Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

13 May 2015

Mempersiapkan akhowat sebagai daieyah.

Bismillahirrahmanirrahim.

Islam menghendaki setiap para daieyah muslimah tidak sekadar mengajak orang lain, tetapi perkara yang paling utama ialah mereka tidak boleh melupakan dirinya sendiri. Allah S.W.T. mencela sikap orang yang hanya pandai berdakwah mengajak dan mengingatkan orang lain, sementara dirinya sendiri tidak mendapat perhatian.

"Mengapa kamu suruh orang lain melaksanakan kebaikan, sedangkan kamu melupakan kewajipanmu sendiri, padahal kamu membaca al-kitab, Apakah kamu tidak berfikir?
(2:44)

Untuk mengajak ke arah kebaikan, 3 perkara penting perlu dititikberatkan.
Antaranya, persiapan spiritual, memiliki kejelasan dalam kepatuhan (wala') dan menghiasi diri dengan akhlak terpuji.


PERTAMA
Persiapan spiritual perlu ada dalam setiap para daieyah dan ia merupakan perkara asas kepada tarbiah ruhiyah. Generasi awal Islam diberikan tarbiah ruhiyah yang mantap oleh Rasulullah S.A.W. supaya siap dalam menempuhi medan dakwah dengan kekuatan spiritual. Solat malam dan tahajud merupakan tarbiah ruhiyah yang boleh diamalkan, bahkan jika mengetahui kepentingannya sudah pasti akan berasa bersalah jika meninggalkannya.

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah di malam hari, kecuali sedikit daripadanya seperduanya atau kurang sedikit dari itu, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalh AlQuran dengan tartil."
(AlMudatsir : 1-4)

Allah mewajibkan solat malam kepada Rasulullah S.A.W dan para sahabat sehingga turunnya ayat yang ke-20, tidak diwajibkan. Orang yang beryaqwa sering dikaitkan dengan sedikitnya tidur di waktu malam kerana ibadat di waktu malam telah menjadi sebahagian hidupnya.

ALquran merupakan masdar (sandaran) bagi orang mukmin. Membacanya mendapat pahala dan memberikan satu roh kekuatan dalaman kepada pembacanya. Tidak ada satu hari di dalam kehidupan para daieyah Muslimah yang berlalu tanpa membaca AlQuran. Alquran berfungsi sebagai ubat dan penenang hati, petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

"Dan kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, AlQuran itu tidak menambah kepada orang-orang yang zalim kecuali kerugian."

Mengingati dan menyebut nama Allah. Zikrullah adalah tarbiyah ruhiyah yang sangat berkesan. Para daieyah yang sentiasa berzikir kepada Allah tidak akan sesekali rasa cemas dan khwatir, ia sentiasa tenang di dalam apa jua keadaan.

Alghazali, menjelaskan tentang kelebihan zikir di dalam ungkapannya, "Bahawasanya yang dapat meninggalkan bekas dan berkesan serta bermanfaat itu ialah berzikir secara tetap dan berlangsung terus menerus dan disertai dengan kesedaran hati."



KEDUA
Wala', memiliki kejelasan kepatuhan, ketaatan kepada Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman. Daiyah perlu jelas dengan suruhan dan larangan Allah SWT. Tuntutan beribadah kerana Allah, patuh dan taat kepada Allah dengan berpandukan Alquran dan Assunnah peninggalan Rasulullah S.A.W kepada kita semua. Setelah pemergian Rasulullah S.A.W hendaklah jelas siapa mereka yang beriman dan siapa yang tidak beriman. Berwala'lah kepada Allah SWT, Rasulullah SA.W dan orang-orang beriman.

"Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat serta rukuk kepadaNya."
(AlMaidah : 55)



KETIGA
Menghiasi Diri dengan Akhlah yang terpuji.
Seorang daieyah muslimah adalah ikutan umat. Setiap langkah, tuturkata dan segala kehidupannya diperhatikan umat Islam. Para daieyah merupakan cerminan diri kepada sekalian umat Muhammad.

"Sesungguhnya, kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung." (AlQalam:4)

Bagaimana mahu mengajak kepada kebaikan, jika akhlak tidak diperbaiki. Allah SWT tidak menyukai orang yang hanya berbicara dan mengajak orang laun namun dia sendiri tidak serupa seperti yang diperkatakan.

Usamah bin Zaid pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda,
Pada hari kiamat kelak akan didatangi seseorang, lalu dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah usunya dan berputer-putar, seperti seekor keldai yang mengitar batu kisaran. Para penghuni neraka mendatanginya lalu berkata, "Hai fulan, ada apa gerangan? Bukankah engkau yang menyuruh kami membuat kebaikan dan mencegah yang mungkar? " Maka di jawab, "Benarlah, aku pernah menyuruh kalian membuat kebaikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya dan aku melarang orang melakukan kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya."

Rasulullah S.A.W merupakan contoh teladan yang baik kepada kita. Contohilah akhlak baginda, nescaya akan tertanam semat di hati akhlak yang terpuji dan menjadi amalan serta contoh kepada yang lainnya. InsyaaAllah mudah urusan dakwah seharian. Berdakwah martabatkan Islam kerana Allah, pasti sedih jika mengenangkan tenatnya umat pada zaman ini. Jika Rasulullah S.A.W itu ada bersama kita, pasti tertunduk malu dan hina mengenangkan lemahnya diri dalam dakwah. Allahu...


Catatan ini disalin menerusi perkongsian ilmu oleh seseorang yang telah membincangkan sebuah buku yang bertajuk "Keakhawatan 2".

10 May 2015

Multitasking itu Qowiy.

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah meletakkan keupayaan hambaNya dalam melakukan sesuatu perkara adalah mengikut daya kemampuan paling maksima yang telah/akan dimiliki. Allah itukan sebaik-baik penentu terhadap segala ketentuan.

Jika melihat dalam segala aspek perkara yang ditempuhi dalam kehidupan seharian, fitrahnya kita tidak mampu untuk melakukan semua perkara dengan sendirinya. Memang benar, fitrahnya begitu. Namun, apa yang menjadi tuntutan kepada kita waktu ini adalah dengan berfikir bagaimana caranya untuk memperolehi kemampuan yang pelbagai. Sekurangnya berusaha walaupun tidak mampu kesemuanya.

Tindakan seorang yang bijak untuk menjadi qowiy dalam pelbagai aspek tidak lain dan tidak bukan adalah berusaha semahunya dalam memaksimakan keupayaan yang pelbagai. Dalam erti kata lain serba boleh dalam semua perkara (multitasking). Kadangkala multitasking tidak dapat dipisahkan dengan jiwanya yang tamak dengan sesuatu. Tamak dalam perkara ibadah tidak mengapa. :-)  Penulis sendiri pernah digolongkan sebagai seorang yang tamak. Mengapa sebegitu?

Penulis seorang yang cepat bosan dengan sesuatu perkara yang sama setiap hari. Jika letak di suatu tempat untuk berkerja hanya untuk mengulangi perkara tersebut hari demi hari, ternyata penulis pasti akan berpindah. Jiwa ini memberontak untuk melakukan perkara lain dan berasa seakan membuang masa dan tidak produktif. Daripada zaman sekolah bersemangat membolot semua subjek. Akademik diniyah tidak berkira, nak juga cemerlang. Orang nak jadi usatazah, kita nak jadi ustazah. Orang nak berdakwah berkebajikan, kita juga nak berdakwah buat kebajikan. Orang nak pandai komputer, kita juga nak. Orang nak jadi photographer, kita juga nak. Orang nak jadi doktor, kita nak jadi doktor. Orang nak jadi saintis, mathematicians, kita juga nak. Orang pandai mengaji kita juga mestilah nak. Orang nak pandai akaun ekonomi, kita sibuk juga nak pandai. Orang panjat bukit gunung, kita pun nak buat. Hasilnya, semua jiwa yang dimiliki melekat kuat dalam jiwa. Sehinggakan nak kikis pun payah. Terkesan sehingga kini. Pelbagai bidang telah diceburi, maka manfaatkan walaupun sedikit. Kepelbagaian itu, Allah izin untuk disalurkan dalam misi mendidik penuh bererti. Itulah hikmah di sebalik kepelbagaian yang dimiliki. Allah itu maha Adil, mengetahui serba serbi kemampuan hambaNya. Dialah selayaknya untuk berserah diri.

Benar, jika kita fokus melakukan satu perkara kita akan kuasai kerja tersebut dan alim dengan selok belok pekerjaan tersebut. Bagi penulis jiwa seperti itu, tidak sesuai dalam diri penulis. Mempelbagaikan skill dan mencari jalan kehidupan yang penuh warna warni adalah yang utama. Ikut kemampuan untuk melakukannya, jangan memaksa diri jika tidak mampu. Merancang dalam banyak perkara kuncinya adalah semangat, kebijaksanaan dan tetap pendirian. Jika berkira apa kata orang dan kata-kata itu mendorong lemah semangat lalu tidak tetap pendirian, usahlah kata nak buat 5 perkara, 2 perkara pun sudah tentu tidak mampu. Kuncinya semangat, kebijaksanaan dan tetap pendirian. Selami setiap kunci itu dengan istisyarah, doa, usaha, dan tawakal. Mudahan berjaya.

Mengapa segelintir besar yang jatuh dalam melaksanakan misi yang pelbagai dalam satu masa? Ayat yang mudah difahami ialah mengapa tidak boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa?

Hal ini kerana, kudrat yang ada tidak dilatih untuk diposisikan mengikut berbagai bentuk masalah yang dihadapi. Bunga sungguh ayat ini. Maaf, itu yang terlintas.

Melihat kepada pencapaian tokoh ilmuwan pada era kini. Contoh terdekat yang dapat diambil ialah dengan kita telusuri perjalanan hidup Dr Zaharuddin. Beliau seorang yang multitasking. Melakukan pelbagai jenis pekerjaan dalam satu masa. Menurut beliau, untuk menjadi seorang yang multitasking dalam melakukan banyak perkara pada satu masa adalah perlu melatih diri melakukan semaksima mungkin perkara di usia muda. Melalui pengalamannya, di waktu mudanya tidak dibaziri dengan perkara yang sia-sia. Beliau berperanan seorang mahasiswa yang berjiwa pendakwah dan pencinta ilmu. Beliau menjalankan program dan pergi ke tempat pengajian dengan kudrat yang dimiliki. Ketika menguruskan program beliau berperanan sebagai pengarah, editor, setiausaha, unit publisiti, media dan semuanya. Bahkan semua pernah dilakukan dengan sendirinya. Bukan tamak, tetapi memudahkan kerja. Itukan lebih sopan untuk diertikan. :-) Semua perkara itu mengajar beliau untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa. Sekarang lihatlah, siapa beliau dahulu dan siapa beliau sekarang.

Bagi mereka yang terlepas zaman mudanya, jangan berasa tidak sempat untuk berlatih melakukan banyak perkara dalam satu masa. Sempat lagi untuk bertatih mulakan latihan. Tiada terlambat bagi siapa yang ingin memulakannya. Ma ta'akhkhar liman bada a.

Jangan berasa rendah diri melihat orang yang multi tasking, dan jangan menjauh diri apabila melihat seseorang hampir memiliki banyak keupayaan dalam satu masa. Cubalah kita ambil manfaat daripada orang itu dan belajar bagaimana untuk menjadi multitasking yang berjaya untuk ummah khususnya.

Penat memang penat jadi multitasking. Jika tidak penat, bila masa mahu berehat di syurga?

:: Multitasking dalam satu masa ::

04 May 2015

Dakwah Bukan Pilihan

Bismillahirrahmanirrahim.
Terjun dalam bidang dakwah bukan pilihan, tetapi kewajipan.

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين
An-Nahl 16:125

Serulah manusia ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Untuk menjadi seorang daieyah, kita sangat memerlukan kepada persiapan yang mantap. Dalam usaha mempersiapkan intelektual atau thaqafah sebagai daieyah memerlukan penguasaan ilmu disegenap lapangan dan cabang ilmu. Supaya mudah dalam menyampaikan sesuatu kepada madu'.

Jika dirasakan siapalah kita untuk mengajar kepada mereka yang lebih tinggi penguasaan ilmunya, kini tiba masanya untuk lebih kehadapan. Mengaji sebanyak mana ilmu. Jika tidak mampu, bersedialah untuk mempamerkan akhlak yang baik. Kerana orang berilmu pasti terpaut pada akhlak dan budi bicara yang bersantun. Tidak semua yang berilmu memiliki akhlak yang terpuji. Akhlak yang terpuji sudah pasti memiliki ilmu.

Ilmu membawa kepada pelbagai pengertian. Antaranya yang disepakati hati ini adalah melalui pandangan Naqiub al-attas. Katanya, Ilmu itu adalah sesuatu yang diperolehi yang mebawa kesan pada hati. 

Untuk menjadi seorang daieyah, kita mestilah bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W. Bukan bermakna Rasulullah itu perlu ada di sisi kita. Ia membawa maksud, setiap apa yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya apa yang diredhai oleh Allah, oleh Rasulullah, sudah pasti ia selari dengan apa yang dikehendaki dalam Islam. 

Mengukur kualiti diri sebagai seorang daie adalah bergantung kepada sejauh mana kita mempersiapkan diri.

Antara persiapan yang perlu ada ialah:
1) Persiapan spiritual (Keimanan kepada Allah dan prinsip-prinsip keimanan)
2) Persiapan Tsaqafah/Intelektual dalam pelbagai lapangan ilmu.
3) Persiapan Fizikal.

Saya ingin memfokuskan penulisan pada hari ini tentang ilmu. Modal untuk berdakwah yang paling utama ialah ilmu. Ilmu adalah modal dakwah yang pentng disamping memiliki akhlak yang baik. Ada ilmu terlahirlah fikrah. Fikrah yang dimaksudkan ialah pemikiran yang terlahir daripada sebuah ilmu yang dimiliki. Fikrah yang jernih adalah sangat dituntut, bahkan perlu terhindar daripada sebarang campur aduk yang merugikan. Inilah fikrah yang sangat bernilai dan perlulah disampaikan. Fikrah yang tersemat dalam diri akan menentukan samada seruan dakwah kita diterima atau tidak. Baik fikrahnya, baiklah natijah dakwahnya. :-)

2 konsep yang penting perlu diperhatikan. Antaranya ialah Ilmu dan Iman, Peningkatan ilmu tidak boleh dipisahkan dengan peningkatan iman. Dengan bertambah ilmu seseorang, perlu seiring dengan bertambahnya iman. Jangan sesekali apabila bertambah ilmu. berkurang pula iman. naudzubillahiminzalik.

Dengan hadirnya ilmu yang memberi kesan  dan kefahaman yang mendalam kepada hati dapat memberi banyak manfaat dan kebaikan pada diri. Antaranya ialah dapat membawa manusia kepada matlamat hidup yang benar, beribadah semata-mata kepada Allah, membangkitkan keimanan dan kekuatan semangat untuk bekerja, berdakwah dan berjihad di jalanNya.

Pembahagian ilmu/tsaqafah.
InsyaaAllah akan bersambung di ruangan yang lain. InsyaaAllah.

Semoga amal ini Allah nilai sebagai amal solih di sisiNya.
Biiznillah.