Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

25 May 2013

Qawi dari pelbagai aspek.

Setiap kali jari jemari menekan butang keyboard, pasti butang backspace di tekan. buntu dengan idea yang ingin ditulis. Ya Allah izinkan aku menulis. Manfaat buat ummah.

Menjadi pelajar, menjadi sahabat, menjadi anak, menjadi cucu, menjadi anak buah, menjadi kakak, menjadi adik, menjadi kakak saudara, menjadi adik saudara, menjadi anak didik, menjadi seorang daie. semuanya memerlukan diri ini. tinggalkan mereka, umpama hilanglah sebahagian nikmat bersaudara.

Alhamdulillah semester 6 berakhir. Ini bermaksud, segala tanggungjawab yang tergalas bakal berakhir. kini ana boleh fokus dengan belajar dan menyambung cita-cita yang tertanam sejak dahulu. Tetapi ana bukan hanya lepaskan begitu sahaja. ana akan follow up mereka yang meneruskan misi ini. 

Bukan mudah untuk menjadi qawi di Universiti. Di sekolah, ada guru yang melindungi, teman yang seangkatan fikrah dan ada mak abah memantau. Di Universiti, terserlah peribadi masing-masing. Bukan mudah qawi, terkadang futur mencari kekuatan.

Bermula dengan bawah, ana tanamkan dalam hati untuk qawi dengan penampilan. Ana teringat satu kata-kata dari teman. Bagaimana diri ini ingin qawi, sedangkan suasana tidak mengizinkan. Alhamdulillah suasana di Usim mengizinkan ana untuk qawi dengan penampilan. Tetapi ada juga yang tersalah tafsir. Melihatkan ana berpakaian, ramai diantara mereka yang mengatakan ana adalah pelajar agama.

Antara banyak-banyak pengalaman, hanya dua yang lekat dikotak memori. 

Pertama: Ketika menghadiri suatu program luar, ana ditanya tentang latar pendidikan. Tambahan pula yang menyertai program tersebut semuanya berlatar belakang pengajian Islam. Ana... dengan sengaja membiarkan orang lain bertanya. Jujur, ana kerap kali merasai sesuatu perasaan yang sama. setiap kali orang menyangka ana budak agama, mereka merendah-rendahkan dan hanya memandang sebelah mata. Seolah-olah tidak mahu bertanya dengan lebih lanjut dan tidak meraikan pendapat. Tetapi, apabila diberi ruang untuk bersuara, ana membongkar identiti. mereka terkejut dengan latar belakang pengajian ana. Tetapi, setiap kali bersuara, ana akan tekankan bahawa tegurlah ana jika ana salah, kerana ana bukanlah seorang yang berlatar belakangkan pengajian agama. Bekalan yang ada, hanyalah hasil didikan di maahad dahulu. Setelah tu, sibuklah bertanya itu, bertanya ini. Bukan tidak mahu untuk meraikan mereka, tetapi ana berkecil hati dengan mereka yang merendahkan keupayaan seorang budak agama. Di sebabkan perkara seperti ini kerap berlaku sejak dibangku sekolah lagi, ana memutuskan untuk mengambil sains dahulu, walaupun ana lebih kepada agama. Bagi ana plajar agama, lebih mulia nak dibandingkan dengan ana ini.

Kedua: Ketika sibuk mengendalikan peralatan memasak dalam sebuah hutan (ada ekspidisi hari tersebut), seorang junior bertanya. Kak dayah belajar sains kan? Boleh tak kami minum air kelapa dan selepas itu minum air 100 plus. Ada effect tak? Tanyanya lagi. 
Ada seorang junior mencelah. Kak dayah bukan FKP (Fakulti Dakwah dan kepimpinan Pengurusan) ke? Hari tu, masa taaruf, kak dayah sebut kak dayah dari FKP kan? 
Ana hanya mampu tersenyum. 
Seorang junior menjelaskan jawapannya. Kak dayah FST la. silap dengar lah tu. 
Tapi, macam budak dakwah... (Katanya lagi)
Kenapa? kataku lagi. 
yalah... yang lain agama juga, x macam akak pun. 
err... akak mungkin terbawa cara didikan di sekolah maybe... hanya itu yang mampu terjawab. takut mengecilkan hati mereka yang mempelajari bidang agama. mereka ada disekelilingku...

Soal penampilan sudah dikongsikan. Ikhtilat pula. 

Jujur, bukan mudah untuk mengawal perasaan. tambahan pula, keluar dari maahad, terus didedahkan dengan mereka yang ajnabi. satu cabaran. tetapi, ana teringat satu pesanan daripada murabbi di maahad. Antara lelaki dan perempuan boleh berurusan jika ada keperluan. Maka alternatif itu ana cuba sebatikan dalam diri. Satu hal lagi, wahai adik-adikku. seorang muslimah itu pasti tertarik dengan perwatakan yang soleh bukan? bimbang diketahui suka, bimbang diketahui gedik, bimbang diketahui perasan, ana lari daripada mereka yang  maybe boleh dikategorikan soleh. (wallahua'lam). sekadar pandangan. boleh diulas panjang lagi. Dengan cara apa? iya, berkenalan dengan masyarakat yang tidak memahami fikrah. Mereka yang faham fikrah berbeza dengan mereka yang ada ilmu tetapi tiada fikrah dan memahaminya. Panjang jika ingin menghuraikannya. 4tahun berada di sini, masakan satu hari mampu menceritakan di lapangan blogger ini? ^^

Ana kira sudah cukup setakat ini, jika Allah mengizinkan, ana akan menyambungnya lagi. Ana berharap adik-adik diluar sana mendapat intipati maksud yang tersirat daripada tulisan ini. Ana tidak hairan jika ada ajnabi yang membaca tulisan ini. mudahan janganlah kalian bermain dengan hati tika membaca penulisan ini. Penulis tidak mengharapkan anda mengagumi. penulis tidak bersedia sekalipun untuk meminta diri dikagumi. Ana hanya ingin mengajar kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Mengapa ingin mengejar nikmat dunia? hakikatnya aku akan tinggal selamanya di akhirat.


p/s: untuk adik-adik yang dikasihi.

24 May 2013

Fokus

Bismillahirrahmanirrahim
Pertama dan utamanya
Pujian setingginya kepadaMu
Allah S.W.T
Selawat dan salam
Buat Rasul Al-Amin
para sahabat
tabiin
tabi'tabiin
doa dipanjatkan buat yang kusayangi
emak
abah
murabbiku
sahibah seperjuangan
sahabat seakidahku
...

Kuasa fokus
betapa hebatnya kuasa fokus
setinggi mana usaha kita mengejar cita-cita
setabah mana kita pertahankan impian kita
sejauh mana lagi tidak tergapai
akan ana usahakan
akan ana buru
buru

oh tuhan
berkatilah aku dalam mencari ilmu
moga ku berpeluang menjejaki ilmuMu
Izinkan aku menjadi sebahagian mereka yang Kau rindui

demi kejayaan
ada harga perlu dibayar
bagaimana untuk membayarnya
bayar dengan sebuah pengorbanan
sebuah ketaqwaan
taqwa

...

banyak sekali yang ingin ditulis
biarlah menjadi simpanan
sungguh aku tidak tahu
kuat manakah aku ya Allah?

...

masih mencari dan terus mencari


08 May 2013

Hebatnya daie itu.


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan ana untuk menukilkan sebuah artikel pada hari ini. Ikuti cetusan pendapat dan pengalaman yang ana bakal kongsikan buat tatapan pembaca yang dirahmati Allah sekalian.

Meminjam kata-kata Rasulullah S.A.W yang di ambil daripada hadis Sahih. Ia berkaitan dengan pujukan Rasulullah buat para daie/ah. Nabi telah berkata “ Seorang mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan dan kejahatan masyarakatnya.”

Pertama dan utamanya, meletakkan diri berada di dalam situasi yang bukan kebiasaan bagi diri kita adalah sangat payah. Tambahan pula, kita sebelum ini dicorakkan dengan suasana baik dan tiada kekacauan emosi. Mengapa bersusah payah berpisah dari kelompok yang sudah terjamin engkau akan selamat dengan kekacauan itu? Ini tidak, kau berlaku sebaliknya.

Ana akui, tidak mudah untuk menjadi setabah Rasulullah, tidak mudah menjadi sehebat Rabiatul Adawiyah, dan juga tidak mudah untuk menjadi secekal Imam As-Syafie. Siapa yang dapat mendengar rintihan dan luahan hati seorang daie? Siapa yang mengetahui? Tidak siapa tahu. Allah yang maha mendengar sahaja yang mampu mengetahui isi hati seorang daie. Bertitik tolakkan niat yang sahih dan matlamat yang jitu, InsyaaAllah pengorbanan seorang daie dalam bergaul dengan masyarakat mudahan besar nilaiannya di sisi Allah.

Daie itu, engkau tidak tahu sama ada dia pernah mengalami luka di hati dan tergores hatinya dengan kata-kata sinis masyarakat atau tidak? Engkau juga tidak tahu sama ada dia mengalami kejatuhan yang sangat teruk dalam hidupnya atau tidak? Apa yang engkau tahu? Seorang daie itu sentiasa tersenyum dan terus senyum mengajak kepada kebaikan, seolah-olah tiada apa yang berlaku dalam hatinya.

Ana takjub memerhati peribadi seorang daie. Kesabaran yang ada, Subhanallah mengatasi orang biasa. Bertalu-talu orang cuba mematahkan hujahnya, bertalu-talu orang menolak ideanya, dia sering berkata tidak apa, Allah hanya menguji sedikit sahaja, biarlah ini satu cara Allah mengampuni dosa-dosaku yang lalu.  Tika orang memarahinya dan bertindak kasar, dia tetap dengan senyuman dan cuba bersabar untuk tidak melawannya. Bahkan daie itu menadahkan doa kepada yang Esa untuk melembutkan hati sahabatnya untuk kembali kepadaNya. Lihatlah wahai pembaca sekalian, ana tersentuh dengan peribadinya. Jatuh hati untuk menjadi sepertinya. Mudahan-mudahan sahabatnya itu turut terinspirasi dengan perwatakan daie tersebut untuk berubah.

Ya Fatthu Ya ‘A’lim. KAU bukakanlah pintu hati hamba2-Mu yang tertutup untuk menerima dakwah yang dibawakan oleh daie itu. Aku bimbang, daie itu tidak secekal Nabi Nuh. Nabi itu maksum, daie itu manusia. Dalam masa yang sama aku berdoa kepadaMU Allah untuk sering memberikan keteguhan iman yang berpanjangan buat si daie itu.

Sekali lagi pembacaku sekalian, ana tersentap hebat menangisi kehidupan si daie itu yang tidak mempunyai masa bersama sahabat mahupun bersama-sama temanya untuk berbicara. Kerana apa? Kerana si daie itu bimbang dengan masyarakat yang berhampiran dengannya. Daie itu, bimbang jika kepentingannya semata-mata didahulukan, masyarakat berhampiran dengannya terabai. Allahu. Jika dia sibuk dengan berteman sepenuh masa, berbicara tentang kepentingan dunia, pasti si daie itu semakin berlagu hiba mengenangkan apa yang telah dilakukannya.

Wahai pembacaku sekalian, janganlah sekali kau hampakan harapan si daie itu. Jika kau berada di situasinya, pasti kau akan rasa terseksa dan menderita diperlakukan sedemikian rupa. Tetapi ingatlah, lumrah perjuangan, memerlukan kesabaran. Hilangnya sabar, lunturnya iman, kelak pasti kau akan menyesal. Wahai daie! Ayuh, ana menyokong dan bersama denganmu untuk menjadi lebih sabar. Kerana… Fasabrun… Jamil. Allahu…

01 May 2013

Pencapaian luar biasa.

Apakah bentuk sumbangan yang terbaik dapat kalian  sumbangkan buat masyarakat khususnya apabila dewasa kelak? Sering kali soalan ini berlegar di minda. Dahulu sejak kecil ana mengimpikan kejayaan yang luar biasa. Sehingga kini, tidak pernah merasai pencapaian yang luar biasa. Apakah kejayaan yang luar biasa itu? Ya Allah…Engkau Maha mengetahui…

Hati kecil ini merintih hiba, Ya Allah anugerahkanlah kekuatan kepada diri ini untuk mengurus kehidupan di dunia dengan lebih tersusun. Bukan mudah untuk memenuhi kehendak semua orang, kerana secara fitrahnya ana juga seorang yang lemah mengawal emosi. Tetapi alhamdulillah Allah mengurniakan sifat pemaaf yang menakjubkan dalam diri ini. Ana sayang Allah.

Terdetik juga untuk memikirkan perancangan pada usia dewasa kelak. Selepas mencapai kelulusan ijazah sarjana muda. Ana risau dan khuatir pada diri ini. Bagaimana untuk menyusun perancangan? Sedangkan pengharapan kepada akademik yang cemerlang hanyalah berada di atas angin. Ijazah sarjana muda yang hanya menjanjikan kerja tidak kepada kepuasan. Hasrat yang mendalam untuk mempelajari ilmu Al-Quran dan agama sering menjadi pertanyaan dalam fikiran. Terkadang sesak memikirkannya, bimbang dibuang jauh dari kefahaman Islam. Mujurlah Allah tidak memberi kegagalan dalam setiap peperiksaan. Hakikatnya, ana jatuh bangun menghadapi subjek-subjek yang sukar untuk di ‘erti’kan. Niatku untuk belajar “Faham dan amalkan”. Mungkinkah dengan niat yang ditanam, ana sekadar separa faham akan subjek-subjek yang dipelajari?

Berlalulah pergi angin yang membawa khabar duka, kini ana mengalukan hembusan bayu menyapa dengan membawa khabar gembira untuk mengubat hati yang kekosongan. Tidak sabar rasanya untuk berbakti kepada masyarakat. Terlalu banyak halangan yang perlu ditempuhi untuk menghabiskan sisa-sisa pembelajaran. Hanya semata untuk membuktikan kepada orang lain, ana juga mampu memiliki ilmu yang mereka tidak mampu miliki. Ya Allah, jika aku masih keliru. Buangkan jauh-jauh perasaan ini. Kerana itu semuanya permainan syaitan. Setiap kali menulis, ana mohon doa dari kalian. Agar terbuka jalan untuk ana menjadi manusia yang mempunyai pencapaian luar biasa.

“LUAR BIASA ITU AKAN BERLAKU ANTARA DIRI INI DenganNYA SAHAJA” manusia tidak akan tahu…


p/s: terkadang, anggaplah yang berada di hadapan kita seorang yang luar biasa, kelak kita akan tercabar untuk menjadi lebih dari yang luar biasa. ^^

23 April 2013

Keindahan.

Bismillahirrahmanirrahim.
Keizinan dari-Nya membuatkan ana berusaha untuk menaip sepatah dua kata.

"Berusaha menyembunyikan kebaikan, seperti mana kita sembunyikan keaiban diri sendiri."

Pahit sekali jika orang lain tidak mengecam, orang lain tidak mengambil tahu, orang lain tidak tahu tentang kebaikan yang kita lakukan. Begitulah, pahit sekali jika orang lain tahu keaiban diri sendiri.
Itulah sebenarnya keindahan.


InsyaaAllah, di waktu dan kelapangan yang lain, ana akan nukilkan sebuah karya adaptasi daripada tempat di atas. ^^

14 April 2013

melakar rindu

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, bersyukurku kepadaNya di atas nikmat iman dan Islam. Permulaan kalimah, Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.a.w dan para sahabat, para tabi’in dan tabi’ tabiin… Buat Emak abah yang menjadi kekuatan untukku dalam melaksanakan tujuan hidup yang sebenar. Mak abah tak pernah melarang anaknya menjadi baik dan menjadi dirinya sendiri. Kepercayaan seorang ibu jangan dikhianati…

Hakikatnya, terlakar rindu dilembaran sehelai kertas untuk menulis. Ana memutuskan untuk menulis di atas blog. Semoga memberi manfaat. Nafiun lighoirih. InsyaaAllah. Sepanjang cuti semester ini, Allah memberi kelapangan untuk ana menjejakkan kaki di China. Ana berhajat untuk menukilkan sebuah travelog seorang siswi menjejaki masyarakat muslim di Chengdu, China. Tetapi, bukan masanya untuk ana menukilkannya. Mid term akan berlangsung sepanjang 2 minggu. Usaha untuk mengembalikan kecemerlangan akademik. Ana jatuh, pasti akan bangkit kembali. Biarlah, ana yakin akan mendapat yang lebih baik selepas ini. Janji Allah… IntansuruLLaha yansurukum….

Program demi program di asak hebat. Ana cuba untuk menolak, tetapi bertegas dengan tanggungjawab. Mudahan Allah permudahkan. Rabbuna yusahhil.

Hidup ini membilang usia, semakin dekat dengan kematian. Apakah bersedia menghadap Yang Esa? Mengambil inti pati lirik lagu, budi-budi perkerti oleh Azhar Langit Ilahi. Allah itu sifatnya maha Pemurah, walau kita lupa dia tak terus murka, sebaliknya diberi masa untuk berubah, kerana Allah sayang hambanya.

Lirik lagu ini diubahsuai daripada lagu putih-putih melati. Alhamdulillah, dimanfaatkan buat akidah ummah. Berbalik kepada liriknya. Benar, Allah mengizinkan ana hidup di muka bumi ini adalah untuk memberi peluang untuk berubah. Carilah kebahagiaan Allah, kasih sayang Allah, rebutlah pandangan Allah, kelak pasti tidak akan kecewa.

Bahagia melihat kegembiraan terpancar dari riak muka ahli-ahli keluarga. Seolah-olah kepenatan dibalas dengan kasih sayang yang tidak putus-putus. Mujurlah cenderahati yang di beli cukup-cukup untuk diberi kepada teman sekuliyah, sahibah serumah, dan keluarga. Malam semalam, berduyun-duyun saudara mara turun ke rumah. Aktiviti ziarah menjadi kebiasaan. Ana berhajat untuk menitipkan cenderahati buat semua keluarga. Alhamdulillah semuanya balik dan turun untuk menziarahi. Dalam masa yang sama ana dapat melihat wajah gembira mereka menerima hadiah dari ana, mendengar celoteh dakwah dan pengalaman di sana buat mereka. Jangan sia-siakan keluarga seperti ini. Mereka penguat ana menjadi seorang yang lebih berpandangan jauh. Kelemahan ana… berkomunikasi selain Melayu. Lainlah diberi peluang berkata-kata dalam bahasa Melayu, InsyaaAllah dipermudahkan.

Tergelak seketika mengingatkan kata-kata yang dilontarkan oleh seorang kenalan dan tour guide yang memerhati ana membeli cenderahati yang banyak. Seorang kata, “woah… kasirun…” seorang lagi, “u’re so rich”. Hu3, ana mampu tersenyum. Dalam hati, “Ini semua untuk mereka yang kusayangi. Tidaklah menjadi masalah untuk mereka berkata-kata, mudah-mudahan mereka mengerti.” Jazakillahukheir mak kerana menitipkan duit, walaupun dayah tak minta… ^^

InsyaaAllah, jika diberi kelapangan selepas ini, ana akan menulis travelog. Ana ada misi dakwah yang panjang. Semoga ia dapat dipanjangkan buat mereka yang memerlukan. Pahala itu akan terus mengalir dan mengalir di syurga. Amin…

Muslim di Chengdu memerlukan kamu… kamu… kamu yang berkebolehan dalam menyampaikan misi dakwah. Agar semua dapat merasai nikmat Iman dan Islam. Innal mukminuna ikhwah… utlubul ilma walau fissini… Bersambung…

maka nikmat Tuhanmu yang manakah engkau hendak dustakan?
p/s: dengan menulis, anda membaca. Yang menulis dapat pahala, yang membaca dapat manfaat. Amal dan sebarkan, kedua-duanya akan mengalir pahala sehingga ke Syurga. ^^

16 March 2013

Menginsafi diri

Bismillah
Salam alaik!
coretan apa yang ingin ditulis lagi?

Menyelak kembali planner untuk bulan Mei dan April. Sudah penuh. Untuk aktiviti keluarga, persatuan, dan fakulti. Lengkap semuanya. ^^

Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk menghirup molekul oksigen di muka bumi Allah ini.
Alhamdulillah diberi nikmat yang banyak oleh Allah sehingga tidak mampu untuk mendustakan nikmat yang diberi oleh Allah.

cukuplah pemberian ini ya Allah, sehingga aku sendiri malu denganMu. ya Allah, jangan KAU pula menafsirkan kata-kataku ini supaya menarik kembali semua nikmat ini. KAU berhak... jika kau kehendaki, ambillah. Bimbang, khuatir, dan istilah apa lagi yang aku ingin katakan. tidak tahu ya Allah.

berazam untuk lebih dekat denganMu ya Allah. Izinkan aku bersamaMu di waktu tiada orang yang melihat, tiada orang yang mengagumi, tiada orang yang menilai diri ini.

hitung amal bekalan duniawi atau ukhrawi? yang mana banyak? insafi diri...

15 March 2013

Tidak menolak sunnah.

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk menulis. Hakikatnya banyak yang perlu disiapkan. Muslimah berdisiplin. InsyaaAllah.

Mengira, menghitung umur. Allah! Sudah semakin hampir dengan kematian. Tidak sedar, kewujudanku di muka bumi Allah ini hanyalah menumpang. Tiada masa untuk memikirkan kesilapan yang lama. Justeru itu, misi merebut cinta Allah. Yuk… Di sini ingin saya kongsikan sebuah kisah kepada pembaca semua.
Berapa ramai yang sudah terlanjur bercinta? Berapa ramai yang sudah lali dengan bercinta? Dan siapakah yang tergolong dalam sebilangan besar yang ingin bercinta tetapi berusaha untuk membentengi diri daripada lagha hati? Bergantung kepada setiap orang untuk mengakuinya. Setiap orang mempunyai tahap kefahaman mengenai cinta. Ana tidak berniat untuk menuduh, setiap orang menerima didikan dan agama berbeza tahap. Jangan mudah menolak, jangan mudah menyalahkan. Kita semua manusia, tiada yang maksum melainkan para anbia’.

Bermula kisahnya…

Aleya ketika itu berada di tahun 2. Lumrah perasaan ingin dicintai dan mencintai. Normal dan fitrah bukan? Walaupun sudah ditarbiyah dengan makna Iman dan Islam setiap hari, tetap tidak terhalang daripada melakukan kesilapan. Bermula dari mesej lalu berjanji untuk berjumpa. Walaupun ketika itu ada orang ke-3, perasaan dalam hati Aleya sering dipermainkan oleh syaitan. Selagi tidak berkahwin syaitan akan terus menggoda. Dipendekkan cerita, lagha hati tidak terjaga. Mesej dan terus mesej, walaupun hanya pertanyaan simple, ia tetap di kira tiada keperluan.

Dalam dilema dengan dosa yang dilakukan. Aleya duduk di suatu sudut memikirkan kesilapan yang dilakukan. Dilema itu berlanjutan sehingga satu semester. Satu semester itu juga, dia banyak berfikir. Jika Aleya berhenti mesej dan menyuruh dia (lelaki yang dimesejnya itu) menunggu, sudah pasti lagha hati dan dosa akan terus dilakukan. Jika Aleya bersikap untuk memutuskan persahabatan itu, Aleya akan berasa kecewa dan mungkin akan mengganggu pembelajarannya. Jika Aleya berkahwin, mampukah Aleya mengimbangi pelajaran dengan rumah tangga yang bakal dihadapinya. Lantaran memikirkan tiada keputusan yang sesuai dilakukan, natijahnya… semua pelajarannya jatuh pada sem tersebut. Aleya merasakan dia perlu membuat keputusan. Bisik hatinya, inilah balasan dan hukuman daripada Allah terhadapnya. Dia bernekad untuk melakukan Istikharah. Dosa dengan Allah itu tidak lagi terbendung di dalam hati, Aleya mebuat keputusan untuk berkahwin. Allah pasti membantunya dalam menghadapi hari-hari yang akan mendatang.

Bukan mudah menghadapi alam rumah tangga. Aleya tidak berkahwin dengan suaminya sahaja, bahkan seluruh keluarganya. Suaminya ada tanggungjawab yang besar dengan keluarganya. Aleya menuruti untuk tinggal bersama keluarga suaminya. Dengan urusan rumah, pekerjaan untuk menampung minyak kereta, dan pelajaran. Aleya tetap tabah, kerana Allah itu pasti membantunya. Anak manja seorang ibu mithali, kini duduk bersama keluarga menantu. Hati Ibu yang mana tidak risau kepada anaknya? Jawab Aleya. “Ibu…. Aleya selamat dan bahagia dengan keluarga ini.” Walaupun dalam hati inginkan kasih sayang ibu dan hidup bersama ibu. Aleya berusaha untuk menjadi kuat dan terkadang Aleya berasa bahagia kerana dia menjadi tumpuan Tuhannya. Dengan ujian ini, Aleya rasakan Allah melihatnya. Dan dia merasai kewujudan Allah ada bersamanya.

Pengajaran kisah:

Besarnya pengorbanan Aleya untuk menagih kasih sayang Allah. Dia merasakan dia telah menduakan cintanya kepada Allah. Dia tidak sesekali ingin mengulangi dosanya kepada Allah. Wahai pembaca, Aleya bimbang dengan dosa yang dilakukan setiap hari.
Hakikatnya, kita merasakan lagha hati ini biasa bukan? dan ada lagi lagha yang besar seperti bersentuhan dan berjumpa berdua-duaan. Ada lagi, berzina pun tidak ingin untuk berkahwin. Bagi Aleya, apa dosa sekali pun yang dilakukan kepada Allah, dia akan cuba untuk tidak melakukannya. Biarlah, orang ada kata kepadanya, “gatal nak kahwin” “repeat paper sebab bercinta”. Sedangkan hatinya ketika itu berasa bersalah yang teramat kepada Allah.

Pembaca sekalian. Walaupun Aleya tidak kuat untuk menjadi Rabiatul Adawiyah, tetapi hatinya dan akidahnya kepada tuhannya dapat diumpamakan seperti Rabiatul Adawiyah bukan?

Let bygones be bygones. Yang sudah, sudah… Hari ini lakukan yang terbaik untuk meraih cinta Allah.

Aleya ada pesan pada penulis. Jangan sesekali berani jatuh cinta pada usia yang tidak sesuai. (ketika belajar). Jika yakin dengan ilmu rumah tangga , berkahwinlah. Penulis sering kali muhasabah, ajal semakin hampir, perlukah kita hanya bersenang lenang dan hanya mensia-siakan masa yang diperuntukkan Allah untuk tidak beramal? Biarlah… usaha menjadi yang terbaik dipandangan Allah. Penulis tidak menolak sunah, menangguhkannya dan berusaha menyiapkan diri dengan kematian. Allah sebaik aturan.

14 March 2013

derivative bidang yan luas, tetapi...


Nahmaduhu wanasta'inuhu wanutubu ilaih.

Assalamualaikum w.b.r.t.h…

Alhamdulillah, minggu kuliyah dilalui dengan penuh pengharapan agar usaha mendalami ilmu yang diceburi diberi ketenangan dan kefahaman mengenai halal haram dalam sesebuah institusi kewangan.
Bukan mudah untuk meyakinkan diri untuk cemerlang dalam bidang ini. Ya Allah keliru dan ragu-ragu. Manakah tidak, mempelajari sesuatu yang mendalam tentang perkiraan sistem riba’, uncertainty, dan juga gambling. Dengan permainan hedgers, arbritregeurs dan speculators.

InsyaaAllah, ana ingin berkongsi sedikit sebanyak apa yang selama ini dipelajari.

kucing ini berkata: tidak mudah... 


Dalam kesibukan mengira dan mengira, memahami teori, teknikal, formula, graf dan sebagainya. Tersentak dengan banyak perkara.

Masing-masing tidak ingin rugi. Masing-masing tidak ingin jatuh. Demikian itu terlaksanalah derivative. Derivative adalah major pengajian financial mathematics. Derivative di Malaysia masih baru. Apakah derivative? Derivative merupakan satu bentuk sekuriti. Ia merupakan kontrak di antara dua pihak atau ada juga banyak pihak. Nilai sesebuah derivative ditentukan oleh turun naik dalam underlying aset (share, bon, komoditi, mata wang, kadar faedah dan Indeks Pasaran). Di Malaysia, Derivative di jual beli di BMD bursa Malaysia derivative.

Derivative ni, saya masih samar-samar mencari kebenarannya. Dalam usaha. Yang pasti kontrak membenarkan penjual dan pembeli mengunci harga. Kiranya, harga akan tetap selama kontrak tidak tamat. Kalau harga pasaran naik, maka penjual untung manakala pembeli rugi. Dan sebaliknya pula. Zero sum game…. Syariah melarang pengakhiran harga dan barang dalam satu waktu. Syariah mengisyaratkan untuk pembeli memakai konsep bay’ al-‘urbun, di mana pembeli yang akan membeli instrument derivative dan membayar wang muka tanda wang ini akan masuk menjadi bahagian dari harga barang yang dibeli.
Futures dan forwards, instrument derivative ini juga dilarang dalam syariah. Kerana banyak yang menggunakan instrument ini untuk spekulasi bukan untuk membeli barang. Untuk patuh syariah, derivative instrument harus diganti dengan menggunakan bay’ al-salam di mana pembeli betul2 akan membeli produk bukan berhajatkan untuk spekulasi.

Terimbau kembali kata-kata lecturer yang mengajar Financial Engineering. Kamu faham dan pelajari sahaja, di Malaysia tidak membenarkan short selling. Daripada kata-katanya, saya terinspirasi. x dapat aplikasi, mungkin saya mampu untuk menghalangnya untuk masuk ke Malaysia bukan? Kita dah tahu itu illegal, jadi jangan biarkan ia beroperasi dalam Malaysia. ^^

Erm, bagaimana nak bincang tentang short selling ni? Senang cerita, melibatkan jual securities yang kita x miliki, dan broker pinjam securities daripada client dan jual di market seperti biasa. Di Malaysia tiada lagi broker yang nak meminjam securities dan jual pada orang lain. Sebab tidak dibenarkan dalam Islam. Menjual yang bukan miliknya. Tetapi di Malaysia, broker sering menjadi bualan orang-orang kampung. Mana tidaknya, sangkaannya broker yang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli tanah mendapat faedah yang banyak. Allah, saya tidak mampu untuk mengulas mengenainya. (sambil google apa peranan broker sebenarnya… ^^). Tetapi ingin saya  tegaskan, wahai broker! Jangan lakukan penindasan kepada pemilik tanah. laksanakan tugas dengan AMANAH kerana Allah itu maha Melihat.

Belum lagi ana cerita mengenai forex exchange trading, pengiraan interest lanjutan, dan lain-lain. Terlalu banyak sehingga ana hampir tertutup hati untuk tidak mempelajarinya. Menyedari tuntutan Islam kepada manfaatkan ilmu yang dipelajari. Ana kembali pulih, mengejar ilmu yang hampir keciciran.
Suka ana kongsikan sedikit, mengenai permainan dalam urus niaga mata wang. Kami didedahkan dengan pengiraan mata wang asing. serta bagaimana cara arbitrageurs bermain dengan forex (mata wang). Membolot keuntungan dengan bermain di pasaran dagangan mata wang.

Ternyata, money fiat (wang kertas) itu telah membawa kepada inflasi. Bagaimana kita nak nafikan penggunaan wang kertas itu boleh digunakan? Ternyata inflasi terhasil daripada interest dan uncertainty. Dalam penggunaan wang kertas ana memegang pandangan ulama’ muktabar. Harus menggunakan wang kertas “hajat tunnazal manzilat al-darurat” dengan syarat mestilah mengikuti disiplin dan syarat yang sama dengan hukum atas emas dan perak. Darurat kerana faktor cengkaman ekonomi dunia di tangan orang bukan Islam dan keperluan mendesak untuk penggunaan mata wang fiat disebabkan ketiadaan alternatif pada waktu sekarang. Ada ke orang nak jual karipap terima duit dinar (emas)? Ada? ^^

Sudahlah Fatwa mengharuskan penggunaan fiat money hanya berlandaskan darurat, tiba-tiba ada muncul individu yang bermain dengan mata wang kertas fiat. Sudah nyata pada mata wang kertas fiat itu lahir dengan cara Riba, dan ia tidak bersandarkan kepada emas dan perak. Mereka mendapat keuntungan daripada permainan yang melibatkan dengan mata wang sebuah negara. Itulah arbitrageurs.  Beli dengan harga murah dan jual dengan harga mahal. Inikah pendapatan yang ingin dibanggakan? Mengambil untung atas perbezaan nilai mata wang sesebuah negara? Wang kertas menyebabkan inflasi, dari mana inflasi datang? Dari Riba. Mendapat keuntungan dari permainan mata wang fiat melibatkan inflasi, inflasi terhasil daripada riba, then Riba is prohibited in Islam. Individu yang sibuk meraih untung melalui perniagaan mata wang atau forex trading sebenarnya adalah penyumbang kepada inflasi dan menambah lagi masalah money supply.
Terlalu banyak yang dicoretkan, banyak lagi yang tak terluah ketidak puashatian terhadap kelemahan institusi kewangan yang dijelaskan dalam buku teks. ^^ InsyaaAllah akan ana sambung.

rujukan: buku Ustaz zaharuddin, internet dan buku teks finance maths.

-Ibn Abbas r.a. diriwayatkan telah berkata:
“Akan dikatakan kepada pemakan Riba di hari kiamat, “Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT.”
Rujukan: Jami’ al-Bayan’an Takwil Ayyi al Quran, al-Tabari.

27 February 2013

Islam itu Indah

assalamualaik!

"masuklah dengan mereka yang tidak kenal Fikrah"
"Jangan mudah menuding"
"tersenyumlah membawa doa"

-diamku kerana kekok-
Islam itu indah

^_^