Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

28 March 2017

Matematik dan AlQuran.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Allah aturkan jalan kehidupan ini sangat cantik.
Alhamdulillah.

Sedikit demi sedikit rancangan jangka panjang dipermudahkan Allah.
Hebat aturan Allah. Manfaat buat ummah.

Bersemangat setelah tajuk telah dipersetujui oleh prof. Hasilnya mudahan dapat dimanfaatkan kepada anak didik tahfiz insyaaAllah. Prof pun tersenyum, Mungkin kerjasama ini dapat menjadi saham akhirat buatnya juga.

Sepanjang keterlibatan dalam dunia pendidikan kebajikan dan tahfiz, Banyak perkara telah dipelajari dan beberapa sistem perlu diperbaiki. Ana mengambil peluang untuk mewujudkan satu modul asas kurikulum matematik dalam pendidikan tahfiz sepenuh masa. Walaupun menghafaz AlQuran, keperluan matematik itu perlu diwujudkan dalam pembelajaran agar dapat diaplikasikan dalam kehidupan. InsyaaAllah. Bukan semata-mata belajar matematik hanya nak ambil SPM lepas khatam.

Seorang hafiz atau hafizah itu bila disuruh untuk membuat keputusan pasti dapat menjawabnya. Hasil daripada pembelajaran matematik asas.

Dalam perjalanan menuju ke universiti, Allah izin terserempak dengan guru hafazan sekolah dahulu di RNR ketika mengisi minyak kereta. Tersenyum dia bertanya khabar. Ustaz sambung PHD katanya. Kami bertukar pendapat dalam pelaksanaan akademik di tahfiz. Ustaz memberi semangat menyiapkan kajian dengan cepat. Allah izin kebetulan ustaz ada membuka tahfiz dan memerlukan modul matematik di tahfiznya. Ana tidak mempunyai masa, sudah lewat dan minta untuk beredar. Ustaz sempat mengakhiri kata-katanya dengan bertanya, dah berkahwin belum? hu3. Jawapannya, ada jodoh adalah ustaz.

Ada hikmah ambil matematik walaupun tak pandai,
mengajar AlQuran walaupun bukan ustazah
dan menghafaz AQ walaupun bukan daripada bidang tahfiz.

Ini semua cita-cita untuk dapatkan redha Allah.
InsyaaALLAH.

Manfaat buat ummah, sakit itu sekejap.

19 March 2017

Keutamaam

Keluarga adalah menjadi keutamaan.

Berulang alik ke bangi sudah menjadi kebiasaan. Tetapi minggu ini, luar daripada kebiasaan. Hampir setiap hari. Penat dan sakit badan itu diakui. Tetapi Allah izin semuanya dapat diubati dengan kekuatan.

Alhamdulillah, officially sudah menjadi ummi yah :-)
Allah hadirkan anak buah perempuan. Namanya aira. Sedang tidur di sebelah ana. Tenang.

Keluarga menjadi keutamaan. Ana tidak mahu kakak sakit. Dia memerlukan masa untuk pulih. Tambahan pula, kakak bersalin secara pembedahan. Ana juga tidak mahu mak rasa terbeban. Mak tidak sihat. Doakan mak kembali sihat.

Tetamu datang, baby menangis, dapur berkepah, assignment tolak tepi, kelas nasib baik cancel, program semua batal, masalah sekolah lupakan sekejap. hu3.

Allah nak beri pahala lebih. Mesti kuat.

Inspirasi kekuatan daripada menulis.

15 March 2017

Letih

LETIH
LELAH
TIDAK KUAT
TIDAK SEMANGAT

Semua perkara Allah izin pasti ada hikmahNya.

Allah itu matlamat. Hai jiwa, tabahlah. Perjalanan masih panjang. Sahabatmu di luar sana memerlukanmu untuk terus berjuang meneruskan kehidupan.

Memandang sisi kehidupan dengan kebaikan. Semua pasti baik.
InsyaaAllah.

alQuran#myInspiration

12 March 2017

Dunia dan akhirat.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Bersahabat dengan yang lebih tua, berasa dekat dengan kematian.
Bersahabat dengan yang lebih muda, berasa semangat semula.

Jika berbual sesuatu mengenai hal dunia, jangan lupa untuk bicara mengenai pencipta.
Itulah dakwah kita yang paling mudah.

Jika terlalu mengejar keduniaan, ana akan ingatkan kepada mereka dengan kata-kata di bawah.
"Bekerjalah sekadar mana engkau akan hidup di dunia, beramallah sekadar mana engkau akan hidup di akhirat"

Di saat itu, masing-masing akan memandang antara satu sama lain. Masing-masing akan berasa kurangnya amal. Belum bersedia untuk ke akhirat. Kembali untuk ingat kepada pencipta.

Hakikatnya, tidak sia-sia jika beramal itu kau lebihkan dengan banyak.

Jika tidak kena pada tajuknya, silap-silap akan menjadi hambar. Teknik ini perlu dikuasai dengan sentiasa mencuba. Lama-lama kita akan terbiasa.


Sampaikanlah walau satu ayat yang bermanfaat. Tidak kira kepada siapa pun. Teruskan untuk menyampaikan.

Wallahua'lam.

11 March 2017

Kalam daieah.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Untuk memastikan iman tidak turun, segeralah berlaku taat kepada Allah. Jauhi maksiat dan dosa. Adakalanya kita sudah sehabis daya untuk berkorban harta dan tenaga untuk agama, tetapi masih jauh lagi natijahnya untuk dirasai dan dikecapi. Adalah lebih baik kita ikhlaskan semuanya, jangan terlalu berkira. Usahlah membanding tara siapa yang lebih baik atau sebaliknya. Ujian rasul ulul 'azmi lebih hebat berbanding kita yang hanya perlu melawan selimut dan bantal untuk melakukan tahajud, mengaji ilmu pun sudah dirasakan sudah berat, dakwah pun tidak disiplin, apatah lagi mahu mengangkat senjata? Hinanya dan jauhnya usaha kita. Usaha sedikit sudah penat, apatah lagi dikecam sudah patah semangat. Ya Allah ampuni hambaMu ini.


Hidup di dunia tidak lama. Akhirat selamanya.

Mudahan Allah redha.

Memahami tugas hakiki seorang hamba. Jangan penting diri.
Redha Allah itu matlamat.


05 March 2017

Hak perlu ditunaikan.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, sollu 'alan nabiy!

Terimbau satu slot perkongsian mengenai kesukarelawanan pada minggu yang lepas. Allah izin untuk memetik satu kata-kata yang sangat terkesan pada diri. "Tunaikan hak daripada menuntut hak."

Manusia cenderung untuk memenuhi kehendak berbanding mengutamakan keperluan. Lihat pada kemampuan diri, hak yang perlu ditunaikan perlu dilaksanakan dengan kemampuan. Jangan pula hak yang menjadi tanggungjawab itu tidak ditunaikan, tetapi sangat sibuk dalam menuntut hak.

Sebagai muslim dan mukmin, hak terhadap diri, keluarga, masyarakat, suami, isteri juga sahabat. Bahkan disetiap jalan dan tempat yang dilalui juga ada hak-hak yang perlu ditunaikan.

Terimbau satu cerita yang ana ingat daripada kuliah syamail muhammadiyah habib Ali. Hak terhadap rumah yang didiami juga ada. Seperti di tangga, di ruang tamu dan di dapur. Seorang hamba Allah mampu mengkhatamkan AlQuran di tangga rumahnya kerana mengetahui bahawa tempat yang diduduki itu juga mempunyai hak untuk mendengarkan bacaan AlQuran daripadanya. Allahu, sekecil perkara tersebut juga dikatakan hak. Hak rumah untuk mendengarkan bacaan AlQuran kita.

Membaca AlQuran satu perkara yang mudah, tetapi kenapa masih ada yang malas? Jangan malu untuk membawa AlQuran kecil di poketmu atau di dalam beg. Atuk sangat kuat membaca AlQuran, Hampir setiap bulan atuk akan khatam dan sedekah duit kepada anak didikan pengajian AlQuran. Katanya, Allah izin untuk khatam setiap bulan  walaupun sudah berumur. Niatnya untuk memberi akan terus selagi hidup. Ana juga diberikan gaji bulanan oleh atuk kerana menguruskan pengajian AlQuran di suraunya. Hendak tolak, dipaksanya pula untuk menerima. Kesudahannya, adalah benda yang ana manfaatkan dengan pemberian itu. Atuk seorang guru dan saya inspirasi menjadi guru berkebajikan daripadanya juga. Senang cerita, hampir semua wataknya ana curi. Katanya, membaca jangan tinggal. Nanti ditanya dan dimarahi kalau tak baca. hu3. Atuk selalu pesan, jangan asyik nak memberi sahaja. Simpan sedikit untuk masa hadapan. Berapa kali dia pesan. Dah tak boleh ingat dah. hu3.

Berbalik kepada hak yang perlu ditunaikan.

Ana kongsikan serba sedikit hak-hak yang boleh kita renungi. Antaranya adalah, hak pada badan. Kesihatan, pancaindera dan sebagainya. Perlu berikan masa untuk riadah dan juga mengambil supplement dengan tujuan menunaikan hak badan. Mata, mulut, hidung, telinga semuanya mempunyai hak. Apakah kita tidak merenungi hak tersebut?

Selain itu, hak pada rohani dan aqal fikiran.
Hak kepada ibu bapa.
Hak kepada adik beradik.
Hak kepada atuk dan nenek.
Hak kepada jiran tetangga.
Hak kepada masyarakat.
Hak kepada anak.
Hak kepada suami.
Hak kepada Isteri.
Hak kepada perjuangan.
Dan banyak lagi.

Ana sangat menjiwai kesukarelawanan. Antara hak yang ana cuba fokuskan adalah hak kepada negara Islam yang tertindas. Allah izin, untuk turut bersama mendidik anak-anak pelarian dan turut terlibat menjayakan misi kemanusian. Itu adalah hak mereka untuk mendapatkan pendidikan dan dana kebajikan. Walaupun rasa tidak mampu, lama kelamaan kita akan mampu. Beri masa dan ruang kepada diri untuk menyantuni mereka.

Satu perkara, hak yang perlu diambil berat adalah hak kepada Allah. Adakah kita sudah menunaikan hak-hak Allah? Allah tidak mahu banyak. Allah hanya mahukan hambaNya beribadah kepadaNya sahaja. Dalam rangka beribadah dan sujud kepadaNya, semua hak yang dinyatakan di atas perlu dilaksanakan. Jangan hanya pandai meminta hak tetapi bersedialah untuk memenuhi hak yang ada.

Wallahua'lam.

02 March 2017

Hidup bukan semata untuk masalah.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Arrasul Muhammad S.A.W.
Allah izin untuk menulis. Sekejap sahaja masa berlalu, sehingga tidak perasan. Allahu.
Setiap perkara yang telah diperuntukkan dalam seharian perlua dilalui dengan sistematik dan tersusun. Pasti tiada rasa letih.

Surah Adzariyat 56.
Surah Al-Fajr 27-30.

Tersemat 2 ayat ini dalam matlamat kehidupanku.
Muslimah itu tidak perlu untuk berterusan risau akan masalahnya. Terutamanya masalah jodoh. Siapa dan bila? Itu semua urusanNya.
Ana pernah berbual dengan rakan setugas yang mengadu lelahnya kehidupan ini. Menurutnya, masalah yang dihadapinya lebih susah untuk difikirkan daripada memikirkan jodoh.

Ana hanya berpesan kepadanya, adakah kerisauan itu telah dihubungkan kembali kepada Allah?
Fitrah manusia akan berasa risau dan terganggu. Hakikatnya kita ada Allah. Hidup ini bukan untuk memikirkan perkara itu sahaja. Banyak lagi perkara yang perlu dirisaukan. Seperti, kerisauan tentang pengakhiran hidup kita. Adakah nanti pengakhiran hidup kita Allah redha? Allah terima? Letakkan sangka baik kepada Allah. Pasti Allah aturkan dan berikan yang baik juga.

Kadangkala, pernah ditanya mengenai isu pemilihan jodoh. Hakikatnya, ana sendiri juga tidak tahu untuk menggariskannya. Itu bukanlah perkara utama untuk difikirkan. Kadangkala tersangkut juga dengan masalah seperti itu. Allah izin untuk menilai dengan baik dan terbuka untuk semua keadaan. Allah aturkan semuanya pasti ada hikmahnya, Tugas kita berusaha dan berdoa. Jika 24 jam berfikir, menilai itu menilai ini, sehingga matlamat utama kehidupan dilupakan, tidaklah dinamakan hidup yang sebenar.

Seringkali mendapat soalan berkaitan dengan pasangan hidup. Bila dan siapa? Ana hanya boleh menjawab, Surah AnNahlu ayat 1. Tidak  perlu memberatkan sehingga banyak lagi perkara yang boleh difikirkan.

Teringat dalam satu sesi kuliah penyelidikan. Prof berkongsi berkenaan dengan isu kesuntukan masa. Sebagai seorang penyelidik, tugas kita bukan 24 jam berfikir tentang kajian. Ambil masa dan peruntukan hari yang panjang untuk selesaikan sesuatu masalah dalam kajian. Hari yang panjang bukan bermaksud perlu setiap hari memikirkannya. Jika diperuntukkan 5 hari untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kita hanya perlu 1 hari untuk memikirkannya dalam 5 hari yang diperuntukkan. Berikan ruang untuk diri memikirkan masalah yang lain juga. Menurut prof, kita bukan ada satu masalah. Ada masalah dengan rumah, masalah dengan keluarga, masalah kewangan, masalah handphone rosak, masalah dengan kereta tak bayar, sewa rumah, belanja anak dan sebagainya. Ada yang menambah, masalah umat dan masalah jodoh. Semua tergelak.

Sebenarnya, muslimah itu tidak perlu berat memikirkan tentang masalah yang dihadapi. Letakkan kebergantungan yang tinggi kepada Allah dan terus bersangka baik kepada Allah. Tugas kita selaraskan kehidupan kita dengan berlandaskan kepada dua ayat yang ana kongsikan seperti di atas. Adzzariat dan AlFajr. Cek kembali hubungan dengan Allah, sesama manusia. InsyaaAllah pasti tenang menghadapinya.

Semoga Allah redha.