Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

26 September 2015

Aktiviti Eid

Bismillahirrahmanirrahim.

Allahu akbar!
Allah maha Besar.
Allah is Almighty.

Pengorbanan yang dilakukan mudahan menjadi nilaian amal soleh daripada Allah.

ألَا إن خَيرَ الزّاد التقوى
Hanya dengan kebaikan dapat menambahkan ketakwaan.

Eidul Adha ini mudahan tersenyum membawa hikmah.
Hidup di dalam keluarga yang beraktiviti, mendidik hati untuk ikhlas memberi dan berbakti.

Penat memang penat, tetapi melihat kepada semangat mak yang berkobar. Mana mungkin untuk membantah. Hilang di mata mak tak sampai seminit, nama pasti diseru. :-)

Masak, buat air, mengemas, membasuh, melayan tetamu, beli barang, itulah rutin kami anak-anak perempuan yang turut sibuk membantu mak. Korban setiap tahun, tidak kiralah apa jua aktiviti. Nama ana pasti naik sebagai ketua ajk kebersihan dan mengemas. Agaknya memang ana muka angkat pinggan, basuh pinggan, mengemas surau, mengemas meja, membasuh semua. hu3. Cleaner surau keluarga yang bertauliah. Ana tidak rajin, malas itu diakui. Mendengar titah ibunda, malas bertukar menjadi paksa. Paksa dahulu, ikhlas akan menyusul kemudian. :-)

Menyediakan bahan masak itu sudah menjadi kepakaran, tiba masa untuk memasak pula, ana hanya dapat memandang. Memasak tangan orang tua. Tangan orang muda mengacau dan merasa. Setakat sayur bolehlah masak banyak-banyak. Masak sup? Masak daging? Dalam kuantiti yang banyak, hanya mampu memandang. Berapa kali masak pun tidak boleh dikira dalam satu hari. Banyak sangat makan. Kerja sikit makan, kerja sikit minum. Manusia memerlukan tenaga untuk bekerja.

Menangis apabila berada di hadapan kayu api. Asap api menderu kena di mata apabila angin kuat lalu. Mak kata, macam mana nak ke syria ni, habuk kayu api pun tak tahan. Kata nak berjuang.

Menurutku, siapa kata nak berjuang kat sana? hu3. A.ahlah mak, kalau nak ke sana pasti akan menyediakan makanan untuk mereka. Kena ada kepakaran dalam memasak, meskipun berkayu api.
Kepakaran dayah, mendidik Al-Quran dan boleh memahami bahasa Arab. Masak? Untuk diri sendiri bolehlah. Mungkin selepas ini nak belajar untuk lebih pakar memasak untuk orang ramai.

Mujurlah rumah pusat untuk memasak dan melakukan aktiviti orang ramai. Serba sedikit kepakaran mak boleh dicedok dan dipelajari.

Solat Hajat, Iftar Jamaie, Korban, ceramah. Alhamdulillah.

2 Hari bertungkus lumus. Malam untuk berehat. Bersembang sakan dengan mak cik- mak cik mengenai pengajian kitab dan mengaudit akaun keluarga pada malam tersebut. Gelagat orang tua menyediakan akaun, hanya mampu tersenyum. :-) Ilmu orang muda mereka sedikit pun tidak ketepikan. Mereka sangat selesa untuk meminta bantuan jika tidak tahu.

Esoknya, usai solat subuh. Badan ini bermalasan. Tidak mampu untuk mengemas pinggan mangkuk yang berbaki. Mak menyeru, hidayah ajk kebersihan.... hu3. Rupanya anaknya tidak mahu bergerak daripada tempat beradu. Cuti ada lagi mak...  :-)

Badan bermalasan itu tidak baik, tetapi untuk menghasilkan sesuatu yang baik memerlukan badan yang cukup rehat. Bak kata kakak, dayah tidur hari ini tak ingat dunia. :-) Tagline ana, asalkan bahagia dan Allah redha :-) Mak mengangkat kening sahaja, anak perempuannya ini masih perlu belajar lagi detik hatinya. Belajar mengenal dunia. :-)

Wallahua'lam.

21 September 2015

Pengurusan Kewangan (Berkebajikan)

Bismillahirrahmanirrahim.

Cuti persekolahan yang indah, ruang untuk menulis semakin mudah. InsyaaALLAH. Semoga Allah beri ilham untuk mencoretkan serba sedikit pengalaman yang dapat memberi manfaat. InsyaaAllah.

خير الناس أنفعهم للناس
Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat.
Hadis riwayat Tabrani

سئل رسول الله (صلى) من أحب الناس إلى الله؟ قال: أنفع الناس للناس
Rasulullah S.A.W telah ditanya, siapakah manusia yang paling disukai Allah? Jawabnya, Manusia yang banyaknya memberi manfaat kepada manusia yang lain.

..............................

Dahulu ana pernah kongsikan beberapa panduan pengurusan kewangan bagi mereka yang berjiwa kebajikan. Terbahagi kepada dua.
1) Perancangan Jangka Masa Pendek.
2) Perancangan Jangka Masa Panjang.

Sebelum lebih jauh, ana berpesan pada diri untuk perbetulkan niat, perbaharui niat. Kerana apa merancang? Allah itu selayaknya untuk mengadili niat hambaNya.

Usia menginjak umur 24, mempunyai kerjaya dan dalam masa yang sama juga belajar. Kebajikan orang tua, hajat orang tua juga perlu diambil kira. Bahkan jika mempunyai adik-adik yang masih belajar, kebajikan mereka juga perlu difikirkan. Dakwah kiri kanan, ahli keluarga tidak diusahakan untuk berdakwah. Mudahan Allah izin untuk memimpin dan terpimpin untuk ke syurgaNya bersama ahli-ahli keluargaku.

Berbalik kepada Perancangan Jangka masa panjang.
Di usia muda ini, banyak perkara yang perlu difikirkan banyak kali. Keputusan yang bakal dibuat akan mempengaruhi kehidupan yang akan datang. Satu sahaja pesanku, apa sahaja keputusanmu hendaklah dihubungkan kembali kepada Allah. Apakah yang dilakukan itu kembali manfaatnya kepada Agama?

Terimbau satu baris lirik yang dipetik daripada lagu sudah sunnah orang berjuang versi pertama.
"Orang lain membuat harta, tapi dia (pejuang) membuangnya."

Benar, pejuang yang sebenarnya dialah yang membuang segala cintanya kepada dunia. Sehingga harta dunia tidak sempat untuk difikirkan. Bahkan baginya, dunia dan isinya tidak terkesan sedikit pun di hatinya. Hebatnya.

Di era modenisasi, keperluan material sangat diperlukan untuk bergerak di atas jalan dakwah. Bahkan akan ketinggalan jauh jika tidak seiringan dengan perkembangan dunia. Jangan bimbang, Allah maha adil. Pejuang itu bukan terlahir dikalangan mereka yang tiada harta sahaja, tetapi terlahir dikalangan mereka yang berharta. Disebabkan itu lahirnya konsep infaq, sedekah wakaf dan zakat.

Jiwa berkebajikan memilih untuk menjadi seorang daieah dan dalam masa yang sama memilih untuk memberi. Kehidupan di dunia bukan sahaja untuk tuntutan berjuang semata-mata, tetapi merangkumi banyak aspek. Antaranya, persediaan dan bekalan menuju akhirat. Dunia hanya sementara, akhirat jualah tempat kekal selamanya.

Ibu bapa, anak, isteri adalah tanggungjawab yang diamanahkan Allah untuk dipelihara dan dijaga. Mana mungkin jika tidak berharta, anda boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kembali kepada landasan syarak. Apakah dengan berjuang, segala tanggungjawab engkau tinggalkan? Memilih untuk redha? Ya, itu yang terbaik. Tetapi bukan mudah untuk meyakinkan sebuah keluarga untuk redha memberi pergi. Perlu ingat, jika asas redha itu sudah ditanam dan diajarkan sejak kecil memang mudah. Tetapi jika tidak, usahlah untuk mengharap redha dari mereka. Usahalah untuk memenuhi tanggungjawab itu semua.

Realiti sekarang, Allah izin untuk melihat 2 contoh keluarga dakwah. Ada sebuah keluarga yang redha memberi pergi suami dan ayahnya untuk berjuang manakala satu lagi  keluarga dakwah yang turut bersama-sama dalam berdakwah. Adalah yang lebih baik pejuang  itu sendiri yang membawa ahli keluarganya turut sama berdakwah. :-) Dalam masa yang sama keluarganya dapat membesar dihadapan mata.

Di sini, ana ingin kongsikan beberapa perkara yang ana lakukan dalam perancangan jangka panjang.

Pertama: Ana mengambil Perlindungan di bawah takaful Ikhlas dengan pembayaran RM150 sebulan. Tempoh matang sehingga umur 75tahun. Ibarat menabung dalam khairat kematian. Bezanya, takaful akan saling membantu ahlinya jika ditiimpa kesusahan. Ini dinamakan tabarru'at. Ana baru sahaja mencadangkan kepada pihak lembaga sekolah untuk menyediakan perlindungan kepada guru-guru. Hal ini bertujuan untuk menjaga kebajikan guru-guru di sekolah. Alhamdulillah, respon yang baik daripada mereka. Bermula tahun hadapan akan dilindungi di bawah sekolah. Perlindungan persendirian tetap diteruskan, kerana perlindungan yang akan diberikan secara percuma oleh pihak sekolah hanyalah ketika berada di dalam situasi bekerja.

Kedua: Panduan membeli kereta. Jiwa berkebajikan jika hanya bermotor akan mengehadkan perjalanan dan gerak kerja dakwah. Usia muda memang mudah tercabar. Melihat orang lain berkereta baru dengan hutang selama 9 tahun, diri ini juga ingin sama berhutang. Tetapi, ditegur dengan iman. Bersabar. Biarlah hanya mampu memandang orang mengheret kereta barunya ke sana ke sini. Kereta abah masih boleh dipinjam kan? :-) Ana masih dalam usaha menyimpan untuk membeli aset sebuah kereta. Hajat doa. Pinjaman akan dilakukan jika benar-benar memerlukan. Seperti membeli rumah atau tanah. Kereta tidak termasuk dalam senarai untuk melakukan pinjaman. Ada rezeki, Allah pasti mudahkan untuk membeli sebuah kereta yang terpakai dan masih baik untuk tempoh menunggu kereta baru. Impian memiliki kereta baru dengan duit simpanan. 5 tahun lagi InsyaaAllah. Rumit sungguh jiwa berkebajikan ni kan. Semuanya tak boleh. Hidup perlu ada prinsip. Jika tidak akan tergadai segalanya.

Ketiga: Menyimpan dalam KWSP. Akaun ada, tetapi tidak disiplin menabung. Sekolah tidak menyediakan tabungan KWSP. Perlu usaha sendiri. Cadangan mewujudkan tabungan KWSP tidak mungkin tercapai, kerana gaji pun diterima melalui envelope. Setiap bulan ana akan masukkan sendiri ke dalam bank. Alhamdulillah cadangan untuk mewujudkan pembayaran gaji melalui akaun akan bermula pada tahun hadapan. Mungkin selepas ini pembayaran simpanan KWSP boleh menggunakan auto debit daripada bank. Lebih mudah. Itupun kalau ada duit dalam bank :-)

Keempat: Menyimpan dan melabur dalam Tabung Haji. Jujur, akaun tabung haji tidak lagi bertukar nama. Masih menggunakan nama abah. Kesedaran untuk mendaftar haji datang lewat. Mudahan  ana berjaya daftar pada tahun hadapan. Hajat doa. Bonus tabung haji pun tinggi juga. Duit pinjaman PTPTN cadangnya akan dibayar sepenuhnya selepas 2/3 tahun dengan pelaburan duit di dalam tabung haji. Sedih juga memikirkan keterlibatan pinjaman dengan PTPTN. Allah sudah takdirkan untuk belajar dengan meminjam. Tiada kesedaran untuk elak PTPTN ketika itu. Bahkan hanya mendengar kata kakak yang juga meminjam daripada PTPTN. Walaupun kakak sudah memiliki master, pinjaman PTPTN tidak pernah dibayarnya lagi. Memilih untuk menangguh pembayaran kerana sambung belajar.

Kenapa ketika itu ana tidak usaha cemerlang dalam bidang yang dipelajari untuk perolehi JPA? Bermula daripada awal sudah menjangkakan bidang Matematik Kewangan tidak mampu digalas. Ana bidang sains, tidak tahu menahu mengenai kewangan. Add math A, Maths A sekalipun, jika tiada minat memang tidak boleh. Belajar dan terus belajar untuk memiliki segulung ijazah. Subjek yang susah, ramai yang repeat. Walaupun hanya sekadar belajar tanpa minat yang mendalam, Allah izin tidak pernah repeat. Sekarang elak kerja bank, kerja bab duit-duit, saham-saham. Elak syubhah. Tidak mengapalah kena bayar pinjaman walaupun tidak kaya. Tidak jiwa dengan semua itu, mendidik sahaja menjadi pilihan. Hanya kerana mengenangkan ilmu seorang pendidik yang memberi, ana akan usaha untuk manfaatkan seadanya dalam kehidupan insyaaAllah. Akaun sendiri dapat diwujudkan, akaun keluarga dapat diselenggarkan, dan ana juga dapat membantu dalam selok belok pengurusan koperasi dakwah. Satu bonus dalam berkebajikan. Alhamdulillah.

Malangnya, menabung dalam tabung haji juga tidak disiplin. Permulaan bekerja, gaji mudah sahaja cair. Menunaikan hajat itu, hajat ini. Bulan ini, TV baru. Hajat keluarga. Tabung haji, tinggal tabung. Bank Islam tinggal bank. :-)

Kelima: EMAS. Nanti akan dikongsikan. Penat juga menulis bab urus kewangan ni. Sebenarnya tidak suka subjek kewangan, kerana kewanganlah yang membuatkan diri ini sakit semasa belajar. Instrument derivative, investment potfolio, bond, loan, forex, dan sebagainya. Sakit mengira semua itu. Mujurlah financial calculator hilang. Kalau tidak semakin terkenang-kenang.

Ikutkan banyak lagi perancangan jangka masa panjang. Cukuplah untuk tahun ini. Duit Yuran belajar, duit bercuti mak abah, reward diri sendiri dan anak didik insyaaAllah akan berkongsi di ruangan yang lain. Itu perancangan jangka masa pendek.

Sudah panjang berceloteh, mudahan bermanfaat. Rumit tidaklah rumit. Jika punyai ilmu dan kesedaran untuk merancang, bermulalah daripada awal. Jangan bertangguh.

Duit difikirkan hanyalah untuk kelangsungan hidup untuk terus memberi dengan tanpa henti. InsyaaAllah.

Berkebajikan mesti profesional, jika lemah dan serba tidak tahu pasti akan dihina dan diherdik. Fitnah buat Islam.

15 September 2015

Penyelesaian terakhir.

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah mudahan ku terus bersemangat mendidik anak-anak ini.
Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam tinggal berapa hari sahaja.
Buntu juga untuk mencari penyelesaian terakhir untuk meluluskan anak didik yang sepertinya tidak boleh lagi untuk lulus. Jalan terakhir ini, mudahan berhasil. Subjek Al-Quran tiada masalah, tetapi bahasa Arab. Izinkan mereka untuk ingat dan faham akan ilmu dan ikhtiarku yang terakhir ini ya Allah.

Hajat doa untuk kuat. Mudahan bersama usahaku ini terselit sedikit keberkatan. Aamiin.
Di jalan ini, jiwa mendidik tidak melihat akan peritnya mendidik tetapi bimbang akan anak didiknya yang perit setelah berjuang. Sungguh ustazah tidak akan membiarkan kau sakit dengan kegagalanmu.
Mengertilah, penatku semata ingin melihat kau berjaya dan peroleh manfaat semaksimanya.

Meskipun perjuangan memungkinkan tidak berjaya, usahaku itu perlu ada dengan semaksimanya. InsyaaAllah.

11 September 2015

Kehidupan bermotor.

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah izin untuk lapang pada hari ini.
Waktu persekolahan pada hari jumaat hanya sehingga pukul 11.30.
Pulang awal pada hari ini.

Terima kasih Allah atas nikmat Iman dan Islam.

Sebaik sahaja ingin keluar dari sekolah, anak didik berlari menghadiahkan topeng muka (mask).
Musim jerebu, mengundang sakit tekak dan pedih mata. Tambahan pula ana memilih unutk bermotor. Sering terdedah dengan habuk serta asap yang berkumpul di udara. Terima kasih anakku.

Bermotor bagi seorang muslimah bukanlah sesuatu perkara yang pelik.
Walaupun bertubuh kecil, kaki terkadang cecah tak cecah, satu negeri mampu ana jelajahi.
Desakan kerja, dakwah, halaqah, hajat orang, tuntutan sebuah perjuangan, tuntutan sebuah ilmu dan juga masyarakat ana tepis segala kelemahan, kuatkan hati untuk berusaha di atas kaki sendiri. Mengundang kepercayaan dan keyakinan mak untuk bermotor, sangat mengambil masa. Akhirnya, Allah lapangkan hati seorang ibu untuk memberi izin. Itupun setelah memberi sehelai nota kata-kata. :-) Bicaraku. "Mak, jalan yang ditempuhi ini bukan jalan maksiat dan sia-sia. Allah pasti mudahkan dayah. Sekalipun bermotor, ajal itu di tangan Allah, boleh berlaku di mana-mana sahaja. Mak izinkan ya." Besar risikonya berjalan di atas jalan Allah, mudahan besar nilaian Amal soleh di sisiNya.

Bermotor kerana Allah, pasti Allah permudahkan. Jika terjadi sesuatu kepada diri ini, itulah dinamakan takdir. InsyaaAllah, sepanjang setahun bermotor, Allah sangat melindungi. Jalan yang ditujui ialah jalan menuju kebaikan, jika buruk pasti ana tidak berani menanggung risiko.

Hujan lebat, lopak air, kesesakan, semua sudah dilalui. Selagi tidak berlesen kereta, selagi itu akan bermotor. Allah uji dengan kesibukan sehingga tidak berkesempatan untuk belajar. Cikgunya free, ana sibuk. Ana free, cikgu pula sibuk. Kesudahannya, terlupa nak belajar.

Tidak tahu mengapa, bermotor mengundang kekaguman. Yang memandang itu terdiri daripada mak ayah pelajar sekolah, mak ayah mengaji, anak didik, sahabat sahibah, adik halaqah, kakak halaqah, anak halaqah, m.cik p.cik halaqah, m.cik mengaji. Kata mereka utazah membawa motor sangat tabah. Ini kagum ke atau kasihan? Ana sendiri keliru. Hanya tersenyum.

Ana sedih atau gembira apabila bermotor. Jika ada mak mentua, bahkan tahu menantunya bawa motor jauh-jauh, hilang keayuan. Silalah reject awal-awal ya. :-)

Dengan bermotor, kebajikan mak abah terjaga, kebajikan sekolah terpelihara, kebajikan sesama manusia terlaksana. Gerak kerja dakwah, ilmu, dan ukhuwah terlaksana.

Dengan bermotor, dapat menghantar pelajar balik, guru yang mengalami masalah pengangkutan juga dapat dihantar. Dengan bermotor juga pelajar dapat dihantar ke klinik. Mudah bermotor, tetapi berkereta lagi mudah. Banyak lagi baktiku akan dapat dicurahkan. Penat bermotor, tetapi setelah sampai ke destinasinya akan terus hilang. Buat kerana Allah pasti akan dipermudahkan. Bi iznillah.

Mengalami peristiwa motor rosak, hampir terlajak, semua itu Allah membantu. Rosak di tengah jalan, Allah izin untuk baiki sendiri sehingga boleh bawa ke rumah. Hampir terlajak istighfar mohon Allah selamatkan. Setakat ini tiada kecedaraan, kemudharatan yang berlaku. InsyaaAllah di bawah jagaan Allah serta doa mak abah.

Tidakkah dengan melakukan kebaikan sesama manusia itu juga pulangnya kepada Allah yang menilainya serta Allah yang memerhatinya? :-)


08 September 2015

Menjemput Jodoh

Menjemput bukan mencari jodoh.

Bismillahirrahmanirrahim.

SENI JODOH

Sudah lama ingin menukilkan satu pandangan mengenai jodoh. Ternyata ada yang lebih dahulu merungkaikannya, seolah olah sama dengan pandangan ana. Alhamdulillah. Allah izin untuk menemukan dengan pandangan daripada Setia Furqon Kholid, seorang penulis dan motivator.

Menurutnya,

Dalam mendapatkan jodoh, ada seni tersendiri.
Dan semua orang punya cerita masing-masing.
Ada yang harus meyakinkan dulu keluarga, ada yang terbentur masalah dana, ada yang belum lulus kuliah, atau juga harus membujuk kakak yang belum menikah.
Ada yang udah lulus S2, kerja udah ada, ujiannya pula susah dapetin yang cocok.
Sebaliknya, ada pula yang belum kepikiran nikah, udah ada yang melamar.
Nah loh!

Sahabatku seperti misteri rizki, misteri jodoh juga mesti kita pahami dengan kacamata iman.

Tugas kita adalah meluruskan niat, dan menyempurnakan ikhtiar dalam menjemput jodoh.
Masalah dengan siapa dan kapan biarlah Allah yang menentukan takdir terbaiknya.

...................................

Setiap dari manusia pasti ada caranya yang tersendiri menjemput jodoh. Terpana dan terkesima mendengar luahan seorang demi seorang dengan jodoh masing-masing. Sukar rupanya menjemput jodoh. Selama ini, ana tiada ruang untuk menjemput jodoh. Bimbang terkesan pada Ibadah, bimbang menderhaka orang tua dan paling utama bimbang daripada fitnah.

Kadangkala ana menjadi penasihat jodoh kepada teman-teman. Muda, sama usia, mahupun tua, berikan sahaja pendapat. Tetapi diri sendiri tiada pengalaman bertemu jodoh. Memanglah, kan belum berkahwin :-) Pelik bukan? Disebabkan itu, setiap kali ruang fitnah terbuka, ana pasti akan tutup dengan kata-kata yang tidak mengizinkan ruang suka sesama itu ada. Sejak di bangku sekolah mahupun Universiti, dan bekerja, jika berhubung sesama lelaki hanya dasar urusan kerja dan persatuan. Tidak lebih daripada itu. Bertegas untuk tidak akan suka, kerana bimbang semua amal yang dilakukan hanya mahukan perhatian. Memang permulaannya akan rasa biasa, lama kelamaan akan memakan hati.

Bimbang dengan jodoh tidak bertemu? Hm... sudah banyak didengari daripada mulut-mulut kenalan. Bahkan hanya meyakinkan dengan kata-kata. Baik kita, pasti Allah akan hadirkan yang baik-baik buat kita.

Teruskan berdoa, meskipun ruang menjemput itu tiada lagi. Yang mendengar doa itu Allah. Dia pasti akan menggerakkan hati-hati orang beriman untuk bertemu.

Jika mahu menjemput jodoh kerana ikut-ikutan, kerana desakan, dan sebagainya. Baliklah kepada Allah. Mintalah kepadaNya dengan istikharah. InsyaaAllah, berhasil bahkan pasti akan redha meskipun bukan dia.

Termenung seketika, memikirkan hidupku di dunia ini. Mampukah aku mempersiapkan seadanya bekalan untuk akhiratMu ya Allah? Jika Kau takdirkan aku berkesempatan mempunyai keturunan, akan ku didik sepenuhnya hanya untuk mencapai redhaMu. Sebaliknya, izinkan hambaMu ini untuk kembali kepadaMu dengan bekalan yang mencukupi. Amal soleh yang sebenar-benarnya Engkau redha.

Menjemput jodoh? Jemputlah apabila benar-benar bersedia. Dari pelbagai aspek perlu diperhatikan. Sungguh! Bukan mudah menjemput jodoh, jika urusannya mudah, pasti itu Allah yang mudahkan. Untuk merealisasikan matlamat menuju redhaNya, persiapkan diri. Usah berharap. Cukuplah berdoa, Ya Allah kurniakanlah cintaMu dan cinta hambaMu yang dengannya aku mendapat cintaMu. Ya Allah kurniakan cinta kepada siapa pun yang menyukaiku dan jika baik buat agamaMu, jadikanlah kekuatan bagiku untukku menyukainya. Jika sebaliknya, jauhkan aku darinya.
Aamiin.

Semoga redha Allah bersama dengan kita semua.

06 September 2015

Hujung Minggu

Bismillahirrahmanirrahim.

Jika bicara mengenai hujung minggu, pasti memikirkan cuti dan juga hari rehat. Setiap hari dilalui dengan tiada cuti dan hanya malam untuk ana berehat.

Allah izin, untuk kuat demi kesinambungan hidupku di akhirat. Menerima kunjungan saudara mara, tidak sempat untuk berbual panjang. Tanggungjawabku menanti. Mendidik di hujung minggu memerlukan kekuatan dalaman. Ketika perjalanan, minda ini berputar ligat mencari kekuatan. Sedih dan rasa terganggu. Ada kisah disebaliknya, insyaaAllah ana cuba untuk susun menjadi pengajaran dan hikmah.

Memiliki kerjaya yang mulia, sememangnya ramai yang melihat turut mengakui. Tetapi sejauh mana mulianya di sisi ALLAH, wallahua'lam. Menerima teguran demi teguran oleh saudara mara. Kenapa tidak memohon kerja kosong? Gaji lebih besar dan tidak payah berpusu-pusu untuk mengajar sabtu ahad. Jika nak berbakti kepada agama, berbakti pada mak abah lebih afdhal.

Sedihnya. Mereka tidak tahu. Hati kuat berada di jalan ini kerana redhaNya. Benar, mereka menawarkan banyak related job dengan ijazahku. Mengertilah, jalan ini lebih tenang dan lebih sesuai. Bahkan, jika ana ingin berbakti kepada mak abah, baktiku mestilah dengan harta yang diredhaiNya. Mak abah sememangnya terlebih dahulu mengizinkan pilihan ini. InsyaaAllah, rezeki boleh usaha untuk mencari, mudahan Allah pertemukan. Selalu datang di saat memerlukan bahkan datang pada tempat yang tidak disangka-sangkakan.

Termenung jauh, sehingga hilang tumpuan mengendalikan motor. Mujurlah tidak berlanggar. Ada rezeki bulan hadapan berkereta. Tidak baru. Mudahan elok. Memilih untuk bersabar, tidak mahu mengikat pinjaman. Cukuplah terikat dengan pinjaman pelajaran. Azamku, semuanya akan dibayar tunai. Menyimpan adalah pilihan. Walaupun simpan, lalu habis. Simpan, tinggal sedikit. Sekurangnya ana memilih untuk membeli dengan tunai, tidak kepada bunga dan imbuhan. Bersedia dengan sebarang kemudharatan, jika perlu meminjam, dan itulah jalan penyelesaian yang terakhir, barulah meminjam.

Ana kuatkan hati, tekad membuang segala prasangka dan lemah hati, fokusku mendidik. Anak didikku menunggu, kasihan mereka nanti terganggu dengan emosiku. Allah izin untuk yakin dengan istikharahku dalam menentukan bidang kerjaya yang sesuai. Allah ubat hati dengan kata-kata ini.


Dalam masa yang sama juga Allah ubati dengan karenah jawapan anak didik menjawab soalan PT3 Sains. Ketika ini tengah menanda paper di waktu hening pagi.


Tersenyum, karenah mereka mampu mengubati hati ini. Lain ditanya, lain pula yang dijawabnya. :-)
The question ask to discuss the importance of reproduction, not the marriage! Allahu...

Jawapannya,
-Ia boleh menceriakan suasana.
-Susah senang tanggung bersama.

P/S: ana salah ajar ke? Jawapan tersebut betul, tetapi tidak menepati waqi'. Subjek sains atau rumah tangga ni? :-)

Jiwa mendidik perlu lebih kuat selepas ini. Doakan.

04 September 2015

Tahap Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim.

Tarbiah Allah buat hambaNya bukan sehari dua, bukan setahun dua, ia memakan masa.
Jika berasa sudah cukup, sudah hebat, ternyata itu baru permulaan diuji. Bahkan jauh daripada itu lagi akan diuji. Mempelajari sebuah ilmu, jika dirasakan sudah banyak, sudah bangga diri, bahagia, sombong, ketahuilah itu baru tahap pertama. Perlu diketahui tahap ilmu itu ada tiga menurut Saiyidina Umar AL-Khatab.


Setiap kali memerhati bicara sahabat-sahabat di laman facebook, ternyata yang kerap mengadili sesuatu pernyataan adalah mereka yang baru mengenal ilmu. Tidak salah untuk melontarkan pendapat dan buah bicara, kerana daripada itu mereka belajar. Ana tidak berhajat untuk menuding jari, ternyata ana juga salah seorang daripada mereka yang berasa sombong dengan ilmu yang dimiliki. Ampunilah dosaku ya Allah. AlFaqir yang hina ini baru sahaja menuntut secebis ilmu, tetapi sudah merasakan hebat, bahkan sudah berasa lebih daripada mereka yang tidak mempelajarinya.

Ternyata tahap ilmuku ini baru permulaan.

Mood menyiapkan assignment Faraidh. Apabila mengira pecahan, sudah merasa hebat. Terlintas di hati ingin mengatasi para asatizah yang menceburi bidang faraidh. Allahu...

Kurniakan kepadaku kefahaman ya Allah. Agar suatu masa aku juga mampu melalui tahap tawadhuk dan merasai diri ini tiada apa-apanya jika dibandingkan dengan ilmuMu.

Mudahan usahaku  .mempelajari ilmuMu menjadi bonus buat Islam meskipun ianya Kifayah.