Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

17 May 2017

Kita masih ada Allah.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah. Selawat dan salam buat ArRasul Muhammad S.A.W.

Sebagai seorang pendidik, emosinya setiap hari pasti diuji. Terpulang kepada diri bagaimana caranya untuk mengatasi. Allah izin, untuk qowiy dengan kelas anak-anak tahap 1. Lincah dan aktifnya, hanya yang pernah mengajar tahulah. Penat itu diakui, tetapi terhibur dengan telatah yang mencuitkan. Masuk kelas tahap 2 pula, penatnya tidak. Emosi bertambah sakit bila mengetahui anak-anak mempunyai masalah disiplin dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Tanggungjawab mendidik itu ada di tangan kita. Sejauh mana untuk bersabar, Allah sahaja yang tahu. Begitu juga setiap hari perlu menghadapi karenah anak-anak masyarakat, sukarela untuk mendidik mereka dipetang hari. Maka perlu ditempuhi dengan berbaik sangka kepada Allah.

Sebagai seorang penuntut ilmu, ada sahaja yang memeningkan kepala. Menghadapi karenah ahli group, permintaan pensyarah yang sukar dilaksanakan, kepenatan berulang alik, kekurangan duit minyak dan tol. Itu semua diatasi dengan sangka baik. Usaha dengan bekerja lebih masa dan berdoa kepada Allah untuk dicukupkan rezeki. Mujurlah buraq yang dinaiki mempamerkan prestasi yang baik dan cemerlang. Tiada ragam. Semua masalah boleh diatasi. Tetapi ada masanya, terfikir untuk melepaskan cita-cita. Allah izin masih punyai akal yang waras dan iman yang sahih.

Sebagai seorang daie. Banyak perkara perlu bertolak ansur dan bersabar. Mengajak manusia kepada kebaikan bukan boleh berjaya dalam sehari dua. Tambahan pula, berdakwah kepada yang dewasa tua dan berpelajaran. Allah sahaja yang tahu, berapa banyak buku yang perlu dibaca dan dikaji. Berapa banyak kuliah dan kelas agama yang perlu dihadiri. Berapa banyak soalan-soalan yang perlu diperhatikan dan dijawab dengan berhikmah. Masa dan tenaga, dikorbankan hanya semata untuk menyampaikan kebaikan. Diri sendiri kadangkala mahu melepaskan tanggungjawab itu. Pernah berniat untuk membiarkan mereka yang dibimbing itu pergi dan mencari sendiri kebaikan. Allah izin masih punyai akal yang waras dan iman yang sahih.

Muslimah ada sahaja perkara ingin diluahkan dan dilepaskan bebanan dalam fikiran. Pada manusia? Tidak semua memahami dengan baik. Kembalilah kepada Allah, hanya kepadaNya tempat kita mengadu dan berharap.

Setiap hari memujuk diri, terus kuat untuk mencari redha Allah.

Wallahua'lam.



No comments: