Bismillahirrahmanirrahim.
Dalam kesempatan yang terbatas, ana ingin kongsikan sedikit perkongsian. Sambil menukilkan coretan, juzuk amma diperdengarkan untuk sesi mengulang. Ana selesa menggunakan lagu bacaan daripada adik Muhammad Taha AlJunied. Lagunya yang merdu mampu menarik perhatian kanak-kanak. Inilah teknik pembacaan AlQuran yang ana perdengarkan kepada anak-anak didik di sekolah mahupun di kelas pengajian. Mereka tertarik untuk mendengar lagi bacaan hafazan yang dialunkan, katanya seperti di dalam radio. Mereka bersemangat untuk meniru dan mempelajari bacaan seperti itu. Kataku kepada mereka, sedap tak penting, yang penting pelajari hukum dan makhraj terlebih dahulu. Sedap tak sedap itu yang terakhir :-) Seorang guru perlu mengetahui cara atau pendekatan yang terbaik untuk menarik minat anak didiknya mendalami sesuatu ilmu.
Alhamdulillah, selesai hari ini peperiksaan AlQuran Wa Tajwid. Terlihat wajah ceria anak-anak didik setelah menjawab soalan. Kertas 1 dan 2 kesemuanya perlu dijawab di dalam bahasa arab. Sebagai seorang guru yang mengajarkan subjek tersebut, pasti ternanti-nanti apakah soalan yang dikeluarkan oleh pusat peperiksaan SRI Malaysia. Alhamdulillah, semua yang diajarkan keluar. Berkat usaha ana dan anak didik melapangkan masa untuk belajar sehingga lewat malam. Permintaan kelas tambahan di saat akhir dipaksakan jua untuk hadir. Walaupun menyedari jadual hujung minggu adalah untuk masyarakat khususnya. Berkejaran daripada pagi sehingga malam. Sungguh jika kita lakukan sesuatu kerana Allah, tidak akan berasa penatnya. Terhibur dengan anak didik yang sangat teruja belajar sehingga lewat malam. Alhamdulillah.
Esok kertas bahasa Arab, mudahan mereka ingat kalimah-kalimah dan menghafaz nahu. Berpeluh mengajarkan mereka setiap hari. Semakin hari suara bertambah kuat. Sehingga anak didik menegur. Ustazah, saya pergi tandas lalu bawah. Masih dengar suara ustazah kuat. :-) Hari-hari bertanyakan kalimah dan maksud, bertanyakan nahu. Mana tidaknya, semakin hari semakin kuat. Mengajar matematik juga faktor semakin hari semakin garang. Untuk mengelakkan stress, ana memilih untuk berbual dan adakalanya menyelitkan lawak santai. Berbicara mengenai perjalanan hidup yang dilalui juga satu pendekatan untuk menarik minat mereka untuk mendengar kata. Mujurlah perit getir, suka dan duka memenuhi kamus hidup ini. Maka dimanfaatkan dan dikongsikan kepada semua anak didik.
Allah izin mengajar sekolah menengah secara hujung minggu. Peperiksaan mereka semakin hampir, mudahan Allah izin untuk faham dan memperolehi keputusan yang cemerlang.
Anak didik yang berbeza umur. 5-19 tahun. Daripada menjalani UPKK, syahadah ibtida'iah UPSRI, UPSR, PT3, SPM. Pelajar kolej juga turut diajar. Itupun jika ada permintaan. Untuk mengajarkan sebuah ilmu, memerlukan persediaan. Kadangkala terlalu lelah, hanya berdoa dan selawat kepada Allah untuk mengembalikan kefahaman ketika mengajar. Bulan 10 merupakan bulan terakhir sesi pembelajaran. Selepas ini akan fokus menghafaz dengan konsisten, hadiri kelas dengan penuh persediaan. Serta menyiapkan proposal master. Mudahan diterima :-)
Coretan pada hari ini berkisarkan pengalaman. Menulis kadangkala dapat bermuhasabah dan menyedari keupayaan diri. Ditegur mak setelah menyedari telefon bimbit rosak. Mak menyuruh muhasabah. Berapa banyak masa yang telah diluangkan kepada telefon? AlQuran terabai, hikmah Allah beri rosak. Mujurlah tidak terganggu emosi setelah menyedari kerosakan telefon ketika sesi mengajar anak didik petang tadi. Redha dengan kerosakan yang dihadapi. Mak meminjamkan telefonnya. Kata mak, mak ada telefon rumah. Mak tak busy macam dayah. Tapi mak tiada whatsapp. huhuhu. Terima kasih mak.
Kelemahan diri usaha diperbaiki. Sungguh banyak ingin menulis. Setiap hari dilalui dengan tiada cuti, sangat banyak ingin dikongsi. Biarlah di simpan di dalam ingatan. Tergelak seketika. Terimbau satu kenangan. Ketika itu anak didik berebut untuk mengambil gambar. Masing-masing bertolak. "Nanti kita tak nampaklah". kata mereka. Lalu ustaz menegur. Tak apa Allah nampak. huhuhu. Saya selaku photographer, turut bersetuju dengan kata-kata ustaz.
Jika ingin menukilkan satu demi persatu, banyak masa produktif akan terbuang. Sekian. Semoga Allah redha dan Allah sayang. Coretan ini saya ikhlaskan pembacaan untuk manfaat, selebihnya yang disimpan mudahan menjadi tatapan Allah di hari akhirat. Terimalah amal manfaat ini ya Allah sebagai amal soleh.
الا بخير تزداد التقوى
كن سعيدا فابتسم :-)
No comments:
Post a Comment