Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

10 May 2015

Multitasking itu Qowiy.

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah meletakkan keupayaan hambaNya dalam melakukan sesuatu perkara adalah mengikut daya kemampuan paling maksima yang telah/akan dimiliki. Allah itukan sebaik-baik penentu terhadap segala ketentuan.

Jika melihat dalam segala aspek perkara yang ditempuhi dalam kehidupan seharian, fitrahnya kita tidak mampu untuk melakukan semua perkara dengan sendirinya. Memang benar, fitrahnya begitu. Namun, apa yang menjadi tuntutan kepada kita waktu ini adalah dengan berfikir bagaimana caranya untuk memperolehi kemampuan yang pelbagai. Sekurangnya berusaha walaupun tidak mampu kesemuanya.

Tindakan seorang yang bijak untuk menjadi qowiy dalam pelbagai aspek tidak lain dan tidak bukan adalah berusaha semahunya dalam memaksimakan keupayaan yang pelbagai. Dalam erti kata lain serba boleh dalam semua perkara (multitasking). Kadangkala multitasking tidak dapat dipisahkan dengan jiwanya yang tamak dengan sesuatu. Tamak dalam perkara ibadah tidak mengapa. :-)  Penulis sendiri pernah digolongkan sebagai seorang yang tamak. Mengapa sebegitu?

Penulis seorang yang cepat bosan dengan sesuatu perkara yang sama setiap hari. Jika letak di suatu tempat untuk berkerja hanya untuk mengulangi perkara tersebut hari demi hari, ternyata penulis pasti akan berpindah. Jiwa ini memberontak untuk melakukan perkara lain dan berasa seakan membuang masa dan tidak produktif. Daripada zaman sekolah bersemangat membolot semua subjek. Akademik diniyah tidak berkira, nak juga cemerlang. Orang nak jadi usatazah, kita nak jadi ustazah. Orang nak berdakwah berkebajikan, kita juga nak berdakwah buat kebajikan. Orang nak pandai komputer, kita juga nak. Orang nak jadi photographer, kita juga nak. Orang nak jadi doktor, kita nak jadi doktor. Orang nak jadi saintis, mathematicians, kita juga nak. Orang pandai mengaji kita juga mestilah nak. Orang nak pandai akaun ekonomi, kita sibuk juga nak pandai. Orang panjat bukit gunung, kita pun nak buat. Hasilnya, semua jiwa yang dimiliki melekat kuat dalam jiwa. Sehinggakan nak kikis pun payah. Terkesan sehingga kini. Pelbagai bidang telah diceburi, maka manfaatkan walaupun sedikit. Kepelbagaian itu, Allah izin untuk disalurkan dalam misi mendidik penuh bererti. Itulah hikmah di sebalik kepelbagaian yang dimiliki. Allah itu maha Adil, mengetahui serba serbi kemampuan hambaNya. Dialah selayaknya untuk berserah diri.

Benar, jika kita fokus melakukan satu perkara kita akan kuasai kerja tersebut dan alim dengan selok belok pekerjaan tersebut. Bagi penulis jiwa seperti itu, tidak sesuai dalam diri penulis. Mempelbagaikan skill dan mencari jalan kehidupan yang penuh warna warni adalah yang utama. Ikut kemampuan untuk melakukannya, jangan memaksa diri jika tidak mampu. Merancang dalam banyak perkara kuncinya adalah semangat, kebijaksanaan dan tetap pendirian. Jika berkira apa kata orang dan kata-kata itu mendorong lemah semangat lalu tidak tetap pendirian, usahlah kata nak buat 5 perkara, 2 perkara pun sudah tentu tidak mampu. Kuncinya semangat, kebijaksanaan dan tetap pendirian. Selami setiap kunci itu dengan istisyarah, doa, usaha, dan tawakal. Mudahan berjaya.

Mengapa segelintir besar yang jatuh dalam melaksanakan misi yang pelbagai dalam satu masa? Ayat yang mudah difahami ialah mengapa tidak boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa?

Hal ini kerana, kudrat yang ada tidak dilatih untuk diposisikan mengikut berbagai bentuk masalah yang dihadapi. Bunga sungguh ayat ini. Maaf, itu yang terlintas.

Melihat kepada pencapaian tokoh ilmuwan pada era kini. Contoh terdekat yang dapat diambil ialah dengan kita telusuri perjalanan hidup Dr Zaharuddin. Beliau seorang yang multitasking. Melakukan pelbagai jenis pekerjaan dalam satu masa. Menurut beliau, untuk menjadi seorang yang multitasking dalam melakukan banyak perkara pada satu masa adalah perlu melatih diri melakukan semaksima mungkin perkara di usia muda. Melalui pengalamannya, di waktu mudanya tidak dibaziri dengan perkara yang sia-sia. Beliau berperanan seorang mahasiswa yang berjiwa pendakwah dan pencinta ilmu. Beliau menjalankan program dan pergi ke tempat pengajian dengan kudrat yang dimiliki. Ketika menguruskan program beliau berperanan sebagai pengarah, editor, setiausaha, unit publisiti, media dan semuanya. Bahkan semua pernah dilakukan dengan sendirinya. Bukan tamak, tetapi memudahkan kerja. Itukan lebih sopan untuk diertikan. :-) Semua perkara itu mengajar beliau untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa. Sekarang lihatlah, siapa beliau dahulu dan siapa beliau sekarang.

Bagi mereka yang terlepas zaman mudanya, jangan berasa tidak sempat untuk berlatih melakukan banyak perkara dalam satu masa. Sempat lagi untuk bertatih mulakan latihan. Tiada terlambat bagi siapa yang ingin memulakannya. Ma ta'akhkhar liman bada a.

Jangan berasa rendah diri melihat orang yang multi tasking, dan jangan menjauh diri apabila melihat seseorang hampir memiliki banyak keupayaan dalam satu masa. Cubalah kita ambil manfaat daripada orang itu dan belajar bagaimana untuk menjadi multitasking yang berjaya untuk ummah khususnya.

Penat memang penat jadi multitasking. Jika tidak penat, bila masa mahu berehat di syurga?

:: Multitasking dalam satu masa ::

No comments: