Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

07 April 2015

Pertolongan Cemas

Bismillahirrahmanirrahim.
Allah izin menulis jua. Malam menghampiri pagi, tetap juga ingin mencoretkan sepatah kata. Baru selesai menguruskan segalanya. Hanya waktu malam peluang seadanya dilakukan untuk menguruskan isi hidup dan isi rumah.

Keluar seawal pagi, pulang menghampiri maghrib. Tuntutan belajar dan mengajar, mengajar diri ini untuk kuat. Di sebelah malam, perlu bersiap mengajar anak didik yang berbaris panjang menunggu giliran menyemak bacaan masing-masing, Mendidik di sebelah pagi, di sebelah petang, dan di sebelah malam. Hanya tengah malam sempat menyelesaikan urusan rumah, makan dan minum. Mujurlah tinggal bersama keluarga, serba sedikit kebajikan diri ini terjaga. Tidak dapat terbayang jika tidak terjaga pakai makan dan minum ketika ini. Silap-silap ke hospital mungkin. Kurus tak sempat makan. :-)

Sedikit perkongsian untuk penulisan pada hari ini. Alhamdulillah, untuk hari ini aktiviti kokurikulum Briged Fatayyat mempelajari Asas pertolongan cemas. Sebelum ini, ana mengajar anak didik memasak sandwich. Berubah angin pula, ayuh pelajari asas pertolongan cemas.

Briged Fatayyat merupakan satu pasukan sukarelawan pemudi. Seumpama yang kita pernah dengari, Briged AlQassam. Peranannya lebih kurang sama. Cuma bezanya adalah pemudi, bukannya pemuda. :-) Masih tidak faham? Please check your mr/mrs google. ;-)

Ketika memberi ceramah berkenaan dengan pertolongan cemas, terbit rasa rindu pada PBSM di maahad. Banyak kenangan di sana. Serba sedikit pengalaman yang diperolehi dikongsikan buat anak didik. Allahu, hanya Dia yang tahu betapa aku merindui zaman itu. Saat berkongsi cerita dan pengalaman, anak didik bersemangat mendengar. Tidak menyangka ustazah seaktif itu. Mengendalikan aktiviti perkhemahan dan menyertai banyak ekspidisi mendaki bukit dan gunung. Kenapa perlu hairan? Seluruh melaka sudah ditempuhi hanya dengan bermotor. Pagi hingga ke malam. Sudah biasa. Inikan pula menyertai pendakian bukit dan gunung :-) Tidak pasti untuk usia ini, masih mampu atau tidak. InsyaaAllah minggu hadapan akan ada aktiviti jungle tracking. Tidak sabar mendaki bukit, melihat air terjun. InsyaaAllah, ada rezeki akan ana kongsikan.

Dalam sisa berbaki ini, serba sedikit pertolongan cemas akan ana kongsikan. Sudah melalut entah ke mana ceritanya. :-)

Pertolongan cemas merupakan bantuan awal  atau rawatan awal yang dihulurkan kepada mangsa yang tercedera dengan tiba-tiba sebelum kedatangan doktor, ambulans atau pakar perubatan. Alatan yang digunakan adalah bersifat mudah ditemui dan ia berada disekeliling kita. Tujuan pertolongan cemas dilakukan adalah untuk menyelamatkan nyawa, mengurangkan kecederaan yang dialami oleh mangsa, mengurangkan kecederaan mangsa menjadi lebih parah.

Sedar atau tidak, kita juga pernah memberi pertolongan cemas kepada rakan atau ahli keluarga yang berhampiran dengan kita. Seperti contoh, ana mengambil pengalaman ana sendiri. Ia baru berlaku 2 atau 3 hari yang lepas. Selesai sahaja anak didik Alquran menghabiskan baccan terakhir, tiba-tiba peristiwa tercucuk lidi mengaji di kaki. Allahu, darah yang keluar memancut dan tidak mahu berhenti. Anak didik yang tidak mengerti apa-apa, menangis dan melaung minta diberhentikan darah yang keluar. Dengan serta merta ana membawanya ke paip air  wuduk untuk membasuh lukanya. Sambil menenangkannya, ana bertindak pantas mengambil alcohol cotton, minyak gamat yang berada di dalam rumah serta kain putih untuk membalut luka tersebut. Dalam masa yang sama ana memanggil kakak untuk membantu. Mujurlah kakak seorang doktor, tetapi doktor gigi. Pun boleh.

Alhamdulillah dengan peralatan dan ubat yang sesuai, ikatan yang kemas, dapat membantu darah berhenti mengalir. Kaedah untuk menenangkan anak didik supaya tidak melaung dan menangis juga memakan masa. Hanya mampu tersenyum. Selepas berhenti menangis. Mulalah ana berceramah kepada mereka. Selapas kejadian itu, ana tegas dengan penggunaan lidi. Memberi amaran supaya tidak menyepahkan dan tidak bermain lidi. Anak didik bertambah ramai, sukar dikawal. Selepas ceramah, mereka lebih berhati-hati menggunakan lidi dan banyak duduk diam. Kadangkala perlu ugut juga supaya tidak berlaku lagi. Pesanku, selepas ini, siapa tercucuk di mana-mana sekalipun, ustazah tidak mahu tolong. ;p

Pentingnya kaedah merawat. Ia perlu dipelajari dengan betul, bimbang jika salah akan menjadi lebih parah. Umpama tikus membaiki labu. Jenis ubat, pengendalian rawatan yang cekap, ikatan yang kemas dan cermat, dan lain-lain perlulah dipelajari. InsyaaAllah jika berkesempatan akan berkongsi serba sedikit mengenai perkara-perkara yang dinyatakan.

Orang lain sibuk dengan beli saham, beli emas. Ana sibuk dengan pertolongan cemas. Sudah jiwa ke sini. Bincanglah apa pun, yang dijiwai itu juga yang akan bertakhta di hati. PEACE:-)

Penglihatan mata sudah berganda-ganda. Tanda silalah berehat. Wallahua'lam.

Semoga Allah redha,
Hsnul khatimah.

No comments: