Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

28 November 2013

-- Kedamaian dalam ketenangan --

Bismillahirrahmanirrahim.
Berbahagialah di hari yang mulia ini, Jumuah yang barakah.
Hati sedikit terganggu dengan kesibukan menyiapkan assignment dan penulisan thesis yang hanya berbaki 2 minggu sahaja lagi. Setelah itu akan menghadapi viva buat pertama kalinya dalam hidup.

Ana berhasrat untuk menghabiskan Ijazah ini dengan sebaik mungkin. Allah mengetahui kemampuan hambaNya, tidak sewenang-wenangnya DIA menyerahkan tanggungjawab ilmu ini untuk dipelajari. Allah akan beri apa yang kita perlu. Jadi jangan menyalahkan sesiapa jika kita tidak perolehinya.

Hajat untuk menyambung ke bidang yang lebih bermakna dalam hidup. lebih menjiwai dan terkesan pada hati. Ana punyai sahabat yang amat menyokong ana untuk mempelajari ilmu tersebut. Angan-angan untuk ke luar negara bersamanya, mudahan dimakbulkan Allah.

Semenjak mengikuti pengajian Al-Quran secara talaqqi dengan seorang ustazah, hati membuak untuk lebih mencintai ilmu. Jarang sekali ana mendengar seorang muslimah itu merantau ke satu negara ke satu negara yang lain demi mencari sebuah ilmu. Keazamannya turut memberi inspirasi kepada ana untuk menjadi alimah agama. Bukan mudah seorang muslimah itu memperolehi guru yang alim(syeikh) dalam ilmu, dan membenarkannya mengikuti majlis ilmu secara talaqqi. Allah... Pada zaman sekarang, kesungguhan wanita dalam mencari ilmu sangat luar biasa pada pandangan ana.

Mengaji ilmu ini bukan berada dipundak seorang lelaki sahaja. Sebagai seorang muslimah dan bakal mengajar ilmunya kepada keturunannya, muslimah berhak juga untuk mempelajarinya. Tetapi syariat perlu diutamakan.

Seringkali masuk ke dalam kelompok pengajian agama, ana sering ditanya berapa umur dan apa latar belakang yang mendorong ana untuk mengaji bersama mereka. mudah ana katakan, ini semua dorongan daripada Allah. Jangan malu untuk mengaku kita jahil, jangan malu jika terlambat, dan jangan malu jika dikatakan muda dan cepat. Mudakah kita, jika umur di dunia hanya boleh dikira dengan jari?

Kita hendak membawa bekal akhirat di sana selamanya. Di dunia hanya sementara. Ana mahukan sesuatu yang boleh masuk ke hati. Ana ingin kenal Allah itu siapa. Ana ingin jatuh hati kepada Allah. Berat memang berat untuk memberitahu semua ini, kerana siapalah diri ini untuk dekat denganNya. Ilmu yang ada hanyalah sekecil zarah, amalan hanyalah sekecil debu yang tidak pasti bertebaran hilang entah pergi ke mana. Kita tidak tahu amalan kita adakah diterima Allah atau tidak? Adakah ilmu yang kita pelajari ini benar-benar ikhlas keranaNya atau tidak.

Setiap kali memikirkan kekuatan seorang muslimah, benarlah ia terbatas. Tetapi mohonlah kepada Allah untuk diberikan kekuatan.

menghadapi kerenah manusia dan masyarakat setempat, ana cuba meraikannya. Janganlah mudah berasa hati, kerana ana lakukan semua itu kerana Allah ada melihat. Dalam erti kata, bersangka baiklah dengan setiap apa yang dilakukan oleh manusia. Semua yang diaturkan oleh Allah dalam kehidupan, pasti ada hikmah yang masih belum tersingkap. Sebagai manusia biasa kita masih terhijab dengan hikmah tersebut. Tenang dan damailah dalam menghadapi kehidupan bersama Iman dan Islam.

Jangan berasa kita adalah yang terbaik, jangan berasa kita yang paling alim, jangan berasa kita adalah yang paling solehah, kerana di mata Allah itu adalah mereka yang benar-benar bertaqwa.

tersenyum dalam menangis, gembira dalam sedih. Siapakah yang tahu hati manusia? Mudahan diberikan kekuatan bersama mereka yang mencintai Allah dan mendamba keampunan daripadaNya. Jauhkan aku ya Allah, dengan mereka yang sering meragukan pemberianmu, dan sering menggunakan namaMu untuk menginginkan sesuatu yang diingini. hakikatnya mereka berbohong.

assalamualaikum. hajat doa buat mereka yang tidak mengenali dan hajat kekuatan buat mereka yang mengenali.

26 November 2013

Konsep tawakal

Setinggi mana tawakalmu kepada Allah? Setinggi mana kepercayaanmu kepada Allah. Jika kau ukur di badan sendiri, pasti kau akan mengetahui setinggi mana tawakalmu dan kepercayaanmu kepada Allah.

Keselamatan, kesihatan, rezeki, jodoh, pertemuan, dan perpisahan, setinggi mana tawakalmu kepada Allah dengan perkara-perkara seperti ini? Definisi tawakal menurut kacamata ulama tersohor dunia, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi, "Apabila seorang manusia menyusun dan mengatur persiapan, persediaan, strategi dan daya usaha, kemudian dia menyerahkan hasilnya kepada Allah."

Ingatlah tawakalmu itu perlu sesudah diiringi dengan usaha yang syarie. pernah mendengar sebuah hadis? Ana rasa kebanyakan daripada pembaca sudah sebati dengan hadis ini.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW dulu, ada seorang Arab Badawi yang datang ke masjid dan meninggalkan untanya tanpa diikat. Kemudian dia terus masuk ke masjid dan menganggap tindakannya itu sebagai tawakal kepada Allah. Rasulullah yang melihat kejadian berkenaan segera datang kepadanya dan bersabda: “Ikatlah unta itu dan bertawakallah kepada Allah.”

Yakin+tawakal = mukminah solehah (Qulb)

Praise to Allah, Alhamdulillah...

08 November 2013

Ujian mereka lagi HEBAT

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan tulisan bicara pena ini, mudahan Allah redha. Ikhlaskan diri untuk menulis, mata seakan ingin pejam seketika. penatnya terasa, sedangkan tidak apa pun yang dilakukan.

Pernahkah kita merasakan sesuatu yang sangat sedih? di mana ketika itu iman dan hati kita di uji. seolah-olah kita di tinggalkan mereka yang disayangi, tiada siapa lagi untuk mengadu dan berkongsi nasib. Ana sungguh terkesan dengan sebuah pengalaman seorang m.cik kenalan yang sudah lama mengenalinya, bahkan menjadi lebih akrab setelah m.cik menimpa berbagai ujian. Jujur, ana semakin rapat dengan seseorang jika orang tersebut ditimpa musibah dan ujian. biarlah mereka mencari ana sewaktu mereka jatuh, dan tinggalkan ana sewaktu senang, kerana ana yakin Allah tidak pernah tinggalkan hambaNya, melainkan kita yang meninggalkan DIA.

pernahkah kita berkata? "beratnya ujian ini."... anda salah! ada lagi mereka di luar sana lebih berat ujiannya. setakat ditarik nikmat berkawan, diuji dengan kejatuhan pointer, diuji dengan kehilangan barang, diuji dengan fitnah yang bertebaran, kau sudah berputus asa dalam mengejar nikmat iman. Sedangkan masyarakat di luar sana, diuji dengan kematian suami, diuji dengan kefasikan seorang anak, kefasikan seorang sahabat, dan juga diuji dengan kekejaman yang dilontarkan oleh seseorang kepada dirinya.

jadilah seseorang yang memberi manfaat. Jadikan diri ini dicari oleh mereka yang mendamba kekuatan. jadilah seorang yang beriman bukan seorang yang fasik.

usahlah menjadi boneka dalam agama. mempraktikkan jika di suruh, hanya senyap jika tidak di suruh. sungguh malang, jika apa yang dipelajari tidak diamalkan. ya Allah, terkena pada diri ini. Ampunilah salahku.

apakah rahmatMu yang aku dambakan selama ini berjaya mengizinkn aku untuk ke syurgaMu? usaha aku untuk mengajak mereka mengenalMu dan merasa dekat denganMu mudahan diterima olehMu. Dekatkan aku denganMu, hadirkan kesungguhanku ini dalam membawa agamaMu.

Hajat doa buat masyarakat di luar sana yang masih ketandusan ilmu dan bicara mengenai agama. Usahaku sehingga kini, tidak mampu mengubah orang untuk masuk ke dalam Islam. Apatah lagi, amat susah untuk ana menyeru kepada mereka yang Islam untuk beriman.

Maka, ku bimbangi masyarakat di luar sana jauh dengan tuhannya, kufur dengan nikmat pemberian tuhannya, dan fasik dalam agamanya. Bantulah aku, ya Allah dalam agamaMu ini. Akan kupersiap menuju akhiratMu yang kekal abadi. hadirkan rasa izzah dengan agamaMu sentiasa...

Allah tidak membebani seseorang itu melainkan dia benar-benar mampu untuk memikulnya. :-) 2:286

01 November 2013

Yakin

Salam Alaik!

Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah, sesungguhnya aku amat mendambakan  nikmat tika berpena. KAU izin untukku berpena jua. Nikmat kesibukan dalam melaksanakan tugas dakwah dan kesibukan menuntut ilmu tidak sekali akan melumpuhkan semangat untukku berpena dan berkarya. Nikmat ujian yang bertapak di hati, sangat indah jika dikenang kembali. Itu tanda Allah sangat dekat dan sentiasa memerhati diri ini. Ya Allah pandanglah aku walaupun seketika.

Nikmat membaca kitab walaupun beberapa helai, mudahan kesannya berpanjangan. Terima kasih ya Allah, membenarkan aku merasai nikmat ini. Mudahan aku sentiasa beringat-ingat tentang kematian dan juga sentiasa memperbaharui niat. Kelak aku dapat kembali dengan membawa hati yang bersih. Aku bimbang, satu saat aku pulang kepadaMu dengan membawa hati yang kotor, maka tidak berpeluang aku untuk memperbaiki semuanya. sudah terlewat. Aku yakin, kau pasti akan menjagaku sehingga aku menemui pengakhiran yang baik. Dan kelak aku pasti akan bertemu dengan mereka yang berjanji untuk bersama denganku di syurga. Aku ingin bersama mereka untuk ke syurgaMu.

Kekurangan itu pasti ada, mudahan kekurangan itu mampu untuk aku sedar diri. menangisku dalam hati, mudahan Allah mendengarnya. Mudahan Allah lebih dekat denganku. Mintalah pada Allah, mintalah untuk berjumpa denganNya. Sebesar zarah keinginanmu itu untuk berjumpa dengan Allah akan dikabulkan olehNya. Yang pasti yakin.

Mudahnya aku kerana dipermudahkan olehNya, susahnya aku kerana disusahkan olehNya, semuanya itu disandarkan pada diri yang lemah ini. Ada hikmah yang masih terhijab. Kelebihan dan kekurangan itu tidak boleh diukur dengan sebarang alat, mudahan Allah menyingkap hijab Hikmah sedikit demi sedikit. Agar aku sedar diri, dan sentiasa muhasabah dalam setiap perkara. Yakin kepadaNya.

terhibur dengan mereka yang thiqah kepada diri ini. Jazakumullahukheir di atas kepercayaan yang diberikan.

aku tidak peduli dengan sakit yang dialami, tetapi aku sangat ambil peduli sakit mereka. Biarpun aku disakiti, aku tidak sekali akan menyakiti mereka. berikanlah aku hukuman yang setimpal, jika aku telah menyakitimu.

Mujurlah Allah menjatuhkan aku ke dalam sesuatu yang di redhaiNya. Biar pun aku rasa sakit tidak dapat apa yang diingini, mudahan aku dapat memenuhi tuntutan yang Allah minta kepada setiap hambaNya. Buat yang disuruh, tinggal apa yang dilarang. :-)

jika Allah izin, berikanlah aku peluang untuk mencipta satu kejayaan dalam agamaMu. Buat pembacaku, iringilah harapanku ini dengan doa kalian.