Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

19 October 2017

Kekuatan

Bismillahirrahmaanirrahim.

Letih dengan berfikir. Satu demi satu perkara perlu diselesaikan. Sehingga termenung sendiri, cuba berhenti untuk tidak berfikir.

Diri sendiri tidak selesai untuk diuruskan, datang satu persatu amanah daripada mereka yang sememangnya sukar untuk ditolak. Ditelan juga, walaupun pahit.

Hati menangis, rasa tidak termampu. Terlalu banyak manusia yang berhajatkan doa daripada diri ini, sedangkan diri sendiri tiada siapa mahu untuk didoakan. Teruskanlah dengan sangka baik hanya kepada Allah. Jauh dari sudut hati, ingin sahaja berdiam diri. Lepaskan semua yang diusahakan.

Tersedar! Allah tidak redha dengan keputusan ini. Kembali muhasabah. Syaitan sengaja untuk mempermainkan manusia. Tidak sesekali akan berdiam diri. Kembali tersenyum dalam kesakitan.
“Biar susah sedikit kerana Tuhan”. Nun di sana cita-cita kita.

Mungkin jua doa daripada mereka yang kusayangi, mak, abah, atuk dan orang yang terdekat menghidupkan kembali semangat ini. Allah masih menyayangi diri ini, Rasulullah S.A.W pasti menunggu umatnya yang dirindui.


Hajat doa kalian. 

08 October 2017

Infiru iLALLAH.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Allah izin untuk kembali tersenyum. Ruh dakwah dan menyampaikan kembali kuat. Heart Setting perlu ada untuk bergerak mengajak ke arah kebaikan. Menyedari akan tanggungjawab yang tergalas sebagai muslim dan mukmin.

At-Taubah, ayat 41
 {انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (41) }
Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan diri kalian di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui. 

Rujuk Tafsir Ibnu Kathir dan Tafsir Fizhilalil Qur'an. Penyampaian daripada Masu'l sangat memberi bekas kepada hati ini. Terlalu panjang jika ingin dicoretkan. Jika kita tak lalui proses ini, kita tidak akan tahu. Sabar dan teruskan berlapang dada dalam menggapai redhaNya.

Baris lirik ini sangat mengembalikan nostalgia. Dahulu terdidik dengan hiburan islami daripada nadamurni. Mudahan bermanfaat. "Biar susah sedikit kerana Tuhan".


Nun disana cita - cita kita
Ya... akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugiakan
Qur'an dan sunnah jadikan panduan
Agar esok kita tidak kekesalan

Biar susah sedikit kerana tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah i'tibar kalau mahu sedar

Di sana tiada taulan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegeralah membuat kebajikan
Jangan dilalaikan oleh nafsu syaitan

Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah persiapan untuk kesana

Ayuh bersegeralah menuju Allah
Taatillah Dia minta ampun pada-Nya
Matu bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia

Wallahua'lam.

02 October 2017

Jalan mendidik.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Mengajar anak luar bandar pun sudah dirasakan kelelahannya, apatah lagi mereka yang mengajar anak-anak yang tinggal di bandar. Tidak hairanlah jika diri ini pernah berjumpa dengan guru yang sudah berputus asa dengan perangai anak-anak yang tidak dapat diselamatkan lagi. Dimanakah silapnya? Mudahan anda terus bersabar.
Bersabarlah. Ambillah tempoh bermuhasabah.
Sikit-sikit ingatkan dan betulkan perangai mereka. Lama-lama eloklah tu. insyaaAllah. Hasilnya mengambil masa yang lama. Sabar dan sabar.
Tanggungjawab mendidik itu dasarnya tergalas kepada mereka yang berkeinginan untuk memperbaiki masyarakat bukan bermula dengan keinginan kepada harta dan pangkat. Janganlah berlumba-lumba untuk memiliki pencapaian tertinggi dalam hidup jika perkara asas telah kau ketepikan.
Guru di sekolah sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Sukarelawan masyarakat pula cuba untuk menyelamatkan keadaan. Hasilnya juga mengambil masa yang lama.
Teruskanlah bersabar dan bersemangat. Jika tidak bermula dengan diri sendiri, siapa yang akan mulakan?
Inilah cita-cita yang sedang diusahakan. Pendidik yang Allah redha. Mendidik tidak terlihat di sesebuah institusi sahaja. Di mana sahaja, pasti ada rasa untuk mendidik. Profesion ini tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Hanya dapat sakit dan sedih sahaja setiap hari. Sakit kerana perlu berkorban, sedih kerana mengenangkan tenatnya masyarakat. Orang berkata-kata pun sudah kebal didengari. Tersenyum dan tenang sehingga terlihat hasil dan hikmahNya.
Setiap daripada kita, Allah sudah berikan peranan masing-masing. Laksanakan dengan penuh tanggungjawab. Pastinya, di akhirat sana kita tidak akan terlepas dengan soalan-soalan yang akan ditanya oleh Allah. Sebenarnya soalan itu sudah bocor, tetapi kita sahaja tidak mahu berusaha untuk menyediakan diri untuk menjawab soalan-soalan itu.
Antara soalan yang sedang diusahakan untuk menjawabnya ialah:
“Tidak akan bergeser kaki anak Adam (manusia) pada hari kiamat nanti di hadapan Rabbnya sampai ditanya tentang lima perkara: umurnya untuk apa dihabiskan, masa mudanya untuk apa dihabiskan, hartanya dari mana dia dapatkan dan dibelanjakan untuk apa harta tersebut, dan sudahkah beramal terhadap ilmu yang telah ia ketahui.” (HR. At Tirmidzi no. 2340)

Wallahua'lam.

18 September 2017

Inspirasi daripada contengan.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah pujian kepada Allah SWT di atas nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat Ar-rasul S.A.W di atas perjuangan dan pengorbanan baginda sehingga kini kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam yang sangat besar. Tidak dilupakan juga doa dipanjatkan kepada para sahabat, tabi' dan tabien, ahli keluarga baginda seterusnya kepada semua para penyeru kebaikan, mudahan diberkati Allah senantiasa.

Tulisan pada kali ini, hanyalah sebuah contengan peribadi yang berfokus kepada pendirian yang tidak semua manusia merasainya dan tidak semua manusia dapat memahaminya dengan baik.

Contengan ini asalnya ingin ditujukan kepada mereka yang sangat menyayangi diri ini. Sungguh diri ini terlalu banyak menyembunyikan kesedihan dan kesakitan hanya semata ingin melihat orang yang menyayangi diri ini tidak bersedih dan tidak bimbang mengenai diriku.

Ingin sahaja bicara ini hendak disampaikan kepada seseorang tetapi tidak tahu samada dia akan membacanya. Kalau baca sekalipun, biarlah sampai saat dan ketikanya dia juga akan memberitahu.

Seusia kecil lagi, segala aktiviti yang dilakukan oleh diri ini, bakal mengundang kebimbangan kepada siapa pun yang berada di sekelilingku. Sekalipun dalam kebimbangan, keizinan itu pasti diperolehi. Memiliki badan yang kecil serta lemah fizikal mengundang mereka yang melihat tidak yakin dengan kebolehan diri ini. Walaupun lemah daripada fizikal, selalu menangis dalam diam, ternyata mereka semua mengakui bahawa diri ini mempunyai semangat dan kesungguhan yang tak pernah luntur. Kekuatan itu datang daripada Allah bukan daripada manusia. Sekalipun manusia menyakiti, sakit itu sekejap sahaja. Pasti hadir kekuatan setelah bermuhasabah menghadap Allah.

Sudah berkali-kali menyembunyikan kesedihan hanya semata ingin melihat orang lain tersenyum.

Sungguh diri ini sangat susah untuk mementingkan diri. Asal sahaja orang itu dalam kesusahan pasti dibantu, asal sahaja orang itu memerlukan pertolongan pasti tiada alasan untuk mengatakan tidak. Kadangkala malu untuk meminta bantuan kepada manusia kerana sudah terbiasa membantu orang lain. Sakitnya itu ditanggung sendiri. Diri ini sangat bersyukur, di saat benar-benar diuji, Allah hadirkan insan untuk membantu. Allah hadirkan kecukupan bila berhadapan dengan kekurangan. Diri ini tidak meminta dengan banyak, asalkan cukup untuk keperluan dan dapat memberi dengan berterusan.

Biarlah waktu ini, kupersiapkan apa yang termampu.Tidak perlu ada ketakutan menghadapi kata-kata manusia yang melemahkan. Mereka yang memahami akan terus memahami, dan yang tidak faham biarlah. Esok-esok nanti fahamlah.

Maafkan diri ini, sungguh diri ini tidak berdaya untuk membahagiakan mereka yang berada disekelilingku. Kebimbangan mereka mudahan menjadi satu doa dan ingatan buat diri ini menghadapi aktiviti seharianku. Satu persatu cuba ku usahakan. Berikan masa dan letakkan sangka baik yang berterusan. Niat yang baik Allah pasti perkenankan. Niat dan jalan yang baik pasti dalam jagaan Allah.

Hidayah ini bukanlah hanya sekadar hidayah. Sesiapa sahaja yang berhajatkan kebaikan pasti diraikan dan disantuni. Husnul Khotimah dengan redha Allah.

Wallahua'lam.

05 September 2017

Rem

Bismillahirrahmaanirrahim.

Orang tidak nampak kesusahan dan kesedihan yang kita alami.
Tetapi rem seakan memahami.
Setiap kali nak solat, dia ada menghampiri.
Setiap kali  bergerak pergi mengajar, dia pasti ada dihadapan mata.
Setiap kali turun daripada kereta atau motor, dia ada menanti.
Setiap kali mengajar AlQuran, dia ada duduk di atas riba.
Setiap kali belajar, dia ada menemani.
Setiap kali diuji, dia ada di sisi.

Setiap kali lapar, dia akan meleset.
Kadangkala mengalami kesibukan.
Terlupa berikannya makanan.
Kadangkala makanan habis, duit pula tiada.
Hanya mampu meminta maaf kepadanya.
Bersalah dengan diri.

Dahulu rem seorang yang buas.
Jika diberikan makanan, seakan tidak sabar.
Gigit menggigit menjadi kebiasaannya.

Apabila dididik dengan suasana AlQuran.
Suasana ilmu.
Ternyata dia sudah menjadi mesra dan ramah.
Makan pun menunggu dengan sabar.
Jika ada bersyukur. Jika tiada bersabar.
Tidak lagi menggigit.
Pandai mendengar kata.
Bahkan tertunduk diam, apabila mendengar AlQuran dibacakan.

Kini…
Tidak lagi Jemaah surau melihat gelagatnya.
Tidak lagi anak didik melihat karenahnya yang melompat-lompat.
Tidak lagi ada teman di saat diri ini memerlukan kekuatan.

Rem pergi saat diri ini sangat memerlukanmu.
Saat ujian bertalu-talu hadir.
Buntu.
Pada siapa lagi mahu dilepaskan beban ini?

Allah itu sentiasa ada.
Kehilangannya satu ujian.
Sudah lama tidak menangis hiba seperti ini.
Muhasabah dan perbaiki hati dalam waktu yang ada ini.

Tanda teguran Allah dan hikmahNya yang tidak diketahui lagi.

InsyaaAllah bertemu di syurga.

Nota kaki: Rem kucing yang baik dan solehah. Namanya diambil sempena menggantikan seekor kucing yang pernah hilang di bulan ramadhan. Mak menyerahkan tanggungjawab menjaganya kepada diri ini setelah pulang daripada masjid. Ada sahaja gelaran yang memanggilnya mei meng. Tetapi, tuanmu ini tetap mahu memanggil Rem. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang terbaik, sedangkan tuanmu ini terlalu banyak salah dan silapnya kepadamu. Mudahan Allah mengampuni segala dosaku terhadapmu.
Jika seekor kucing pergi dengan kematian, diri ini seakan tidak mahu lagi mencari pengganti. Kesibukan tidak meyakinkan untuk diri ini untuk menjaganya dan memberikan perhatian. Allah tahu kita perlu. Selalunya akan hadir pengganti. Pasti akan hadir pengganti selepasnya. Semestinya tidak sama.


17 August 2017

Syukur dan Sabar

Bismillahirrahmaanirrahim

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam.
Selawat dan salam buat arrasul Muhammad S.A.W.

Manusia itu terlalu sibuk dengan dirinya sendiri. Bebanan, ujian dan kesedihan yang tertimpa kepadanya sudah dirasakan sangat hebat dan terlebih hebat berbanding yang lain. Dia kira, dialah hamba yang paling banyak bersabar. Hakikatnya dia lupa untuk bersyukur.

Sejauh mana konsep bersyukur dan bersabar itu perlu difahami?

Dari Abu Shuhaib bin Sinan r.a., dia berkata, bahwa Rasulullah Saw. bersabda:
 “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusan baginya adalah baik. Dan yang demikian itu hanya ada pada seorang mukmin. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan jika mendapat musibah dia bersabar, maka sabar itu baik baginya.”
 (HR. Muslim). 

 “Iman terbahagi kepada dua, separuh dalam sabar dan separuh dalam syukur.” 
(HR. Baihaqi).

Bukan mudah untuk menyatakan syukur jika kita seringkali memujuk hati hanya untuk terus bersabar. Hadirkan rasa bersyukur  terlebih dahulu, pasti sabar itu disusuli dengan sangka baik.

Jika diuji dengan rumah yang buruk, bersyukurlah kerana kita masih ada rumah.
Jika diuji dengan kemiskinan, bersyukurlah kerana kita masih boleh hidup dan tidak menderita kebuluran.

Apa jua ujian yang dihadapi, dahulukan dengan rasa bersyukur.
Pandanglah sisi kehidupan dengan kebaikan.
Tidak mengapa diuji, bersyukurlah dan bersabarlah. Itulah cara Allah datang kepada hambaNya.

Cabaran demi cabaran dalam hidup ditempuhi dengan tangisan dan senyuman. Setiap kali dikenang, pasti hadir satu persatu hikmah yang sebelum ini tidak tersingkap. Hikmah yang disedari itu pastii adalah yang terbaik bagi setiap manusia yang melaluinya. Jika hikmah itu tidak berlaku pada diri, hikmah itu pasti terlihat pada orang yang berada disekeliling kita.

Tujuan kita adalah satu. Untuk capai redhaNya.
Berharaplah semata-mata hanya kepadaNya.
Sesungguhnya Allah itu tidak pernah mengecewakan hambaNya. Dia kekal dan tidak mati.
Meskipun kita selalu mengecewakanNya, Allah masih membuka seluas-luasnya keampunan terhadap hambaNya.

Tanyalah pada diri.
Daripada mana kita datang?
Apakah tujuan kita datang?
Ke manakah kita akan pergi?

Redha dan Husnul Khotimah.

27 July 2017

Kertas Peperiksaan yang berbeza-beza.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Setiap manusia diberikan kertas soalan peperiksaan yang berbeza dalam kehidupan. Jika meniru sekalipun tidak akan sama dan tidak akan tinggi markahnya. Bepegang kepada ilmu dan juga keyakinan yang tinggi kepada Allah pasti dibukakan jalan untuk menjawab kertas soalan yang diberikan. Usahlah berasa sedih memandang manusia lebih daripada kita bahkan kita perlu bersyukur kerana Allah masih mahu bersama dengan kita.

Maaf jika membuat mereka tertunggu-tunggu. Itu sahaja caranya untuk tetap kekal memperolehi redhaNya. Hanya doa tanda ingatan, selebihnya serahkan kepadaNya yang maha mengetahui. La hawla wala quwwata illa billah. Tiada daya dan upaya melainkan hanya kuasa Allah SWT.

24 July 2017

Syawal melabuhkan tirainya.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta Alam.
Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Syawal melabuhkan tirainya. Allah izin melengkapkan pahala puasa 6 di penghujung syawal. Setiap kali ingin berpuasa, Allah uji dengan badan yang tidak sihat dan ada sahaja undangan rumah terbuka. Mujurlah Allah berikan kesempatan. Alhamdulillah.

Acara tahunan rumah terbuka kali ke tiga berjaya dilaksanakan walaupun rasa tidak yakin kerana mak tidak dapat membantu. Allah uji mak dengan patah tangan. Mak hanya mampu mendoakan anaknya ini untuk berdiri dengan sendirinya :-). Alhamdulillah juadah dapat disediakan, nikmat ukhuwah masih terus dirasai. Berduyun-duyun kenalan dan anak didik hadir bersama keluarganya. Meriah. Allah izin semuanya berlaku kerana kita niatkan hanya keranaNya. Masyarakat sangat menyantuni diri ini walaupun masih lagi baru dalam mengenal erti kehidupan. Penat tidak berasa. Allah izin tidak keletihan. Esoknya masih boleh mengajar dan travel seharian ke negeri sembilan. Alhamdulillah.

Tersenyumlah memandang manusia disekelilingmu.
Tiada beza mereka semua dengan kita.
Di sisi Allah adalah taqwa.

Ilmu yang mengangkat darjat seseorang.
Biarlah dihormati kerana ilmunya bukan pada pangkat dan harta.
Seorang sarjana itu adalah yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Suatu hari nanti, pasti ada yang memahami jiwa ini dan membangun bersama. Jalan ini panjang dan perlu kepada kesabaran. Memberi perlu ada. Ilmu dan harta seiringan. InsyaaAllah.

Anak muda, usahlah tersisih jika tidak dihargai. Ambillah pengajaran daripada susuk peribadi Uwais Al-Qarni. Namanya tidak dikenali di dunia, tetapi masyhur dan di sebut-sebut di langit sana.

Wallahua'lam.

13 July 2017

Ilmu dan Hari raya.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.  Salam dan doa dipanjatkan buat para sahabat, tabien dan tabi' tabien, ahli keluarga baginda dan juga kepada semua penerus dakwah dan risalah perjuangan baginda dalam menyebarkan agama Islam.

Terdetik untuk berkongsi beberapa perkara sebagai satu mangkin dalam meneruskan kehidupan yang penuh mehnah dan ujian ini. Nikmat sihat ditarik Allah dalam tempoh 2 hari. Tidak dapat berbuat apa-apa, hanya mampu untuk terus melawan sakit yang ada. Allah izin untuk kembali sihat, bersemangat menghimpun kekuatan menghadapi kehidupan dengan penuh ketaqwaan.

Lama mencari sebab untuk tersenyum. Atuk kata, buatlah sesuatu perkara yang dapat dimanfaatkan. Jangan melihat orang lain lebih. Ikhlas itu kunci sebuah amalan. Istikhlas qablal ikhlas.

Rindu bicara ikhlas daripada seorang ulama'. Azam untuk hadir ke pengajian yang menghimpunkan ratusan dan ribuan penuntut ilmu yang ikhlas di bulan yang mulia ini. Itulah kekuatan dan kerehatan. Ilmu yang diperolehi itu tidak hanya didengar dan dihadamkan, tetapi hendaklah dilaksanakan dan disampaikan kepada mereka yang terdekat. Allah izin memiliki ahli keluarga, mad'u dan juga anak-anak didik yang boleh disampaikan. Ilmu itu sebagai peringatan buat diri yang buat-buat lupa dan juga sememangnya terlupa. Masyarakat amat memerlukanmu.

Tersenyumlah membawa hikmah, hari raya medan mengeratkan silaturrahim. Mudahan Allah redha.

10 July 2017