Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

07 November 2015

هباء منثورا (Debu yang berterbangan)

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah Ya rahim Ya zaljalali wal ikram, amitna 'ala dinil Islam.
Atas nikmat iman dan Islam Allah izin untuk bicara panjang pada hari ini. Bukan bererti tulisan ini adalah tulisan terakhir. Bukan juga tanda pemergian yang selama-lamanya. Coretan ini mudahan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Tambahan pula ruangan ini akan sepi sementara untuk memberi ruang fokus kepada hati menadah ilmu tanpa sebarang komitmen dan tanggungjawab yang lain. Mudahan coretan dan tulisan ini dapat menggantikan ruangan yang tidak ditulis selepas ini. Ya Allah permudahkan aku, lancarkan pena ini untuk berbicara, luruskan niatku agar tidak terpesong mencari matlamat selainMu.

Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah di atas izinNya untuk hidup dan diberikan kudrat yang sihat untuk terus bersemangat dalam berkebajikan dan beramal. Selawat dan salam buat Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, nabi khotimul anbiya', nabi sekalian alam, suri teladan hidup semua manusia dan contoh terbaik dalam kehidupan ini. Setiap kali menghadiri kuliah syamail muhammadiah, pasti akan sedih dan terlalu rindu untuk menatap wajahmu. Pengorbananmu dalam menegakkan kalimah Allah yang mulia sangat menjadi inspirasi untuk diri ini bergerak semaksimanya meneruskan perjuangan dalam kehidupan. Mudahan berkat daripada kehadiran rasulullah S.A.W dalam mimpi mak ketika mengandungkan diri ini menjadi semangat untuk meneruskan perjuangan Islam, mudahan berkat nama yang diberikan oleh atuk sempena tajuk kitab hidayatussalikin yang diterima daripada seorang ulamak menjadi semangat untuk memperjuangkan Islam dengan kaedah yang sesuai pada masa kini. Usia daripada kecil, sangkaan manusia kepadaku selalu dipandang baik. Dengan watak yang baik inilah ramai juga yang bersahabat dan ramai juga yang bermusuh. Selayaknya aku ini dimusihi. Tidak layak untuk bersahabat. Diri inilah yang sangat banyak melakukan kezaliman pada diri. Jujur, diri ini lahir bukanlah daripada keluarga yang alim. Biasa sahaja. Tidak tahu mengapa, Allah lorongkan jalan kehidupan ini mudah di atas jalan islami. Tertunduk malu, dosa yang dilakukan tidak layak untuk memikul nama yang baik. Aku usaha untuk jadi baik ya Allah. Pandangan orang lain kepadaku juga tinggi, hakikatnya akulah yang suka meninggi diri. Ampunilah aku ya Allah. Aku usaha untuk menjadi baik.

Salam dan doa dipanjatkan kepada sahabat rasulullah S.A.W, para tabien, tabi' tabien, serta ahli keluarga mereka. Doa buat semua penggerak agama Allah. Tiada tertinggal walaupun seorang. Mudahan lurus di atas jalan kebenaran meskipun berliku dipandangan. InsyaaAllah redha Allah bersamamu.

Itu mukaddimah.
Memandang manusia itu semua baik, sangka baik. Saiyidatina Aisyah RA pernah di tanya: "Bilakah seseorang boleh menjadi jahat?" Beliau menjawab, "Sebaik sahaja dia merasakan dirinya baik." Jauhilah diri ini daripada berasa baik.

Hari demi hari dilalui dengan berbagai aktiviti. Mudahan diterima Allah sebagai amal soleh. Ditegur setiap hari dengan baris ayat yang ke 23 daripada surah AlFurqan.
وقدمنا إلى ما عملوا من عمل فجعلناه هباء منثورا
Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan.

As-Syahid Syed Qutb dalam tafsir Fi Zhilalil Qur'an menjelaskan;

Seperti itulah terjadi dalam sekelip mata. Ibarat amalan yang termasuk dalam kategori هَبَآءً مَّنْثُورًا seperti imajinasi yang akan hilang dengan pantas daripada gambaran pemikiran, diterbangkan dan dicerai-beraikan diudara. Sehingga semua yang mereka kerjakan di dunia dalam bentuk amal kebaikan menjadi hilang ditiup angin. Ianya terjadi kerana semua amal kebaikan yang mereka lakukan tidak di atas dasar keimanan – yang mengaitkan hati dengan Allah swt dan menjadikan amal saleh sesuai dengan manhaj yang telah digariskan dan dasar yang dikehendakki. Sehingga tidak ada nilai amal baik seseorang yang tidak berhubung dengan manhaj Allah swt. Tidak ada faedah gerakan yang dilakukan tanpa masuk dalam rangkaian gerakan yang mempunyai tujuan tertentu.


Hajat coretan pada hari ini ialah, faktor amalan menjadi هباء منثورا (debu yang berterbangan).

-Keikhlasan
-Tergelincung daripada matlamat
-Nafsu menguasai
-Syirik Khafi
-Kemasyhuran
-Pujian
-Kedudukan dan kepimpinan
-Riya' dan ujub

KEIKHLASAN

Al Banna menjelaskan 3 perkara boleh merosakkan keikhlasan dan menjadikan amalan sia-sia: Beramal dengan tujuan untuk meraih kekayaan
Beramal dengan tujuan untuk mendapat populariti, kedudukan atau gelaran
Beramal dengan tujuan untuk mencapai kemajuan dan mengelakkan daripada kemunduran

Dr Majdi Al-Hilali, di dalam bukunya Menjadi Hamba Rabbani berkata; "Hamba Allah dan faktor kemenangan ialah dengan memurnikan niat hanya kepada Allah. Ia tidak melakukan perbuatan apa pun kecuali ia telah yakin akan keikhlasan niatnya kerana Allah. Ia tidak melakukan sesuatu untuk mendapatkan kehormatan di sisi manusia atau kerana malu kepada mereka atau supaya dikatakan seorang yang berani atau kerana adat dan kebiasaan."

TERGELINCUNG DARIPADA MATLAMAT

Ustaz Mustaffa Masyhur menjelaskan penyelewengan dari matlamat adalah di antara yang paling merbahaya sekali. Ia mesti dikawal seketat-ketatnya. Matlamat yang kita tujui dalam perjalanan kita ialah Allah swt. Dimaksudkan dengan penyelewengan dari matlamat ialah menuju kepada selain dari Allah atau sekurang-kurangnya menyengutukan Allah dengan tujuan-tujuan atau kehendak-kehendak keduniaan, atau keinginan rakus individu. Sebarang 'amal tidak diterima kecuali yang ikhlas kepada Allah. Bersih dari sebarang cemaran adalah perkara pokok kepada perjalanan dakwah.


NAFSU MENGUASAI



Dr Majdi Al-Hilali, melalui buku Menjadi Muslim Sejati seterusnya berkata, "Manusia tidak mempunyai kekuatan melawan nafsunya. Nafsu menjadi sangat disayangi dan apa yang diajaknya juga menjadi sesuatu yang dicintai. Lalu bagaimana kita harus melawannya sedangkan kita berada di antara tawanannya, bagaimana kita dapat mengalahkannya sedangkan kita lebih lemah apabila berada di hadapannya? Allah tidak meminta dari kita selain pengakuan bahawa kita tidak mempunyai kekuatan terhadap nafsu kita, dan jika dibiarkan menghadapinya, maka kita akan menjadi tawanan dan hamba nafsu diri kita sendiri. Lalu apa jalan keluarnya? Apakah pintu telah tertutup dan perang telah berakhir? Atau ada apa sebenarnya?

Ketika dipenjarakan, Ibnu Taimiyah tidak memperlihatkan kesedihan, sebaliknya bila ditanya ia berkata: اَلْمَحْبُوْثُ مَنْ حُبِسَ قَلْبُهُ عَنْ رَبِّهِ وَالْمَأْسُوْرُ مَنْ أسَرَهُ هَوَاهُ
Orang yang dipenjara ialah orang yang dihalangi hatinya daripada TuhanNya, sedangkan orang yang ditawan ialah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya. Amalan yang didorong oleh hawa nafsu walau pun zahirnya selaras dengan kehendak manhaj Allah swt akan menjadi هبآءً مَّنْثُورًا


SYIRIK KHAFI


Syirik khafi boleh menjerumuskan kerja-kerja khidmat ke dalam amalan هبآءً مَّنْثُورًا.

Mengikut Dr As-Sayyid Muhammad Nuh melalui bukunya Pesan-pesan Nabi (Syarah Hadis Dalam Perspektif Dakwah dan Tarbiyah), syirik khafi ialah menjadikan amalan (gerak kerja), setelah niatnya ikhlas kerana Allah swt sebagai wasilah untuk mendapat habuan dunia. Syirik jenis ini dalam terminologi fiqh termasuk dalam syirik asyghar (kecil). 

Di antara bentuk syirik seperti ini ialah: Seseorang yang aktif dalam melaksanakan khidmat, ia mengerjakan dengan ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla, tetapi jika kerjanya dilihat oleh manusia ia sangat merasa senang dan bahagia bukan kepalang. Kadang-kadang ia cuba memancing orang lain supaya memberi perhatian kepada kerja dan aktivitinya dengan cara memperlihatkan kesibukan dan keletihan. Seseorang melaksanakan aktiviti ikhlas kerana Allah, tidak mahu dilihat oleh manusia lain dan merasa tidak selesa jika ada orang mengetahui kerjanya. Tetapi dia mengharap penghargaan, penghormatan, sanjungan dan keutamaan kepada dirinya. Jika tidak diberi jiwanya akan memprotes. Ia seolah-olah menuntut semuanya itu kerana aktiviti dan kerja yang tadi telah dilakukannya dengan ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah Azza wa Jalla.

Sabda Rasulullah saw: الشِرْكُ فِيْكُم أخْفَى مِنْ دَبِيْبِ النَّمْلِ
Syirik pada kamu lebih tersembunyi dibandingkan dengan semut yang merayap. (Riwayat Imam Ahmad)

Sabda Rasulullah saw lagi: إنَّ أخْوَفَ مَا أخَافُ عَلَيْكُمْ الشِرْكُ الأصْغَرُ
Sesungguhnya syirik yang paling aku takutkan kepada kamu ialah syirik kecil. (Riwayat Imam Ahmad)

Sabda Rasulullah saw: إنَّ الْيَسِيْرَ مِنَ الرِّيَاءِ شِرْكٌ
Sedikit riya' itu adalah syirik. (Riwayat Ibnu Majah)


KEMASYHURAN



Seorang inginkan kemasyhuran sentiasa berusaha agar orang lain merasai kehadirannya. Jika ia duduk dengan orang ramai ia memperlihatkan kelebihan-kelebihannya supaya pandangan orang lain tertumpu kepadanya.

Di antara keinginan nafsu yang tinggi ialah merasa tinggi dan mempunyai kelebihan. Ketinggian apa yang melebihi daripada kekaguman manusia terhadapnya dan memujinya?

Diriwayatkan pada suatu hari Saidina Umar r.a. masuk masjid, kemudian dia melihat Muadz bin Jabal sedang menangis di pusara Rasulullah saw. Umar berkata: "Apa yang menyebabkan kamu menangis?" Mu'adz berkata "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, maksudnya: Sesungguhnya riya' yang sedikit termasuk syirik dan sesungguhnya Allah mencintai orang bertaqwa dan tersembunyi (tidak disedari) apabila mereka tidak hadir dan apabila mereka hadir orang tidak tahu, hati mereka seperti obor hidayah yang terhindar dari segala kegelapan."

'Urwah bin Zubair r.a. telah berkata, "Aku melihat Umar bin Khattab r.a. sedang memikul bekas berisi air di atas belakangnya, lalu aku berkata, "Wahai Amirul Mukminin, anda tidak seharusnya melakukan perkara itu. Ia berkata, "Ketika utusan datang, kemudian mereka mendengar dan mentaatiku, kesombongan memasukki jiwaku, maka aku ingin merobohkannya"


PUJIAN 

Pujian adalah fatamorgana yang dihajatkan oleh nafsu.

Nabi saw memberi peringatan kepada seorang sahabat ketika ia mendengar pujian yang diberikan kepada sahabat yang lain dengan mengatakan: وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقُ صَاحِبَكَ
Celakalah engkau, engkau telah memotong leher sahabatmu. (Muttafaq 'alahi)

At-Tsauri berkata: فَاِنْ لَمْ تَكُنْ مُعْجِبًا بِنَفْسِكَ فَإِيَّاكَ اَنْ تُحِبَّ مَحْمَدَةَ النَّاسِ وَمَحْمَدَتُهُمْ اَنْ تُحِبَّ اَنْ يُكَرِّمُوْكَ بِعَمَلِكَ، وَيَرَوْا لَكَ بِهِ شَرَفًا وَمَنْزِلَةً فِى صُدُوْرِهِمْ
Apabila kamu sudah tidak 'ujub pada diri, kamu juga mesti menjauhi sifat 'suka dipuji'. Bukti bahawa kamu suka pujian orang adalah bahawa kamu ingin agar mereka menghormati kamu kerana sesuatu amal yang kamu lakukan dan agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukan kamu di hadapan mereka. Pujian ditujukan kepada kerja yang kita lakukan atau ucapan yang telah kita sampaikan. Orang memuji mempunyai tujuan tertentu, sedangkan kita sendiri mengetahui hakikat sebenarnya apa yang ada pada diri kita, tetapi kita lupa atau terpedaya.

Fudhail bin 'Iyadh mengemukakan parameter supaya kita dapat mengukur dan mengetahui hakikat diri sendiri. اْنَّ مِنْ عَلاَمَةِ الْمُنَافِقِ اَنْ يُحِبَّ الْمَدْحَ بِمَا لَيْسَ فِيْهِ، وَيَكْرَهَ الذَّمِّ بِمَا فِيْهِ، وَيَبْغَضَ مَنْ يَبْصُرُهُ بِعُيُوْبِهِ
Sesungguhnya di antara tanda-tanda orang munafik, adalah bahawa ingin mendapat pujian dengan perkara yang tidak ada padanya, sedangkan ia membenci terhadap celaan yang ada pada dirinya, dia marah kepada orang yang memandang berbagai kekurangan yang ada pada dirinya. Begitulah hebatnya peperangan dan tipudaya syaitan untuk menjadikan amal dan kerja yang baik kita lakukan; tenaga, masa, wang ringgit kita korbankan, kesihatan yang kita pertaruhkan agar semuanya itu menjadi هبآءً مَّنْثُورًا


KEDUDUKAN DAN KEPIMPINAN

Jiwa manusia sangat mencintainya. Ia menuruti hawa nafsu dan hatinya yang sangat mencintai imarah (pemerintah).

Rasulullah saw melarang kita daripada menuntut dan bercita-cita terhadapnya. Maka barangsiapa memintanya, bermakna ia meminta dunia melaluinya. Dalam sebuah hadis dinyatakan: إنَّكُمْ سَتَحْرِصُوْنَ عَلَى الْلإمَارَةِ وَسَتَكُوْنُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ
"Kamu akan sangat bercita-cita untuk kepimpinan dan kamu menyesal pada hari Kiamat." (HR Bukhari)

Di antara indikator hubbu riyasah telah menyelinap masuk dalam jiwa seseorang ialah ketika ia menerima tanggungjawab kepimpinan, kita akan melihat wajahnya sangat gembira dan ceria. Sebaliknya jika ditarik jawatan itu daripadanya kelihatan ia sangat sedih, dukacita dan mengelabah.


RIYA' DAN 'UJUB

'Ujub ialah merasa kagum dengan diri sendiri. Seorang yang 'ujub terdedah kepada dua keadaan: tergelincir dan tersungkur ke bumi.
Imam Syafi'e menjelaskan: Barangsiapa yang menaikkan harga dirinya di atas daripada harga yang sesuai untuk dirinya, maka Allah akan mengembalikannya kepada harga yang sesuai.

'Ujub terjadi apabila seseorang memperkecilkan dosa dan kesalahannya serta melupakan sebahagian besar daripadanya. Sikap meremeh dan 'menyerang' orang lain adalah salah satu aspek 'ujub yang paling menonjol daripada sifat 'ujub.

Sufyan at-Tsauri memberi peringatan tentang fenomena 'ujub dengan mengatakan: Sifat 'ujub adalah kekaguman pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya dari saudaramu, pada hal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali ia lebih wara' darimu terhadap perkara-perkara yang diharamkan Allah, dan lebih bersih amalannya.

 Al-Fudhail bin 'Iyadh lebih fokus kepada sifat 'ujub 'merasa amalnya lebih dan melupakan dosanya' dengan mengatakan:
 إذْظَفَرَ اِبْلِيْسُ مِنْ اِبْنِ آدَمَ بِاِحْدَىْ ثَلاَثٍ خِصَالٍ قَالَ: لاَأطْلُبُ غَيْرَهَا: إعْجَابُهُ بِنَفءسِهِ، وَاسْتِكْثَارُهُ عَمَلَهُ، وَتِسْيَانُهُ ذُنُوْبَهُ
Apabila iblis telah berjaya melakukan tiga perkara pada diri anak Adam, ia akan berkata: 'Aku tidak akan menuntutnya dengan perkara lain lagi'. Tiga perkara tersebut ialah dia ujub pada dirinya sendiri, dia merasa amalannya sudah banyak, dan dia melupakan dosa-dosanya.

'Ujub adalah punca kepada segala bencana dan fitnah bagi seorang hamba. Apabila seseorang itu dikuasai oleh 'ujub dengan mudah ia akan melakukan dosa-dosa lain yang disukai iblis sebagaimana diungkapkan oleh nabi Isa a.s: Betapa banyak pelita yang dipadamkan oleh angin, dan betapa banyak ibadah yang dirosakkan oleh sifat 'ujub. Amal soleh adalah sinar dan cahaya. Ia akan berubah menjadi mendung apabila ditiup oleh angin 'ujub walau pun hanya dengan sekali hembusan sahaja boleh menjerumuskan amalan seseorang kepada هبآءً مَّنْثُورًا.


Mudahan Allah bersama denganku, menguatkan hati ini untuk terus meraih redhaNya. Usah bicara jodoh, kemegahan, ketinggian. Jika itu sudah ditakdirkan, pasti akan berlaku. Bimbang amalanku diterbangkan angin menjadi sia-sia. Allahu maie.

Sumber: Artikel daripada meja setiausaha HALUAN.
Olahan: muslimahqawiyah

No comments: