Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

31 January 2017

Investment terbaik.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Sebagai seorang muslimah, perlu bersiap menghadapi kebarangkalian hujan. Ada pepatah mengatakan sediakan payung sebelum hujan.

Allah izin, untuk masih berdiri meneruskan kehidupan dengan berbekalkan ilmu dan harta yang ada pada diri sendiri. Tidak dinafikan keluarga disekeliling banyak membantu.

Percayalah... pelaburan yang terbaik adalah ilmu.
Jika tinggalkan harta pada keturunan, akan menjadi binasa.
Tetapi meninggalkan ilmu, akan menjadi harta.
Ada yang mengatakan pelaburan intelek untuk ummah. :-)

2 tahun menghabiskan duit hanya semata untuk menyambung pelajaran dan bergerak untuk mencari ilmu. Dapat sahaja habis, simpan sahaja habis. Kadangkala, jadi pelik dengan diri sendiri.

Kalau masih berkira-kira keluarkan duit untuk berjalan di atas jalan dakwah dan ilmu. Anda masih tidak layak untuk digelarkan sebagai pelabur yang terbaik.

Ilmu yang dituntut ke sana- ke sini hanyalah untuk peringatan dalam kehidupan agar tidak tersasar daripada melakukan dosa dan maksiat. Hidup perlu berpandukan kepada sesuatu. Jika tidak akan tersasar.

Belajar menjadi pencinta ilmu.
Selesai perkara di atas, insyaaAllah dipermudahkan segalanya.
Ilmu berjaya dilaburkan kerana Allah, kelak harta akan bercambah menjadi berkat.

Hanya semata harta, tidaklah akan perolehi redha. Jika hanya semata Allah pasti akan beroleh redha.
Wallahua'lam.

23 January 2017

KitaDaie

Bismillahirrahmaanirrahim.

Segala puji bagi Allah SWT.
Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Allah melihat pada nilai usahamu bukan pada nilai manusia.
Jika sudah dirasakan manusia memandangmu baik, seharusnya bertaubat dan kembalilah kepada tuhanmu agar kenikmatan yang hakiki itu dikembalikan.

Allah izin, mendidik tanpa henti. Terus bergerak mengajak kepada kebaikan. Adakalanya futur, dipaksa juga untuk bangkit.

Tidak sekali untuk meninggalkan kebaikan.
Akan kuat dan terus yakin dengan janji Allah.
Jangan jemu menuntut ilmu.
Jangan penat mengajak kepada kebaikan.
Jangan sekali merasakan sudah baik.
Jangan berhenti menjadi baik meskipun ada ujian yang menjatuhkan dan melemahkan.

Sebahagian ujian daripada Allah adalah untuk membersihkan dosamu dan tanda kasih sayangNya.
Sesungguhnya Allah menguji hambaNya kerana DIA sayang. Setiap ujian yang ditimpakan adalah mengikut kepada kadar kemampuanmu. Bersabarlah menempuhinya, kerana ini adalah satu cara untuk kita memperolehi pahala :-)

KitaDaie
Mudahan Allah redha.

14 January 2017

Awesome

Bismillahirrahmaanirrahim...
Sedih...

Allah izin hari ini ana berpeluang ikut program maulid arba'ien di masjid kampung.
Mak abah sukarelawan masjid sejak saya bersekolah lagi.

Setiap program yang dianjurkan ana akan pergi dan raikan. Kadangkala terpaksa lari daripada bergaul dengan orang-orang tua yang kebanyakannya lelaki semuanya. Orang masjid ni lelaki sahaja. Mak sahaja yang terkenal dengan ramahnya dan ringan tulangnya. Mak memilih berkebajikan daripada menuntut ilmu yang berat-berat. Mak memilih untuk menjadi cleaner masjid untuk mengisi masa-masa tuanya. Menguruskan program dan kematian juga menjadi sebahagian tugas hakikinya. Mak bukan orang akademik mahupun ilmuan. Anaknya tidak dinafikan semuanya hampir memiliki semua cabang keilmuan. Ini adalah semua pengorbanan mak dan abah membesarkan kami dengan ilmu.

Sedih kerana gagal membuktikan cinta kepada nabi.
Rindu untuk berjumpa dengan nabi.
Takut jika jauh daripada ajaran yang disampaikan oleh nabi.

Allah izin, ulamak dan para habaib hadir untuk menyampaikan tausyiah. Setiap kali apa yang keluar daripada mulut seorang alim, tangan ana pasti akan laju menulis. Jangan pelik jika ana memang laju menulis dalam jawi. Terlalu rindu dan berharap akan berjumpa dengan nabi suatu hari nanti. Cukup sekali.

Ana penat melayan m.cik-m.cik yang suka bertanya. Ana jawab sikit dan banyak senyum. Mengelak lebih banyak sebab minda sangat penat hari ini. Maaf. Balik awal hari ini sebab terlalu sedih. Mak mengharapkan anaknya membantu mengemas, rupanya sudah pulang awal.

Mak sangat baik. Banyak perkara mak berkorban, sehingga ana tidak terkata dan tidak mahu untuk menyakiti hatinya.

Hari ini, mak sangat semangat menguruskan kehadiran habaib. Orang lain berselawat, ana perhatikan mak ke hulu ke hilir pastikan semua tersedia dengan baik. Semua barang daripada rumah di bawa ke masjid. Katanya, nak sambut habib kan. Keturunan nabi. Bunga-bunga, pinggan mangkuk yang cantik-cantik semua dibawanya ke masjid. hu3. Maulid nabi hari tu, ana baru pulang daripada penat belajar sudah dipaksanya buat bunga telur. Kata mak, nak sambut maulid ni tak perlu fikirkan penat. Ana pun semangat untuk menyiapkan bunga telur untuk maulid nabi.

Jika di rumah, apa jua majlis, mak juga yang paling bersemangat. Ana tersentuh, hari ini mak menyusun kasut orang ramai. Tiada seorang pun membantu. Ana ingin sahaja lompat daripada pagar kawasan masjid untuk membantu. Tetapi orang terlalu ramai. Usaha mak tidak termampu untuk diikuti. Mak dan abah balik pukul 2 pagi mengemas masjid. Ana hanya menunggu di rumah dengan sedih mengenangkan betapa hinanya dan jauhnya daripada merindui nabi. Apakah usahaku dalam mencintai Allah dan rasulNya? Langsung tiada. Orang lihat baiknya ana, tetapi ternyata hina. Buat sikit kebaikan sudah dirasakan sudah banyak mengatasi orang lain. Allah izin menerima tetamu pada malam tersebut daripada terengganu, malangnya hak tetamu juga ana tidak tunaikan dengan baik. Ana penat dan memberi alasan bahawa baru pulang mengajar dan berprogram. Mujurlah mereka sudah ana jamu makan di masjid. Balik hanya tidur dan berehat. Esok perlu ke sekolah.

Mak pula, sangat meraikan tetamu. Balik pukul 2 pagi pun masih sempat menjamu tetamu, bertanya keperluan tetamu. Walaupun itu tetamu ana. Kalau boleh tak nak menyusahkan mak. Tetapi hak tetamu perlu ditunaikan. Ana masih berat untuk mencontohi akhlak nabi sedangkan itu yang paling mudah untuk dilakukan.

Mak kata, dayah tak sedih dengar penyampaian habib? tak rindu nabi? Mak menangis.
Ternyata analah orang yang hina kerana kurangnya merindui nabi.

Wallahua'lam.

08 January 2017

Pendidik berkebajikan

Bismillahirrahmaanirrahim.

Bersyukur kepada Allah, Selawat ke atas nabi. (Muqaddimah dipendekkan)
Zikir yang terbaik adalah membaca AlQuran dan selawat ke atas nabi.

Allah izin pada hari ini ana dapat melapangkan masa untuk menulis. Sudah diniatkan pada diri untuk mewakafkan tenaga yang terdaya serta masa yang ada dimanfaat untuk jalan Islam. Mudahan Allah redha. Hampir dua tahun kuatkan diri untuk berada di jalan ini. Mudahan akan terus kuat dan sabar.

Kadangkala, berasa hati tidak memiliki apa yang mereka miliki. Jika kita membandingkan apa yang orang lain dapat lebih baik daripada apa yang kita dapat, itu sudah hampir kepada kufur nikmat. Ya Allah jangan Kau izinkan hambaMu ini kufur dengan apa jua nikmat yang telah diperolehi atau tidak diperolehi.

Mengapa pula kita tidak membandingkan apa yang kita dapat dengan orang lain yang tidak dapat? Itukan lebih baik. Mendidik kita untuk lebih bersyukur.

Seminggu persekolahan sudah berlalu. Jika cikgu kerajaan, sesetengah daripada mereka disibukkan dengan pemantauan daripada pihak kerajaan agar dapat mengikuti garis panduan kementerian pendidikan. Bagi pendidik berkebajikan, mereka hadir dengan harapan untuk memperbetulkan keaadaan dan dalam masa yang sama semangat untuk mendidik kerana Allah. Garis panduan yang baik diikuti, yang dirasakan tidak perlu, diabaikan.

Tahun ini, kemasukan anak Rohingya semakin bertambah, manakala kemasukan anak-anak daripada golongan profesional pula semakin berkurang. Di sini Allah nak lihat kesabaran seorang pendidik yang berkebajikan.

Allah izin ana bercuti semester (belajar) pada sesi awal persekolahan. Alhamdulillah, Allah beri kelapangan untuk menguruskan kelas darjah satu. Ana memilih darjah satu kerana banyak perkara yang boleh diajarkan dan dimanfaatkan. Darjah satu bukan untuk guru baharu dan guru muda. Darjah satu adalah untuk guru yang sukarela. Jika dipaksa tidaklah menjadi pendidik yang ikhlas. Persepsi manusia, guru muda dan guru baru mesti duduk darjah 1. Inilah kelainan yang dicorakkan dalam pendidikan berkebajikan. Tidak mengharapkan pertambahan elaun jika bekerja lebih. Terima gaji mengikut kemampuan sekolah. Ada lebihan infaq, lebihlah gaji kami. Jika kurang, kuranglah gaji kami. Alhamdulillah 3 tahun mendidik dengan sistem pendidikan yang berkebajikan.

Ana selesai menduduki 4 paper peperiksaan. Bukan mudah untuk menjadi seorang sarjana dan dalam masa yang sama memikul tanggungjawab bekerja untuk Islam. Suatu hari pasti Allah hadirkan seseorang yang boleh memahami tugas hakiki ini.

Memberi bakti jangan leka kepada kehidupan. Menguruskan harta adalah sangat penting di masa kini. Berkebajikan perlu profesional. Bersabar untuk tidak bermewah, qanaah itulah kehidupan.

InsyaaALLAH ana akan berkongsi beberapa cadangan aktiviti dan perancangan untuk terus memberi tanpa henti. Jalan ini memang payah dan perlu ada kesanggupan untuk menghadapinya. Tetapi percayalah, ia sangat manis dan mahal untuk dikenangi. Untuk lakukannya, mudah. Hanya memerlukan ilmu dan ilmu. Disebabkan itu hanya yang berilmu Allah pilih untuk meneruskan jalan-jalan kebajikan ini.

Pertama: Mendidik dan belajar bagaimana untuk mendidik.
Kedua: Perlu ada pelajaran tinggi. Tidak kita nafikan, manusia memang memilih.
Ketiga: Ikhlas. Jangan rasa terpaksa.
Keempat: Berharta, tidak banyak tetapi jangan putus.
Kelima: Jangan sombong dan riak dengan kebajikan yang dilakukan. Suatu hari nanti, berkemungkinan besar Allah akan tarik pahala itu menjadi debu-debu yang berterbangan. Naudzubillah. Diam sahaja, Allah akan hadirkan kefahaman kepada mereka yang dikehendaki untuk mengetahuinya.
Keenam: Nanti saya sambung. InsyaaALLAH.

05 January 2017

Berjumpa dengan Allah.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah Allah izin pada hari ini untuk mencoretkan sedikit kata-kata walaupun masa untuk menulis hampir tidak diperuntukkan. Ana usaha menulis insyaaAllah.

Bersyukur kepada Allah atas nikmat iman dan Islam, selawat dan salam buat Rasulullah S.a.w. serta doa yang berterusan buat para sahabat, tabien, tabi' tabien, aktivitis-aktivis dakwah islamiyah dan ahli keluarga mereka. Aamiin. Yuk kita menyambung usaha mereka dalam menyebarkan agama Islam dengan menjadi seseorang yang memberi manfaat. InsyaaAllah.

Dalam ruang yang terbatas ini, ana hanya ingin berkongsi satu maksud ayat AlQuran daripada surah Al-Baqarah ayat 46. Sila rujuk Tafsir. 2:46.

Sepanjang hidup ini, Allah izin ayat ini sudah berada kemas dalam ingatan. Malangnya ana tidak pernah meneliti maksud ayat tersebut. Allah tegur untuk tersentuh dengan maksud ayat ini. Allah gerakkan hati ini untuk sedar kerana Allah jualah yang memegang hati-hati hambaNya.

Berkesinambungan daripada ayat 45, ayat 46 memberi maksud iaitu orang yang yakin akan berjumpa dengan Allah dan yakin akan kembali kepadaNya.

Kita perlu yakin bahawa kita akan kembali kepada Allah dan berjumpa denganNya. Persiapkan diri untuk diterima Allah dalam keadaan Allah redha dan kita redha untuk berjumpa denganNya. Ayuh kita kejar redha Allah.

Jumuah mubarakah. Alkahfi terasa berat jika seseorang itu sangat kurang membaca AlQuran.
Jangan bertangguh melakukan kebaikan meskipun rasa penat dan sakit. Redha Allah itu sungguh mahal untuk dibeli. Bukan percuma!

Wallahua'lam.


02 January 2017

Berkebajikan perlu Profesional

Bismillahirrahmanirrahim.

Permulaan tinta pena pada hari ini, marilah sama-sama kitaa merafa'kan setinggi rasa syukur kepada Allah SWT di atas nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W di atas pengorbanan baginda dalam menyampaikan risalah kebenaran kepada sekalian ummat.

Qul in kuntum tuhibbunallah, Fattabii'uni. 
Katakanlah (Muhammad s.a.w) kepada kaummu, jika engkau mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad S.A.W). Ali Imran 114

Doa dipanjatkan kepada para sahabat, tabien, tabi' tabie'n, serta para pejuang dakwah yang menyambung tugas-tugas para nabi dalam menyampaikan kebenaran. Mudahan kita juga tergolog dalam kalangan mereka yang menyambung kerja-kerja dakwah nabi. Bi iznillah.

Pendek kalam, sempena pembukaan tahun 2007, ana berazam untuk kembali menulis dengan hikmah. Rugi jika tidak menyampaikan walaupun sebaris ayat. Sebagai seorang pendidik seharusnya mempunyai keazaman untuk mengajak dan menyeru kepada kebaikan. Dengan izinNya, ana akan kongsikan serba sedikit pengalaman mendidik dan berkebajikan.

Berkebajikan perlu profesional. Itulah azam masa jangka panjang.
Hajat doa.