

No comments: