Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

12 June 2015

Muda bukan alasan

Bismillahirrahmanirrahim.
Benar, jika kita ikhlas pasti yang ikhlas turut bersama dalam membantu kita. InsyaaAllah.

Jiwa pendidik tidak mempunyai masa lagi untuk bertangguh. Memandangkan masih mempunyai kekuatan, hammasah dan kesungguhan di usia muda ini, ayuh gerakkan jenteramu, kerahkan keringatmu, infaqkan hartamu kejalanNya, meskipun duit yang tinggal di dalam beg dompet hanya cukup membayar minyak kenderaanmu. Ikhlaskan memberi, rezeki itu pasti akan datang dikemudian hari. Tidak esok, lusa. Tidak cepat, lambat. Di syurga pasti ada. Bi iznillah.

Allah itu dekat, sentiasa ada bersama. Bersyukur kepadaNya, diri ini dikurniakan keluarga yang mithali, sahibah perjuangan yang memahami, anak murid yang menyantuni, rakan sejawatan yang meraikan. Allah izin, untuk berpaut pada batang yang kukuh, bergerak dalam gerakan dakwah dan tarbiah seiring pencapaian ilmu dan amal yang seimbang.

Allah bina kekuatan dalam menyampaikan sebuah ilmu, meskipun ilmu itu dianggap biasa dan mudah. Sungguh diri ini sangat muda. Tidak menjangka akan mengajar dan mendidik mereka yang lebih tua. Gugup, jadi tidak tentu arah. Satu saat Allah tegur, mudanya seseorang itu tidak menjadi alasan. Lihatlah pada apa yang dikatakan bukan pada siapa yang berkata.
انظر إلى ما قال ولا تنظر إلى من قال
Sungguh tidak layak diri ini untuk mengajarkan sebuah ilmu. Atas hajat dan keperluan, dituruti walaupun dalam ketidakpastian.

Tahun ini, masuk tahun yang ke -6 mengenal tarbiah dan dakwah. Walaupun seusia kecil sudah dididik dalam suasana politik, ceramah itu, ceramah ini (hakikatnya ceramah ke?) di usia kecil sudah diajar memegang bendera perjuangan, tidak kini lagi. Perananku bukan sekadar itu sahaja, bergerak membawa makna dan kefahaman Islam. Bukan hanya semangat membara, tetapi tiada usaha untuk mendedahkan kefahaman.

Dahulu bergerak dengan membawa nama sebagai seorang pelajar, sekarang sudah bertukar.  Berat membawa gelaran sebagai seorang pendidik tambahan pula sudah dianggap memiliki ilmu yang meluas. Hakikatnya, jauh sekali. Hati sudah berbolak balik, Ingin sahaja balik ke rumah menyelubungi diri yang masih tidak cukup ilmu ini.

Sungguh diri ini sangat baru dan masih mentah mengenal kehidupan. Desakan masyarakat yang berhajat, muda ini pun terpaksa juga diusahakan.

Hakikatnya masyarakat sangat meraikan. Mereka sangat menyantuni dan memberikan sokongan dan semangat untuk terus kehadapan. Diri ini tidak ada apa-apa. Belajar pun tidak cemerlang. Jika cemerlang sudah pasti mendapat offer biasiswa. Atas tuntutan kerana Allah, belajar memerlukan pengorbanan. Biaya diri sendiri untuk sebuah ilmu. Allahu Allah. Izinkan diri ini untuk mengejar ilmuMu yang keciciran.

Cuti sekolah menghampiri penghujung, misi kehidupan masih panjang, dan perlu diteruskan. Perlu apa memikirkan hal yang kecil, sedangkan ada perkara yang besar sedia menanti.

Sungguh jika ikhlas, Allah pasti akan hadirkan mereka yang ikhlas juga. Mengapa perlu bimbang, buat kerja itu bukan kita seorang, ada yang menyokong daripada belakang. Mudahan berkekalan.
Kini dirasai. Alhamdulillah.


Akalku tersapa dengan satu kebesaran
KebesaranNya melangit hebat
Bahkan aku terpempan canggung
tidak terkata
Maha suci Allah yang menjadikannya


Inilah ubat kelelahan dalam misi pencarian
Jangan pisahkan kehidupanku ini dengan
KebesaranMu
Subahanallah!

25 Shaaban 1437H
12,21 malam


11 June 2015

Kitab-kitab terdahulu

Bismillahirrahmanirrahim.

Umar Bin Khatab melaporkan, "Pada suatu hari semasa kami sedang duduk dengan nabi Muhammad, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, bersih dan rambutnya hitam berkilat. Tidak ada tanda-tanda beliau baru datang dari jauh. Tidak seorang dikalangan kami mengenali orang itu. Lelaki itu datang lalu duduk betul-betul di hadapan Nabi, sehingga kedua-dua lutut lelaki tu bersentuhan dengan kedua-dua lutut Nabi. Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-kedua belah tapak tangannya di atas paha Nabi, lalu bertanya, "Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku, apakah itu Islam?"
Jawab Nabi, "Islam adalah kamu mengakui tiada tuhan selain daripada Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, kamu sembahyang, kamu membayar zakat, kamu berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dan kamu menunaikan haji apabila mampu."
'Betul,' kata lelaki itu. 
Kami semua berasa hairan, kenapa pula beliau yang bertanya kemudian beliau pula yang mengatakan jawapan itu betul.
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan kepadaku, apakah itu iman?"
Jawab Nabi, "Kamu percaya kepada Allah, percaya kepada Malaikat-malaikatnya, percaya kepada kitab-kitab suci, percaya kepada RasulNya, percaya kepada hari Akhirat, dan kamu percaya kepada takdir Allah, samada yang baik mahupun yang buruk." 
"Betul," Kata lelaki itu. 
ila akhar.... Riwayat Muslim


*yang mengajukan pertanyaan itu ialah malaikat.

Penulisan pada hari ini, saya ingin fokuskan pada  perkara yang ketiga tentang Iman. Iaitu, percaya atau beriman kepada kitab-kitab Allah yang telah diturunkan kepada Nabi-Nabi dan RasulNya.

Seperti yang sedia kita pelajari, AlQuran adalah kitab suci daripada Allah yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Bukan AlQuran sahaja yang perlu kita beriman dan kita yakini, bahkan kitab-kitab yang terlebih dahulu diturunkan sebelum AlQuran juga turut diimani. Seperti Lembaran-lembaran Ibrahim yang diturunkan kepada nabi Ibrahim, Kitab Taurat yang telah diturunkan kepada Nabi Musa, Kitab Zabur yang diturunkan kepada Daud A.salam, dan Injil yang telah didatangkan kepada Nabi Isa A.S. Adapun kitab-kitab lainnya juga telah diturunkan kepada semua nabi, cumanya tidak mendapat khabar dan berita mengenai namanya. Walaubagaimanapun, kita hendaklah percaya bahawa semua kitab yang datang dari Allah adalah benar.

Sebelum membincangkan lebih mendalam mengenai kitab Alquran, ayuh kita kupasi serba sedikit pengetahuan berkaitan Lembaran-lembaran Ibrahim, Kitab Injil, Zabur dan Taurat.

Sesungguhnya lembaran-lembaran Ibrahim pada zaman kini tidak wujud lagi. Adapun Taurat, Zabur dan Injil, terdapat perubahan yang telah dilakukan oleh yahudi dan nasrani. Mereka telah menukar ayat-ayatnya dari tempat-tempatnya. Sebahagian ayat juga mereka telah hilangkan. Mereka telah memasukkan ke dalamnya beberapa banyak pandangan yang berasal dari diri mereka sendiri. Hal ini juga diperakui oleh Yahud dan Nasrani. Menurut mereka, ktab-kitab asli yang diturunkan kepada Musa, Daud dan Isa tiada lagi di sisi mereka. Hanya terdapat terjemahan-terjemahannya, yang sentiasa mengalami perubahan, pertukaran, bertambah dan berkurang. Terbukti apabila dengan membaca Kitab-kitab ini, kita pasti akan menjumpai padanya banyak perkara yang tidak mungkn datang daripada Allah. Terang lagi bersuluh, kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Musa, Daud, dan Isa itu telah bercampur baur kalam Allah dengan kalam manusia. Oleh kerana itu, tiada di suruh untuk beriman akan kitab-kitab terdahulunya melainkan sekadar percaya bahawasanya Allah telah mengutuskan Rasul-rasulNya membawa hukumNya kepada setiap ummat yang terdahulu sebelum AlQuran.

Kitab Alquran adalah kitab terakhir turun dari sisi Allah Taala.

Untuk beriman dengan Alquran, hendaklah terlebih dahulu mengenali perbezaan yang terdapat di dalam Alquran dengan kitab-kitab yang terdahulu. Terdapat 7perkara perbezaan antaranya:

1) Keaslian.
Kitab-kitab yang datang sebelum AlQuran telah hilang keasliannya. Bahkan yang wujud tidak ada sama sekali. Adapun AlQuran itu terpelihara ayat-ayatnya, huruf-hurufnya yang asal sebagaimana diturunkan dari sisi Allah Taala, tiada sediktpun perubahan pada huruf atau harakatnya.

2) Bercampur perkataan.
Kitab-kitab sebelum AlQuran telah dicampur baurkan dengan perkataan manusia dengan kalam Allah. Bahkan diakui oleh pengkaji bahawa sebahagian perkataan yang terdapat dalam kitab-kitab ini dicampuri dengan perkataan manusia. Sehingga tak mungkin lagi diketahui mana di antaranya kalam Allah dan mana yang bukan. Adapun AlQuran, kita jumpai padanya kalam Allah yang suci, tiada bercampur dengan sesuatu perkataan yang lain. Mengambil contoh kepada riwayat hidup Rasulullah S.A.W atau sejarah Islam, mereka tidak campurkan dengan AlQuran. Semua itu dituliskan dan dipelihara dalam kitab-kitab selain AlQuran.

3) Sejarah.
Kitab-kitab sebelum AlQuran meskipun telah djumpai pada sebilangan kecil bangsa di muka bumi ini, tidak satu pun yang dapat dipertanggungjawabkan dari segi sejarah. Kebanyakannya tidak dikenal asal usul, pada masa bila, dan dari mana ia datang. Adapun AlQuran sesungguhnya telah dipastikan oleh saksi-saksi sejarah yang kuat dan tetap. Tiada dapat disangsikan oleh sesiapa pun. Bahkan daripada itu, setiap ayatnya, bila dan di mana ia diterima dapat dipertanggungjawabkan.

4) Bahasa.
Bahasa yang digunakan oleh kitab-kitab terdahulu sesungguhnya sangat jarang dijumpai dan digunakan. Jika ada sekalipun, tiada orang lagi yang berkomunikasi secara meluas dengan bahasa itu. Andaikata kitab itu masih ada lagi, mustahil akan ada manusia yang memahaminya dan mengikuti hukum-hukumnya. Adapun bahasa AlQuran, ialah bahasa yang hidup, diucapkan oleh berpuluh-puluh juta manusia dan difahami ramai manusia. AlQuran dikaji dan dipelajari di seluruh pelusuk dunia. Mudah untuk dipelajari, difahami dan mengikut hukum-hukumnya. Meskipun ada yang tidak mempunyai masa belajar, boleh berjumpa dengan orang yang memahami makna-makana AlQuran dan hukum-hukumnya.

5) Masa
Kitab-kitab terdahulu ternyata isinya adalah khusus untuk sesuatu masa, tidak untuk zaman. Dan tiada satu kitab pun diantaranya yang ditujukan kepada seluruh manusia. Umat yang menerima kitab-kitab ini bukanlah umat yang kekal, melainkan terhad pada sesuatu masa. Tetapi apabila diperhatikan AlQuran, kita pasti akan ketahui bahawa ucapan-ucapan di dalamnya ditujukan kepada jenis manusia di setiap tempat. Demikian itu, adalah mungkin bagi manusia mengamalkan tiap-tiap hukum yang digariskan dalam AlQuran mengikut tempat dan zaman. Juga disaksikan bahawa AlQuran itu diturunkan untuk seluruh alam dan untuk sepanjang zaman.

6) Kandungan Isi
Kitab-kitab terdahulu, meskipun masing-masing mengandungi perkara-perkara kebenaran dan kebaikan, mengajar manusia akan asas-asas akhlak dan kebaikan, dan menunjuki manusia melalui jalan yang lurus tetatpi tiada satu yang melingkupi seluruh kebaikan dan kebajikan sehingga tiada yang tertinggal walau sedikit. Membezakan AlQuran daripada seluruh kitab ialah bahawa AlQuran telah mengumpulkan kandungannya semua yang termuat dalam kitab-kitab yang terdahulu.

7) Tercemar dengan perkara yang tidak baik.
Apabila kitab-kitab yang terdahulu tidak diambil peduli, maka masuklah ke dalamnya banyak perkara yang tidak sesuai dengan akal dan hakikat. Bahkan sebahagian kitab-kitab ini ada diajarkan perkara-perkara yang bernilai keji dan mungkar. Tetapi AlQuran bersih sebersihnya daripada perkara seperti itu. Tiada yang menyalahi akal dan hakikat, tiada menyesatkan dan sedikitpun keburukan.

Apabila telah mengenal perbezaan antara AlQuran dan kitab-kitab lainnya, maka mudahlah kita mengert apa yang selayaknya untuk kita beriman dengan AlQuran berbanding kitab-kitab yang lain.

Perlu membenarkan kitab-kitab yang terdahulu dengan percaya bahawa kitab-kitab ni berasal daripada Allah, merupakan kitab yang benar, dan tiadalah tujuan yang sama dengan apa yang hendak disempurnakan oleh AlQuran.

Beriman dengan Alquran itulah yang disuruh dalam Islam. Setiap laafaz yang ada dalamnya terpelhara. Setiap kata di dalamnya adalah benar. Mengikut perintah-perintahnya adalah wajib. Dan setiap yang menyalahi dan menentang hukum-hukumnya patutlah ditolak.

Alhamdulillah, pengisian ini mudahan bermanfaat. Alquran disematkan di hati. Jika kata beriman dengan AlQuran, mestilah mengetahui kitab-kitab yang terdahulu. Bagaimana ingin beriman, jika rukun Iman pun tidak difahami. Malulah hai jiwa pencari ilmu, anak didik darjah 3 pun menghafaz hadis rukun Iman di atas dan tahu kitab-kitab yang terdahulu. :-)


Ramadhan semakin menghampiri kita, yuk beramal dan membaca AlQuran.
Ramadhan semakin dekat, semakin ramai memberi salam ke rumah. Anak angkat mak hulur beras, hulur kurma. Orang masjid memang suka memberi. Walaupun pernah sekali berkenalan dengan mak, adik-adik tahfiz yang dulu pernah duduk di rumah, mesti akan datang menghulur sesuatu sebagai sumbangan. Nasib baik adik-adik, tak dah dicalonkan mak dah. :-)

Fokus Ramadhan. InsyaaAllah jumpa dikemudian hari.
Jiwa mendidik sebentar lagi ingin mendidik, ingin menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Hajat doa.


08 June 2015

Nisbah Amal kun Ata

Kun Anta

Penulis memilih untuk translate lagu ini disebabkan kehendak sendiri yang memang meminati lagu arab. Tafsir salah pun jadi viral. Nasib baik tak di quotekan nama pengubah lirik :-)

Kun anta, mudahan manfaat buat ummah. Tidak salah memahami ayat, cumanya excited dengan penyanyi harap dikurangkan. Ana tafsir lirik ini pun ada sebab, maknanya amat terkesan. Tambahan pula, ketika itu ada kisah yang tersirat berlaku. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Yang penting intipati makna itu, mudahan beroleh mafaat. Ya Allah, jauhkanlah aku daripada saham yang tidak baik bersandar di bahuku. Minat lagu tidak mengapa, jauh sekali terangau kepada penyanyinya. Pesanan dari penulis buat peminat lagu kun Anta.

01 June 2015

Eksplorasi AlQuran


Sejak di usia kanak-kanak lagi, Allah izin untuk mudah menerima ilmu AlQuran. Walaupun sentiasa malas, ada sahaja alasan untuk tidak belajar Al-Quran, Allah izin adalah antara murid yang cepat membaca dengan lancar. Perjalanan Al-Quran ini sangat panjang jika ingin diceritakan. Bahkan malu untuk diceritakan kembali. Pendekkan cerita, jalan menempuhi ilmu AlQuran itu bukan mudah.

Memegang titlle sebagai seorang yang berkelayakan akademik, saya menyedar diri.. Saya terlebih dahulu mempersiapkan senjata sebelum diserang. Bukan mudah mengundang kepercayaan jika kelulusan tertinggi itu bukanlah datang daripada aliran agama. Alhamdulillah, sijil agama yang diperolehi di bangku sekolah, pengalaman talaqi walaupun tidak habis dan temuduga lulus, melayakkan diri ini memperolehi tauliah mengajar ilmu AlQuran. Mengapa sangat bersungguh? Ini dakwahku. Hanya Alquran adalah medium terbaik untuk diriku dekat dengan masyarakat dan mudah dalam menyampaikan.

Taranum? Qiraat? Itu bukan bidang. :-)

Berstatuskan ustazah yang berkelulusan akademik, saya mengambil pendekatan mengajar dengan kaedah talaqi, makhraj, biar lambat asal selamat, dan explorasi Alquran melalui aktiviti. Boleh gunakan buku di atas sebagai bantuan dalam pengajaran.

Usaha melahirkan ulama kecil yang mahir Ilmu AlQuran bukanlah sehari dua. Memerlukan masa yang panjang. Semoga Allah kuatkan semangat ini.

Di usia ini, ALLAH uji dengan 2 K. Kerja dan kahwin.

Walaupun yang dipilih itu asing bagi yang mendengar dan melihat. Mudahan Allah menilainya.
Bekerja itu ibadah, menuntut ilmu itu juga ibadah. Sekalipun yang dilihat orang itulah yang rendah martabatnya, tetap tersenyum. Adakah rendah di sisiNya? Ku mohon kepadaMu Allah, terimalah amal ini.
Terima Kasih Allah. Engkau sudah didik hati untuk bersedia.

Berlagak matang, ya saya sudah matang. 
Semoga Allah Redha.
Semoga Allah Sayang.









13 May 2015

Mempersiapkan akhowat sebagai daieyah.

Bismillahirrahmanirrahim.

Islam menghendaki setiap para daieyah muslimah tidak sekadar mengajak orang lain, tetapi perkara yang paling utama ialah mereka tidak boleh melupakan dirinya sendiri. Allah S.W.T. mencela sikap orang yang hanya pandai berdakwah mengajak dan mengingatkan orang lain, sementara dirinya sendiri tidak mendapat perhatian.

"Mengapa kamu suruh orang lain melaksanakan kebaikan, sedangkan kamu melupakan kewajipanmu sendiri, padahal kamu membaca al-kitab, Apakah kamu tidak berfikir?
(2:44)

Untuk mengajak ke arah kebaikan, 3 perkara penting perlu dititikberatkan.
Antaranya, persiapan spiritual, memiliki kejelasan dalam kepatuhan (wala') dan menghiasi diri dengan akhlak terpuji.


PERTAMA
Persiapan spiritual perlu ada dalam setiap para daieyah dan ia merupakan perkara asas kepada tarbiah ruhiyah. Generasi awal Islam diberikan tarbiah ruhiyah yang mantap oleh Rasulullah S.A.W. supaya siap dalam menempuhi medan dakwah dengan kekuatan spiritual. Solat malam dan tahajud merupakan tarbiah ruhiyah yang boleh diamalkan, bahkan jika mengetahui kepentingannya sudah pasti akan berasa bersalah jika meninggalkannya.

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah di malam hari, kecuali sedikit daripadanya seperduanya atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalh AlQuran dengan tartil."
(AlMudatsir : 1-4)

Allah mewajibkan solat malam kepada Rasulullah S.A.W dan para sahabat sehingga turunnya ayat yang ke-20, tidak diwajibkan. Orang yang beryaqwa sering dikaitkan dengan sedikitnya tidur di waktu malam kerana ibadat di waktu malam telah menjadi sebahagian hidupnya.

ALquran merupakan masdar (sandaran) bagi orang mukmin. Membacanya mendapat pahala dan memberikan satu roh kekuatan dalaman kepada pembacanya. Tidak ada satu hari di dalam kehidupan para daieyah Muslimah yang berlalu tanpa membaca AlQuran. Alquran berfungsi sebagai ubat dan penenang hati, petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

"Dan kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, AlQuran itu tidak menambah kepada orang-orang yang zalim kecuali kerugian."

Mengingati dan menyebut nama Allah. Zikrullah adalah tarbiyah ruhiyah yang sangat berkesan. Para daieyah yang sentiasa berzikir kepada Allah tidak akan sesekali rasa cemas dan khwatir, ia sentiasa tenang di dalam apa jua keadaan.

Alghazali, menjelaskan tentang kelebihan zikir di dalam ungkapannya, "Bahawasanya yang dapat meninggalkan bekas dan berkesan serta bermanfaat itu ialah berzikir secara tetap dan berlangsung terus menerus dan disertai dengan kesedaran hati."



KEDUA
Wala', memiliki kejelasan kepatuhan, ketaatan kepada Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman. Daiyah perlu jelas dengan suruhan dan larangan Allah SWT. Tuntutan beribadah kerana Allah, patuh dan taat kepada Allah dengan berpandukan Alquran dan Assunnah peninggalan Rasulullah S.A.W kepada kita semua. Setelah pemergian Rasulullah S.A.W hendaklah jelas siapa mereka yang beriman dan siapa yang tidak beriman. Berwala'lah kepada Allah SWT, Rasulullah SA.W dan orang-orang beriman.

"Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat serta rukuk kepadaNya."
(AlMaidah : 55)



KETIGA
Menghiasi Diri dengan Akhlah yang terpuji.
Seorang daieyah muslimah adalah ikutan umat. Setiap langkah, tuturkata dan segala kehidupannya diperhatikan umat Islam. Para daieyah merupakan cerminan diri kepada sekalian umat Muhammad.

"Sesungguhnya, kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung." (AlQalam:4)

Bagaimana mahu mengajak kepada kebaikan, jika akhlak tidak diperbaiki. Allah SWT tidak menyukai orang yang hanya berbicara dan mengajak orang laun namun dia sendiri tidak serupa seperti yang diperkatakan.

Usamah bin Zaid pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda,
Pada hari kiamat kelak akan didatangi seseorang, lalu dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah usunya dan berputer-putar, seperti seekor keldai yang mengitar batu kisaran. Para penghuni neraka mendatanginya lalu berkata, "Hai fulan, ada apa gerangan? Bukankah engkau yang menyuruh kami membuat kebaikan dan mencegah yang mungkar? " Maka di jawab, "Benarlah, aku pernah menyuruh kalian membuat kebaikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya dan aku melarang orang melakukan kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya."

Rasulullah S.A.W merupakan contoh teladan yang baik kepada kita. Contohilah akhlak baginda, nescaya akan tertanam semat di hati akhlak yang terpuji dan menjadi amalan serta contoh kepada yang lainnya. InsyaaAllah mudah urusan dakwah seharian. Berdakwah martabatkan Islam kerana Allah, pasti sedih jika mengenangkan tenatnya umat pada zaman ini. Jika Rasulullah S.A.W itu ada bersama kita, pasti tertunduk malu dan hina mengenangkan lemahnya diri dalam dakwah. Allahu...


Catatan ini disalin menerusi perkongsian ilmu oleh seseorang yang telah membincangkan sebuah buku yang bertajuk "Keakhawatan 2".

10 May 2015

Multitasking itu Qowiy.

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah meletakkan keupayaan hambaNya dalam melakukan sesuatu perkara adalah mengikut daya kemampuan paling maksima yang telah/akan dimiliki. Allah itukan sebaik-baik penentu terhadap segala ketentuan.

Jika melihat dalam segala aspek perkara yang ditempuhi dalam kehidupan seharian, fitrahnya kita tidak mampu untuk melakukan semua perkara dengan sendirinya. Memang benar, fitrahnya begitu. Namun, apa yang menjadi tuntutan kepada kita waktu ini adalah dengan berfikir bagaimana caranya untuk memperolehi kemampuan yang pelbagai. Sekurangnya berusaha walaupun tidak mampu kesemuanya.

Tindakan seorang yang bijak untuk menjadi qowiy dalam pelbagai aspek tidak lain dan tidak bukan adalah berusaha semahunya dalam memaksimakan keupayaan yang pelbagai. Dalam erti kata lain serba boleh dalam semua perkara (multitasking). Kadangkala multitasking tidak dapat dipisahkan dengan jiwanya yang tamak dengan sesuatu. Tamak dalam perkara ibadah tidak mengapa. :-)  Penulis sendiri pernah digolongkan sebagai seorang yang tamak. Mengapa sebegitu?

Penulis seorang yang cepat bosan dengan sesuatu perkara yang sama setiap hari. Jika letak di suatu tempat untuk berkerja hanya untuk mengulangi perkara tersebut hari demi hari, ternyata penulis pasti akan berpindah. Jiwa ini memberontak untuk melakukan perkara lain dan berasa seakan membuang masa dan tidak produktif. Daripada zaman sekolah bersemangat membolot semua subjek. Akademik diniyah tidak berkira, nak juga cemerlang. Orang nak jadi usatazah, kita nak jadi ustazah. Orang nak berdakwah berkebajikan, kita juga nak berdakwah buat kebajikan. Orang nak pandai komputer, kita juga nak. Orang nak jadi photographer, kita juga nak. Orang nak jadi doktor, kita nak jadi doktor. Orang nak jadi saintis, mathematicians, kita juga nak. Orang pandai mengaji kita juga mestilah nak. Orang nak pandai akaun ekonomi, kita sibuk juga nak pandai. Orang panjat bukit gunung, kita pun nak buat. Hasilnya, semua jiwa yang dimiliki melekat kuat dalam jiwa. Sehinggakan nak kikis pun payah. Terkesan sehingga kini. Pelbagai bidang telah diceburi, maka manfaatkan walaupun sedikit. Kepelbagaian itu, Allah izin untuk disalurkan dalam misi mendidik penuh bererti. Itulah hikmah di sebalik kepelbagaian yang dimiliki. Allah itu maha Adil, mengetahui serba serbi kemampuan hambaNya. Dialah selayaknya untuk berserah diri.

Benar, jika kita fokus melakukan satu perkara kita akan kuasai kerja tersebut dan alim dengan selok belok pekerjaan tersebut. Bagi penulis jiwa seperti itu, tidak sesuai dalam diri penulis. Mempelbagaikan skill dan mencari jalan kehidupan yang penuh warna warni adalah yang utama. Ikut kemampuan untuk melakukannya, jangan memaksa diri jika tidak mampu. Merancang dalam banyak perkara kuncinya adalah semangat, kebijaksanaan dan tetap pendirian. Jika berkira apa kata orang dan kata-kata itu mendorong lemah semangat lalu tidak tetap pendirian, usahlah kata nak buat 5 perkara, 2 perkara pun sudah tentu tidak mampu. Kuncinya semangat, kebijaksanaan dan tetap pendirian. Selami setiap kunci itu dengan istisyarah, doa, usaha, dan tawakal. Mudahan berjaya.

Mengapa segelintir besar yang jatuh dalam melaksanakan misi yang pelbagai dalam satu masa? Ayat yang mudah difahami ialah mengapa tidak boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa?

Hal ini kerana, kudrat yang ada tidak dilatih untuk diposisikan mengikut berbagai bentuk masalah yang dihadapi. Bunga sungguh ayat ini. Maaf, itu yang terlintas.

Melihat kepada pencapaian tokoh ilmuwan pada era kini. Contoh terdekat yang dapat diambil ialah dengan kita telusuri perjalanan hidup Dr Zaharuddin. Beliau seorang yang multitasking. Melakukan pelbagai jenis pekerjaan dalam satu masa. Menurut beliau, untuk menjadi seorang yang multitasking dalam melakukan banyak perkara pada satu masa adalah perlu melatih diri melakukan semaksima mungkin perkara di usia muda. Melalui pengalamannya, di waktu mudanya tidak dibaziri dengan perkara yang sia-sia. Beliau berperanan seorang mahasiswa yang berjiwa pendakwah dan pencinta ilmu. Beliau menjalankan program dan pergi ke tempat pengajian dengan kudrat yang dimiliki. Ketika menguruskan program beliau berperanan sebagai pengarah, editor, setiausaha, unit publisiti, media dan semuanya. Bahkan semua pernah dilakukan dengan sendirinya. Bukan tamak, tetapi memudahkan kerja. Itukan lebih sopan untuk diertikan. :-) Semua perkara itu mengajar beliau untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa. Sekarang lihatlah, siapa beliau dahulu dan siapa beliau sekarang.

Bagi mereka yang terlepas zaman mudanya, jangan berasa tidak sempat untuk berlatih melakukan banyak perkara dalam satu masa. Sempat lagi untuk bertatih mulakan latihan. Tiada terlambat bagi siapa yang ingin memulakannya. Ma ta'akhkhar liman bada a.

Jangan berasa rendah diri melihat orang yang multi tasking, dan jangan menjauh diri apabila melihat seseorang hampir memiliki banyak keupayaan dalam satu masa. Cubalah kita ambil manfaat daripada orang itu dan belajar bagaimana untuk menjadi multitasking yang berjaya untuk ummah khususnya.

Penat memang penat jadi multitasking. Jika tidak penat, bila masa mahu berehat di syurga?

:: Multitasking dalam satu masa ::

04 May 2015

Dakwah Bukan Pilihan

Bismillahirrahmanirrahim.
Terjun dalam bidang dakwah bukan pilihan, tetapi kewajipan.

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين
An-Nahl 16:125

Serulah manusia ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Untuk menjadi seorang daieyah, kita sangat memerlukan kepada persiapan yang mantap. Dalam usaha mempersiapkan intelektual atau thaqafah sebagai daieyah memerlukan penguasaan ilmu disegenap lapangan dan cabang ilmu. Supaya mudah dalam menyampaikan sesuatu kepada madu'.

Jika dirasakan siapalah kita untuk mengajar kepada mereka yang lebih tinggi penguasaan ilmunya, kini tiba masanya untuk lebih kehadapan. Mengaji sebanyak mana ilmu. Jika tidak mampu, bersedialah untuk mempamerkan akhlak yang baik. Kerana orang berilmu pasti terpaut pada akhlak dan budi bicara yang bersantun. Tidak semua yang berilmu memiliki akhlak yang terpuji. Akhlak yang terpuji sudah pasti memiliki ilmu.

Ilmu membawa kepada pelbagai pengertian. Antaranya yang disepakati hati ini adalah melalui pandangan Naqiub al-attas. Katanya, Ilmu itu adalah sesuatu yang diperolehi yang mebawa kesan pada hati. 

Untuk menjadi seorang daieyah, kita mestilah bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W. Bukan bermakna Rasulullah itu perlu ada di sisi kita. Ia membawa maksud, setiap apa yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya apa yang diredhai oleh Allah, oleh Rasulullah, sudah pasti ia selari dengan apa yang dikehendaki dalam Islam. 

Mengukur kualiti diri sebagai seorang daie adalah bergantung kepada sejauh mana kita mempersiapkan diri.

Antara persiapan yang perlu ada ialah:
1) Persiapan spiritual (Keimanan kepada Allah dan prinsip-prinsip keimanan)
2) Persiapan Tsaqafah/Intelektual dalam pelbagai lapangan ilmu.
3) Persiapan Fizikal.

Saya ingin memfokuskan penulisan pada hari ini tentang ilmu. Modal untuk berdakwah yang paling utama ialah ilmu. Ilmu adalah modal dakwah yang pentng disamping memiliki akhlak yang baik. Ada ilmu terlahirlah fikrah. Fikrah yang dimaksudkan ialah pemikiran yang terlahir daripada sebuah ilmu yang dimiliki. Fikrah yang jernih adalah sangat dituntut, bahkan perlu terhindar daripada sebarang campur aduk yang merugikan. Inilah fikrah yang sangat bernilai dan perlulah disampaikan. Fikrah yang tersemat dalam diri akan menentukan samada seruan dakwah kita diterima atau tidak. Baik fikrahnya, baiklah natijah dakwahnya. :-)

2 konsep yang penting perlu diperhatikan. Antaranya ialah Ilmu dan Iman, Peningkatan ilmu tidak boleh dipisahkan dengan peningkatan iman. Dengan bertambah ilmu seseorang, perlu seiring dengan bertambahnya iman. Jangan sesekali apabila bertambah ilmu. berkurang pula iman. naudzubillahiminzalik.

Dengan hadirnya ilmu yang memberi kesan  dan kefahaman yang mendalam kepada hati dapat memberi banyak manfaat dan kebaikan pada diri. Antaranya ialah dapat membawa manusia kepada matlamat hidup yang benar, beribadah semata-mata kepada Allah, membangkitkan keimanan dan kekuatan semangat untuk bekerja, berdakwah dan berjihad di jalanNya.

Pembahagian ilmu/tsaqafah.
InsyaaAllah akan bersambung di ruangan yang lain. InsyaaAllah.

Semoga amal ini Allah nilai sebagai amal solih di sisiNya.
Biiznillah.


17 April 2015

Tips mendapatkan kebaikan yang sentiasa mengalir.

Bismillahirrahmanirrahim.
Semoga coretan ini, ada manfaatnya. Tidak banyak, sedikit pun mencukupi.

Jika kita melihat sisi kehidupan ini dengan pandangan iman, pasti Allah akan bukakan pintu hikmah buat kita.

Kadangkala Allah tangguhkan keinginan kita bukan kerana Dia tidak mempedulikan kita, tetapi Dia ingin memberi yang lebih baik buat kita.

Kadangkala Allah beri berat dalam menggalas amanah dan tanggungjawab bukan Dia tidak sayang kepada hambaNya, tetapi dia ingin mengukur sejauh mana kesabaranmu dan keyakinanmu kepadaNya semata.

Maha bijaksananya Allah meliputi sekalian makhlukNya dan alam semesta yang diciptakanNya. ma a'zhama!

Hati terhibur melihat perkembangan anak didik Baitul Hikmah dalam pembelajarannya. Semakin lancar anak didik Alquran membaca Iqra' dan Alquran dengan bertajwid berserta makhraj yang hampir tepat.

Hati terubat melihat semangat jiwa seorang ibu, wanita berkerjaya dan warga tua mengaji dengan penuh kesungguhan. Sedangkan aku, kelas hafazan sering culas, pengajian diploma Agama terabai. Kembali bersemangat mengenangkan anak-anak didikku semua ini, akan usaha untuk berjaya! Cukuplah aku tewas sekali, tidak untuk pengakhiran ini.

Ada sahaja tawaran temuduga yang kuperolehi kerajaan, swasta, perbankan, pengauditan, permodalan. Semua itu tidak dipandang. Sudah nekad di hati, ingin berbakti dan mendidik tanpa sebarang syak. Sedikit itu biar berkat, cukup, dan boleh membahagiakan mak dan abah. Serba sedikit dapat disalurkan kepada pengajian Baitul Hikmah. Itu sudah mencukupi.

Di bawah ini kukongsikan tips mendapat kebaikan yang sentiasa mengalir.

1) Ajarkanlah ilmu Alquran.
2) Sedekah tenagamu, jangan minta dibayar. Jika menawarkan kaedah pembayaran, bimbang mengajar untuk mendapatkan sumber kewangan semata. Memanglah pada awalnya rasa macam ikhlas, tetapi kelamaannya akan mengharapkan duit sahaja. Lebih baik jangan sekali mengharapkan balasan.
3) Berikan secara percuma naskhah Iqra' atau AlQuran kepada anak didik sebagai penghargaan jika dia dapat meneruskan ke tahap yang seterusnya. Sebanyak mana mereka baca, insyaaAllah yang memberinya naskhah itu turut memperolehi ganjaran yang setimpal daripada Allah.
4) Mewakafkan AlQuran kepada hafiz madrasah di kawasan pedalaman dan negara-negara miskin.
5) Menghadiahi AlQuran kepada sahabat handai yang meminati untuk mempelajari Alquran. Warga tua sesuai untuk diberikan AlQuran besar, Remaja yang cantik, Kanak-kanak pula yang berwarna-warni.

Hari-hari yang berlalu telah dihiburkan dengan keletah anak didik di pengajian Baitul Hikmah dan di sekolah. Lebih dirasai pengajian Baitul Hikmah di rumah. Mana tidaknya setiap hari mereka akan mengaji. Bahkan mereka yang seramai 12 Orang ini selalu meghidupkan surau keluarga kami. Pengajian disebelah malam, lebih kepada santai seperti bacaan yaasin, makan-makan, menonton video, kelas tajwid dan mendengar tazkirah. Baru sahaja selesai mengendalikan kelas mengaji. Untung mereka, semalam kakak sudah sedekah makan bubur jagung, Hari ini makan aiskrim daripada mak. Dahulu selalu dihidangkan air jika ada kelas malam, sekarang ada rezeki sedikit, bolehlah memberi makanan. :-)

Benarlah, jika kita ikhlas, Allah akan hadirkan jiwa-jiwa yang ikhlas bersama dengan kita. Bersyukur mempunyai keluarga yang meraikan masyarakat setempat. Alhamdulillah. :-)

Allah susun cantik perjalanan ini. Baru menerima undangan walimah daripada junior Usim merangkap timbalan exco ana. Junior adalah seorang kakak kepada ana. Tetapi patuhnya kepada ketua walaupun ana muda daripadanya. Itu membuatkan ana cukup ingat kepadanya. Ana sangat diraikan olehnya. Majlis tunang pun diberitahu, inikan pula walimah. Beria benar menjemput walaupun jauh. InsyaaAllah pasti diraikan. Menerima undangan walimah daripada 3 teman akrab. Bersusun... Mei, Jun, Julai. Terengganu ke Melaka ke Perlis. Dasar ukhuwah pasti dipenuhi insyaaAllah.

Hidupku damai dan tenteram dengan perjalanan ini. Semoga Allah meredhai jalan ini. Semoga Allah iringi redhaNya buatku ke syurga. Aamiin.

p/s: Penulis ada misi pada hari esok. Allah izin untuk bercuti 2 hari sambil berprogram bersama warga pendidik di Janda Baik. Rindu suasana semulajadi. :-)

11 April 2015

Tenang dan Redha.

Setiap jiwa yang lahir dengan ketenangan pasti mengharapkan pulang kepada penciptaNya dengan tenang jua.

Perjalanan hidup juga perlu ditempuhi dengan ketenangan. Bukan hanya pada peng'awal'an dan juga peng'akhir'an yang diharapkan, bahkan per'tengah'an jua. Mudahan Allah izin hidup ini dilimpahi ketenangan, meskipun diuji dengan berbagai ujian dalam kehidupan. Sungguh Allah sayang hamabaNya. Apakah kalian melihat orang yang tenang itu sentiasa tidak diuji? Mereka itu lebih hebat ujiannya daripada siapa yang melihatnya. Orang yang tenang tidak membiarkan kesusahannya dinilai manusia, tidak meminta simpati untuk membantunya, bahkan dia sistematik dan bijak dalam mengatur masalah mahupun ujian yang dihadapinya. Dia hanya mengadu seadanya dengan tuhanNya. Hanya tuhanNya tempat dia meminta.

Alternatif mengubat dan mencegah jiwa muda yang tidak tenang dalam menguruskan ujian mahupun masalah yang dihadapi tidak lain adalah kembali kepada hati yang Allah redha. Setiap masalah berbalik kepada hati. Niat yang baik berkesinambungan dalam memperolehi hati yang bersih. Begitu juga sebaliknya. Selidiki kembali niat kita. Redhakah kita dengan Allah? Redhakan kita dengan Islam? Redhakah kita dengan Rasulullah S.A.W. Jika semua itu tidak, tajdid niat (perbaharuilah niatmu) agar tidak jauh terpesong dari landasan kebenaran.

Ulama' telah memberikan pelbagai definisi tentang redha. Semuanya mendefinisikannya mengikut apa yang dikecapi dan maqam yang telah dilalui. Menurut takrif redha yang diberikan As-sayyid dalam kitab Ta'rifat "Redha ialah perasaan senang hati dengan kepahitan qadha' atau takdir".

Redha ialah maqam qalbi. Apabila seseorang mukmin telah teguh pada maqam redha, ia mampu berdepan dengan pelbagai tribulasi dan kesusahan dengan iman yang kental, jiwa yang tenang dan hati yang sejuk lagi damai. Bahkan akan meningkat kepada kedudukan yang lebih tinggi. Oleh itu dia akan merasa gembira dan riang dengan kepahitan takdir. Semuanya kerana dia telah mencapai maqam redha itu di sisi Tuhannya. Begitulah, orang yang redha tidak terlihat resah di jiwanya, tidak terlihat letih di wajahnya, begitu juga tidak terkesan sepalit pun pada nilai ibadahnya.

"Sesiapa yang berkata pada waktu pagi dan petang: Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan, dengan Islam sebagai Agama dan dengan Muhammad sebagai Rasul, menjadi hak ke atas Allah untuk meredhainya."

Rasulullah S.A.W mengajar sahabat dan menanam di dalam hati mereka sifat redha dengan Allah SWT sebagai Tuhan, Islam sebagai Agama, dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai nabi dan Rasul. Baginda menyeru kepada mereka supaya sentiasa mengulanginya pada waktu pagi dan petang sebagai menzahirkan apa yang tersembunyi di dalam hati mereka tentang betapa nikmatnya redha terhadap Allah.



Adakalanya takrif redha itu sendirinya mengundang ketidak setujuan dikalangan mereka yang bukan ahlinya. Mereka yang mengingkari redha telah mengatakan; adalah tidak logik bahawa manusia merasai penderitaan dengan keperitan di atas musibah yang ditanggung serta tidak sedar dengan peristiwa yang dialaminya.

Bagi menjawab kepada persoalan ini, perumpamaan telah diberikan. Seperti seorang pesakit yang berasa sakit dengan suntikan ubat serta merasa pahit dan perit berubat tetapi tetap redha dengannya keran dia yakin itu adalah sebab untuk sembuh sehinggakan dia suka kepada orang yang memberikan ubat kepadanya.

فما لجرح إذا أرضاكم ألم
Luka tidak terasa sakit apabila hati telah redha.

Dari aspek lain, seorang yang redha secara tabi'i nya memang merasai kepahitan dan keperitan, tetapi bila merenung terhadap imannya dengan kasih sayang Allah serta hikmahNya, dia yakin bahawa di sebalik setiap perbuatan Allah ada hikmah yang tersembunyi serta pemberian yang terlalu halus untuk dinilai dan dilihat.

Surah Annisa' 19. Allah telah berfirman: "Boleh jadi kamu benci terhadap sesuatu sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak."

Ada juga dikalangan yang bukan ahlinya berprasangka silap bahawa redha boleh menyebabkan manusia meninggalkan sifat menghina diri di hadapan Allah dan tidak berdoa, tidak mengambil sebab musabab dalam mendatangkan kebaikan dan menolak bala.

Bagi menjawab kepada sangkaan ini, hakikat redha kepada Allah ialah seorang mukmin beramal dengan amalan yang boleh mendatangkan keredhaan kekasihnya Allah SWT, juga meninggalkan segala perkara yang menyalahi suruhanNya serta meninggalkan perkara yang melanggar keredhaanNya. Jika tidak melakukan semua perkara itu, bermakna kita menyalahi perintah Allah serta bertentangan dengan keredhaanNya.

Allah SWT juga menyuruh hambaNya untuk meminta kepadaNya, nescaya akan diperkenankan akan permintaannya itu. (Surah Ghafir-60).

Redha dengan qadha' bukan bermakna mesti keluar daripada hudud syara' sebaliknya ia bermaksud tidak membantah Allah Taala secara zahir dan batin. Hasilnya, kita akan sampai kepada apa yang disukai dan diradhaiNya iaitu dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya.

Nikmat redha merupakan faktor ketenangan yang menyelubungi jiwa orang arifin. Ia merupakan sebab yang paling kuat dalam menghapuskan sifat putus asa yang berlegar di benak fikiran apabila tidak mendapat bahagian dalam kehidupan dan kesenangan.

Hati yang tenang itu bermula dari redha. Bermula redha itu daripada sabar. Tidak sabar, tidak akan redha. Tiada sabar jika tiada iman. Maka berimanlah. Redha akan membahagiakan hati. InsyaaAllah.

Rujukan: Haqaiq Tasawuf (Silibus tasawuf sem 5 Usim Nilai) Karangan Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimullah.

10 April 2015

Ujian Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Allah izin untuk mencoretkan sesuatu pada hari ini. Jumuah barakah amat dinantikan. Mengapa? :-)

Alhamdulillah, ayuh sama-sama kita panjatkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. di atas nikmat Iman dan Islam Allah hadirkan jua hati-hati ini untuk bersama dalam ruangan ilmu yang tidak seberapa ini. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. di atas perjuangan dan pengorbanannya dalam menegakkan agama suci Allah di muka bumi ini. Beruntunglah bagi mereka yang mencintai nabi hanya kerana Allah. Sollu 'alan nabiy.

Seperti nak berucap depan majlis pula dah ni :-)

Segala puji bagi Allah yang maha menghidupkan juga mematikan. Nikmat rehat dirasai, Alhamdulillah. Hakikat kepenatan itu tidaklah seteruk pejuang di medan perang. Bagi diri ini yang lemah tidak berdaya, merasai kepenatan seharian. Allah uji dengan nikmat sakit. Mujurlah hati kata tidak kepada sakit. Badan masih kuat bergerak menjalankan misi ke arah hidup lebih bermakna.

Hari jumaat penghulu segala hari amat dinantikan. Mengapa? Hari yang penuh barakah, dijanjikan keberkatan sepanjang minggu yang akan mendatang. Tambahan pula, sabtu dan ahad cuti. :-) Semangat menghampiri cuti, dapat berehat bukan? Tetapi diri ini, cuti itu tidak cuti. Ada sahaja aktiviti, program dan juga perancangan yang sudah dijadualkan. Jangan ambil peduli bisikan syaitan yang menjatuhkan semangatmu, peduli pada usahamu adakah Allah menilainya? Paksa ikhlas, pasti ikhlas bertamu dikemudiannya.

Saat Allah uji target hafazan pada bulan ini lewat. Hampir menangis dengan diri ini. Sungguh aku banyak dosa kepadaMu Allah. Maafkan aku ya Allah. Izinkan hambaMu ini mengejar rahmatMu dan memelihara kalamMu. Tidak ku pinta emas dan harta di dunia, tetapi hanyalah redhaMu. Izinkanllah walaupun terlewat. Tetapkan aku dengan nikmat mengulang dalam setiap keadaan. Nasihat murobbi, untuk kejar target adalah datang dari usahamu. Perlu lebih usaha. Usaha.

Menurut murobbiku,
mengajar Alquran tidak sah jika tidak menangis kerana tingkah laku anak murid. Begitu juga dalam menghafaz Alquran, pasti tidak sah jika tidak menangis. Bahkan kerap. Mengapa? Berasa diri ini sangat lemah dan banyak dosa. Seolah-olah berasa dosa apakah yang dibuat sehingga begitu berat sekali untuk menggalas amanah ini. Allah uji dalam berbagai bentuk untuk kita kuat. Hajat doa untuk kuat, amat berhajat...

Coretan kali ini sekadar contengan hati. Membebaskan rasa beban dalam fikiran yang ditanggung sepanjang hari. Semoga ada input dan pengajaran yang berkesan. Semoga Allah Redha.