Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

18 September 2017

Inspirasi daripada contengan.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah pujian kepada Allah SWT di atas nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat Ar-rasul S.A.W di atas perjuangan dan pengorbanan baginda sehingga kini kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam yang sangat besar. Tidak dilupakan juga doa dipanjatkan kepada para sahabat, tabi' dan tabien, ahli keluarga baginda seterusnya kepada semua para penyeru kebaikan, mudahan diberkati Allah senantiasa.

Tulisan pada kali ini, hanyalah sebuah contengan peribadi yang berfokus kepada pendirian yang tidak semua manusia merasainya dan tidak semua manusia dapat memahaminya dengan baik.

Contengan ini asalnya ingin ditujukan kepada mereka yang sangat menyayangi diri ini. Sungguh diri ini terlalu banyak menyembunyikan kesedihan dan kesakitan hanya semata ingin melihat orang yang menyayangi diri ini tidak bersedih dan tidak bimbang mengenai diriku.

Ingin sahaja bicara ini hendak disampaikan kepada seseorang tetapi tidak tahu samada dia akan membacanya. Kalau baca sekalipun, biarlah sampai saat dan ketikanya dia juga akan memberitahu.

Seusia kecil lagi, segala aktiviti yang dilakukan oleh diri ini, bakal mengundang kebimbangan kepada siapa pun yang berada di sekelilingku. Sekalipun dalam kebimbangan, keizinan itu pasti diperolehi. Memiliki badan yang kecil serta lemah fizikal mengundang mereka yang melihat tidak yakin dengan kebolehan diri ini. Walaupun lemah daripada fizikal, selalu menangis dalam diam, ternyata mereka semua mengakui bahawa diri ini mempunyai semangat dan kesungguhan yang tak pernah luntur. Kekuatan itu datang daripada Allah bukan daripada manusia. Sekalipun manusia menyakiti, sakit itu sekejap sahaja. Pasti hadir kekuatan setelah bermuhasabah menghadap Allah.

Sudah berkali-kali menyembunyikan kesedihan hanya semata ingin melihat orang lain tersenyum.

Sungguh diri ini sangat susah untuk mementingkan diri. Asal sahaja orang itu dalam kesusahan pasti dibantu, asal sahaja orang itu memerlukan pertolongan pasti tiada alasan untuk mengatakan tidak. Kadangkala malu untuk meminta bantuan kepada manusia kerana sudah terbiasa membantu orang lain. Sakitnya itu ditanggung sendiri. Diri ini sangat bersyukur, di saat benar-benar diuji, Allah hadirkan insan untuk membantu. Allah hadirkan kecukupan bila berhadapan dengan kekurangan. Diri ini tidak meminta dengan banyak, asalkan cukup untuk keperluan dan dapat memberi dengan berterusan.

Biarlah waktu ini, kupersiapkan apa yang termampu.Tidak perlu ada ketakutan menghadapi kata-kata manusia yang melemahkan. Mereka yang memahami akan terus memahami, dan yang tidak faham biarlah. Esok-esok nanti fahamlah.

Maafkan diri ini, sungguh diri ini tidak berdaya untuk membahagiakan mereka yang berada disekelilingku. Kebimbangan mereka mudahan menjadi satu doa dan ingatan buat diri ini menghadapi aktiviti seharianku. Satu persatu cuba ku usahakan. Berikan masa dan letakkan sangka baik yang berterusan. Niat yang baik Allah pasti perkenankan. Niat dan jalan yang baik pasti dalam jagaan Allah.

Hidayah ini bukanlah hanya sekadar hidayah. Sesiapa sahaja yang berhajatkan kebaikan pasti diraikan dan disantuni. Husnul Khotimah dengan redha Allah.

Wallahua'lam.

No comments: