Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

21 September 2015

Pengurusan Kewangan (Berkebajikan)

Bismillahirrahmanirrahim.

Cuti persekolahan yang indah, ruang untuk menulis semakin mudah. InsyaaALLAH. Semoga Allah beri ilham untuk mencoretkan serba sedikit pengalaman yang dapat memberi manfaat. InsyaaAllah.

خير الناس أنفعهم للناس
Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat.
Hadis riwayat Tabrani

سئل رسول الله (صلى) من أحب الناس إلى الله؟ قال: أنفع الناس للناس
Rasulullah S.A.W telah ditanya, siapakah manusia yang paling disukai Allah? Jawabnya, Manusia yang banyaknya memberi manfaat kepada manusia yang lain.

..............................

Dahulu ana pernah kongsikan beberapa panduan pengurusan kewangan bagi mereka yang berjiwa kebajikan. Terbahagi kepada dua.
1) Perancangan Jangka Masa Pendek.
2) Perancangan Jangka Masa Panjang.

Sebelum lebih jauh, ana berpesan pada diri untuk perbetulkan niat, perbaharui niat. Kerana apa merancang? Allah itu selayaknya untuk mengadili niat hambaNya.

Usia menginjak umur 24, mempunyai kerjaya dan dalam masa yang sama juga belajar. Kebajikan orang tua, hajat orang tua juga perlu diambil kira. Bahkan jika mempunyai adik-adik yang masih belajar, kebajikan mereka juga perlu difikirkan. Dakwah kiri kanan, ahli keluarga tidak diusahakan untuk berdakwah. Mudahan Allah izin untuk memimpin dan terpimpin untuk ke syurgaNya bersama ahli-ahli keluargaku.

Berbalik kepada Perancangan Jangka masa panjang.
Di usia muda ini, banyak perkara yang perlu difikirkan banyak kali. Keputusan yang bakal dibuat akan mempengaruhi kehidupan yang akan datang. Satu sahaja pesanku, apa sahaja keputusanmu hendaklah dihubungkan kembali kepada Allah. Apakah yang dilakukan itu kembali manfaatnya kepada Agama?

Terimbau satu baris lirik yang dipetik daripada lagu sudah sunnah orang berjuang versi pertama.
"Orang lain membuat harta, tapi dia (pejuang) membuangnya."

Benar, pejuang yang sebenarnya dialah yang membuang segala cintanya kepada dunia. Sehingga harta dunia tidak sempat untuk difikirkan. Bahkan baginya, dunia dan isinya tidak terkesan sedikit pun di hatinya. Hebatnya.

Di era modenisasi, keperluan material sangat diperlukan untuk bergerak di atas jalan dakwah. Bahkan akan ketinggalan jauh jika tidak seiringan dengan perkembangan dunia. Jangan bimbang, Allah maha adil. Pejuang itu bukan terlahir dikalangan mereka yang tiada harta sahaja, tetapi terlahir dikalangan mereka yang berharta. Disebabkan itu lahirnya konsep infaq, sedekah wakaf dan zakat.

Jiwa berkebajikan memilih untuk menjadi seorang daieah dan dalam masa yang sama memilih untuk memberi. Kehidupan di dunia bukan sahaja untuk tuntutan berjuang semata-mata, tetapi merangkumi banyak aspek. Antaranya, persediaan dan bekalan menuju akhirat. Dunia hanya sementara, akhirat jualah tempat kekal selamanya.

Ibu bapa, anak, isteri adalah tanggungjawab yang diamanahkan Allah untuk dipelihara dan dijaga. Mana mungkin jika tidak berharta, anda boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kembali kepada landasan syarak. Apakah dengan berjuang, segala tanggungjawab engkau tinggalkan? Memilih untuk redha? Ya, itu yang terbaik. Tetapi bukan mudah untuk meyakinkan sebuah keluarga untuk redha memberi pergi. Perlu ingat, jika asas redha itu sudah ditanam dan diajarkan sejak kecil memang mudah. Tetapi jika tidak, usahlah untuk mengharap redha dari mereka. Usahalah untuk memenuhi tanggungjawab itu semua.

Realiti sekarang, Allah izin untuk melihat 2 contoh keluarga dakwah. Ada sebuah keluarga yang redha memberi pergi suami dan ayahnya untuk berjuang manakala satu lagi  keluarga dakwah yang turut bersama-sama dalam berdakwah. Adalah yang lebih baik pejuang  itu sendiri yang membawa ahli keluarganya turut sama berdakwah. :-) Dalam masa yang sama keluarganya dapat membesar dihadapan mata.

Di sini, ana ingin kongsikan beberapa perkara yang ana lakukan dalam perancangan jangka panjang.

Pertama: Ana mengambil Perlindungan di bawah takaful Ikhlas dengan pembayaran RM150 sebulan. Tempoh matang sehingga umur 75tahun. Ibarat menabung dalam khairat kematian. Bezanya, takaful akan saling membantu ahlinya jika ditiimpa kesusahan. Ini dinamakan tabarru'at. Ana baru sahaja mencadangkan kepada pihak lembaga sekolah untuk menyediakan perlindungan kepada guru-guru. Hal ini bertujuan untuk menjaga kebajikan guru-guru di sekolah. Alhamdulillah, respon yang baik daripada mereka. Bermula tahun hadapan akan dilindungi di bawah sekolah. Perlindungan persendirian tetap diteruskan, kerana perlindungan yang akan diberikan secara percuma oleh pihak sekolah hanyalah ketika berada di dalam situasi bekerja.

Kedua: Panduan membeli kereta. Jiwa berkebajikan jika hanya bermotor akan mengehadkan perjalanan dan gerak kerja dakwah. Usia muda memang mudah tercabar. Melihat orang lain berkereta baru dengan hutang selama 9 tahun, diri ini juga ingin sama berhutang. Tetapi, ditegur dengan iman. Bersabar. Biarlah hanya mampu memandang orang mengheret kereta barunya ke sana ke sini. Kereta abah masih boleh dipinjam kan? :-) Ana masih dalam usaha menyimpan untuk membeli aset sebuah kereta. Hajat doa. Pinjaman akan dilakukan jika benar-benar memerlukan. Seperti membeli rumah atau tanah. Kereta tidak termasuk dalam senarai untuk melakukan pinjaman. Ada rezeki, Allah pasti mudahkan untuk membeli sebuah kereta yang terpakai dan masih baik untuk tempoh menunggu kereta baru. Impian memiliki kereta baru dengan duit simpanan. 5 tahun lagi InsyaaAllah. Rumit sungguh jiwa berkebajikan ni kan. Semuanya tak boleh. Hidup perlu ada prinsip. Jika tidak akan tergadai segalanya.

Ketiga: Menyimpan dalam KWSP. Akaun ada, tetapi tidak disiplin menabung. Sekolah tidak menyediakan tabungan KWSP. Perlu usaha sendiri. Cadangan mewujudkan tabungan KWSP tidak mungkin tercapai, kerana gaji pun diterima melalui envelope. Setiap bulan ana akan masukkan sendiri ke dalam bank. Alhamdulillah cadangan untuk mewujudkan pembayaran gaji melalui akaun akan bermula pada tahun hadapan. Mungkin selepas ini pembayaran simpanan KWSP boleh menggunakan auto debit daripada bank. Lebih mudah. Itupun kalau ada duit dalam bank :-)

Keempat: Menyimpan dan melabur dalam Tabung Haji. Jujur, akaun tabung haji tidak lagi bertukar nama. Masih menggunakan nama abah. Kesedaran untuk mendaftar haji datang lewat. Mudahan  ana berjaya daftar pada tahun hadapan. Hajat doa. Bonus tabung haji pun tinggi juga. Duit pinjaman PTPTN cadangnya akan dibayar sepenuhnya selepas 2/3 tahun dengan pelaburan duit di dalam tabung haji. Sedih juga memikirkan keterlibatan pinjaman dengan PTPTN. Allah sudah takdirkan untuk belajar dengan meminjam. Tiada kesedaran untuk elak PTPTN ketika itu. Bahkan hanya mendengar kata kakak yang juga meminjam daripada PTPTN. Walaupun kakak sudah memiliki master, pinjaman PTPTN tidak pernah dibayarnya lagi. Memilih untuk menangguh pembayaran kerana sambung belajar.

Kenapa ketika itu ana tidak usaha cemerlang dalam bidang yang dipelajari untuk perolehi JPA? Bermula daripada awal sudah menjangkakan bidang Matematik Kewangan tidak mampu digalas. Ana bidang sains, tidak tahu menahu mengenai kewangan. Add math A, Maths A sekalipun, jika tiada minat memang tidak boleh. Belajar dan terus belajar untuk memiliki segulung ijazah. Subjek yang susah, ramai yang repeat. Walaupun hanya sekadar belajar tanpa minat yang mendalam, Allah izin tidak pernah repeat. Sekarang elak kerja bank, kerja bab duit-duit, saham-saham. Elak syubhah. Tidak mengapalah kena bayar pinjaman walaupun tidak kaya. Tidak jiwa dengan semua itu, mendidik sahaja menjadi pilihan. Hanya kerana mengenangkan ilmu seorang pendidik yang memberi, ana akan usaha untuk manfaatkan seadanya dalam kehidupan insyaaAllah. Akaun sendiri dapat diwujudkan, akaun keluarga dapat diselenggarkan, dan ana juga dapat membantu dalam selok belok pengurusan koperasi dakwah. Satu bonus dalam berkebajikan. Alhamdulillah.

Malangnya, menabung dalam tabung haji juga tidak disiplin. Permulaan bekerja, gaji mudah sahaja cair. Menunaikan hajat itu, hajat ini. Bulan ini, TV baru. Hajat keluarga. Tabung haji, tinggal tabung. Bank Islam tinggal bank. :-)

Kelima: EMAS. Nanti akan dikongsikan. Penat juga menulis bab urus kewangan ni. Sebenarnya tidak suka subjek kewangan, kerana kewanganlah yang membuatkan diri ini sakit semasa belajar. Instrument derivative, investment potfolio, bond, loan, forex, dan sebagainya. Sakit mengira semua itu. Mujurlah financial calculator hilang. Kalau tidak semakin terkenang-kenang.

Ikutkan banyak lagi perancangan jangka masa panjang. Cukuplah untuk tahun ini. Duit Yuran belajar, duit bercuti mak abah, reward diri sendiri dan anak didik insyaaAllah akan berkongsi di ruangan yang lain. Itu perancangan jangka masa pendek.

Sudah panjang berceloteh, mudahan bermanfaat. Rumit tidaklah rumit. Jika punyai ilmu dan kesedaran untuk merancang, bermulalah daripada awal. Jangan bertangguh.

Duit difikirkan hanyalah untuk kelangsungan hidup untuk terus memberi dengan tanpa henti. InsyaaAllah.

Berkebajikan mesti profesional, jika lemah dan serba tidak tahu pasti akan dihina dan diherdik. Fitnah buat Islam.

No comments: