Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

31 October 2015

Sangka baik dengan Allah

Bismillahirrahmanirrahim.


عن أبي هريرة - رضي الله عنه - قال : قال النبي - صلى الله عليه وسلم - : يقول الله تعالى
 أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني ، فإن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي ، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم ، وإن تقرب إلي بشبر تقربت إليه ذراعا ، وإن تقرب إلي ذراعا تقربت إليه باعا ، وإن أتاني يمشي أتيته هرولة
 رواه البخاري ومسلم .


Allah detikkan hati untuk mencari hadis di atas setelah terdengar tazkirah di radio Ikim. Semenjak berkereta, radio jadi peneman diperjalanan. Tambahan pula, hadis ini diingatkan oleh seorang adik sejawatan ketika memberikan tazkirah kepada anak didik. Walaupun sudah belajar hadis ini di bangku sekolah lagi, Allah tidak izin untuk ingat dalam bahasa Arabnya. Mafhum dan maksudnya insyaaAllah.

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah saw. bersabda : Allah swt. berfirman : Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia mengingatiKu. Jika ia mengingatiKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia mengingatKu dalam kelompok, Aku akan mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik darinya. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia mendekat kepadaKu sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.
Baik sangka kepada Allah, pasti Allah akan bersangka yang baik juga pada kita. Jika kita ragu-ragu, berburuk sangka kepadaNya, Allah akan bersangka seperti apa yang telah kau sangkakan kepadaNya. Yakin dengan setiap ketentuan adalah baik bagimu, yakin dengan doa akan dimakbulkan walaupun lewat. Semua perkara yang akan, sedang dan bakal berlaku atas ketentuanNya hendaklah bersangka baik kepada Allah. Letakkan Allah itu di hati untuk sentiasa diingati. Pastikan setiap masa ada bersamamu untuk menjadi pelindungmu. Dialah sebaik-baik pelindung.

Meletakkan harapan dan janji kepada manusia tidak semestinya akan ditunaikan. Bersahabat adakalanya diuji dengan banyak perkara. Jika kerana Allah pasti tidak mengharapkan balasan. Jika berkepentingan pasti ada sahaja yang mengungkit dan mencari lain. Sepanjang bersahabat kerana Allah, jika tidak dipeduli tidak terasa, jika terlupa untuk hadir ke majlis tidak mengapa, begitu juga jika tidak bertanya khabar mahupun menjawab khabar tidak pun terlintas untuk berfikir yang tidak baik kepadanya. Sentiasa mencari alasan untuk tidak bersangka yang tidak baik kepada sahabat. Begitu juga, jika membantu sahabat yang lain jangan minta untuk dibalas. Harapkanlah redha ALLAH semata.

Tetapi apabila bersahabat untuk kepentingan, sangkaan demi sangkaan yang tidak baik pasti akan hadir di benak fikiran. Wahai manusia, bersahabatlah kerana Allah. Mengapa perlu kau harapkan sesuatu kepada manusia? Sedangkan kau ada Allah yang lebih layak untuk kau berharap.

Jika berharap kepada Allah, Allah akan hadirkan insan-insan yang dipilihNya untuk membantumu di saat kau memerlukan. Allah izin untuk merasainya. Alhamdulillah.

Ana memilih untuk bersahabat kerana Allah. Membantu sekadar yang termampu. Allah izin bersahabat dengan mereka yang tua, lebih tua, muda, sebaya dan lebih muda. Mak kata, ana seorang yang bersungguh-sungguh dalam membantu. Sekalipun tak mampu, usaha untuk membantu. Ana mudah kasihan. Sehingga ada satu hari, sahabat ana beritahu. Dayah jangan baik selalu, nanti orang akan pijak kepala.

Tidak tahu mengapa, Allah izin untuk kuat dengan sifat seperti ini. Bersahabat dengan orang solehah, nilai persahabatan teruji. Allah izin bersahabat dengan sahabat solehah yang mengalami penyakit isim. Dahulu sejak di bangku sekolah, Allah izin dia seorang yang cemerlang tetapi seorang yang pendiam. Allah uji dia berpenyakit isim. Sehingga tahap mengkafirkan Allah, menidakkan ibadah dan menambahkan hukum. Aurat pun tidak dipedulikan. Allahu.

Proses untuk memulihkannya, hanya tuhan yang tahu. Dua tahun bersamanya adalah proses yang sangat menguji. Ini pengorbananku untuk mengubatinya. Daripada perkara akidah, solat, AlQuran, ibadah dan muamalat sedikit demi sedikit diperbetulkan. Hampir setiap hari akan menerima panggilan telefon daripadanya. Kedengaran tangisan, dan persoalan akidah yang belenggu di fikirannya. Alhamdulillah, hasil penjelasan dan teguran hikmah daripada ana. Allah izin dia terima.

Sakitnya datang lagi. Lalu dia datang ke rumah dengan perubahan fizikal yang mendadak tanpa bertudung. Ana sedih. Umminya meminta izin untuk meninggalkan anaknya bermalam di rumah ana. Bermalam dengannya seolah bukan dengannya. Seperti oang lain yang merasuk badannya. Allah uji malam tersebut, malam yang sangat takut. Tetapi, jika kuat hati kepada Allah, mengapa perlu merendahkan martabat untuk takut selain Allah?

Hari-hari yang berlalu, ana pula ke rumahnya.
Ana datang ke rumahnya untuk menjawab soalannya yang pelik-pelik, ajarkan solat, AlQuran balik. Sedihnya ana ketika itu. Begitulah rutinku setiap hari untuk menjawab soalan, memberikan harapan dan lain-lainnya. Sampai satu tahap, ana disuruhnya berkahwin dengan abangnya. Sanggup menyuruh umminya untuk datang melamar. Berhari-hari dia memujuk. Mudah jawapan ana berikan. Persahabatan ini kerana Allah, begitu juga kahwin hanya kerana Allah. Maaf ana tidak boleh menerima seseorang hanya kerana kasihan kepada seorang sahabat. Jika ingin persahabatan ini diteruskan, jangan bicara lagi mengenai perkahwinan. Alhamdulillah sehingga kini, Allah kekalkan persahabatan. Perubahan ada sedikit. Dia sudah berani menghadapi kehidupan dengan akidah yang sejahtera. Apabila sakitnya datang kembali, Allah izin untuk dia dekat dengan AlQuran dan solat. Apabila menerima panggilan yang bertalu-talu, ana wakilkan emak dan kakak untuk mengatakan ana tiada di rumah atas urusan mengajar di luar. Ini adalah untuk kebaikannya. Ana ingin dia berdikari dalam menguruskan kehidupannya. Kelak jika ana tiada, fokus hidupnya mesti bermatlamat redha Allah.

Beberapa hari yang lepas, ana menerima khabar baik. Dia sudah pulih sedikit. Kembali kepada dirinya yang asal. Alhamdulillah. Barulah ana mengambil keputusan untuk berhubung kembali. Atas dasar persahabatan kerana Allah, ana tidak sesekali mengharapkan balasan daripadanya. Perlu apa? Cukuplah Allah bagi ana tersenyum melihat dirinya sihat dan dapat menguruskan hidupnya seperti biasa. Jangan sangka ilmu yang tinggi itu lebih baik. Jika tidak berasaskan akidah yang kukuh, belajarlah setinggi langit kau pasti tersasar. Semoga Allah berkati hidupnya.

Berbuat kebaikan itu satu cara untuk kau dekat kepadaNya. Ana ke mana sahaja, pasti akan tersangkut seorang yang minta jalan untuk keluar dari masalahnya. Tidak mampu menulisnya. Nurhidayah kan maksudnya cahaya petunjuk. Bermasyarakat bersahabat berkebajikan. Allah jaga insyaaAllah.

Ana berkongsi pengalaman di atas sekadar ilmu buat pembaca. Banyak lagi yang hendak di coretkan. Tetapi Allah suruh simpan sebagai amal soleh. Aktiviti harian ana pun tak sempat diceritakan dengan mak. Ini pula menulis? Allahu...

Semakin kau usaha untuk dekat kepadaNya, Allah pasti akan lebih dekat kepadamu. Cinta kepada Allah pasti dibalas, bahkan lebih lagi.

Allah izin dua hari yang lepas menyambut ulang tahun kelahiran. Menerima ucapan demi ucapan. Sungguh doa mereka sangat bermakna. Tidak tahu mengapa. Tahun ini menerima satu doa baru. Tahun lepas tiada pula doa untuk jodoh. Hampir semua mendoakannya yang sama. Kenalan jauh rapat turut mendoakan. P.cik m.cik juga doa yang sama. Adik yang bersekolah pun pandai mendoakan. Umur seperti ini memang sudah berumur agaknya. Mudahan Allah gerakkan hati orang beriman untuk bertemu. Sejauh mana mengharapkan jodoh yang baik? Di tangan ALLAH jawapannya. Usaha kita berdoa dan fokus akhiratNya. Adakalanya ambil hati juga orang tanya bila nak walimah. Ada sahaja sangkaannya. Diam-diam ubi berisi katanya. Orang takut dengan dayah ni, itu yang tak berani masuk. Ke memilih? Jawabku, kalau ada usaha untuk jadi soleh itu sangat bermakna daripada memilih yang lebih baik yang tak kunjung tiba. Utamakan redha Allah, redha Allah terletak pada redha ibu ayah. Fokus redhaNya. Abaikanlah sangkaan manusia, teruskan sahaja misimu untuk menggapai redhaNya. Allahul musta'an.

Hajat doaNya.



No comments: